Tag: petaling jaya

  • Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    KHIDMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerah bagi membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang sudah meninggal dunia hingga badannya ‘kembung’ dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 2, Petaling Jaya, semalam.

    Dalam kejadian itu, bomba terpaksa memotong besi tingkap rumah bagi mengeluarkan mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu di dalam bilik rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada adik mangsa berhubung penemuan mayat abangnya pada pukul 6 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak bekerja dan mempunyai rekod kesihatan darah tinggi dan kencing manis.

    “Lelaki itu tinggal bersama adiknya di rumah berkenaan, namun dua beradik itu jarang berjumpa berikutan urusan kerja adiknya dan kali terakhir mereka bertemu pada pukul 5 petang, Ahad lalu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin, mangsa disahkan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Azizul Zahari di talian 0127220094.

  • Petaling Jaya, Manjung dan Kluang antara bandar paling bahagia di Malaysia

    Petaling Jaya, Manjung dan Kluang antara bandar paling bahagia di Malaysia

    PETALING Jaya, Manjung dan Kluang diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia, menurut Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.

    Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah juga tersenarai dalam kajian dibuat oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang jatuh pada 20 Mac setiap tahun.

    Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memberitahu, Datuk M Noor Azman Taib, kajian itu melibatkan 42,000 responden dari 117 pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Daripada kajian itu, kita dapati 79 peratus tau 92 bandar mencapai status mampan dengan skor melebihi 80 peratus sementara 25 bandar (21 peratus) mencatatkan peratus sederhana bahagian dengan skor antara 50 dan 79 peratus,” katanya, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2023 di Putrajaya.

    Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

    Antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perlhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

    Mengulas lanjut, kata M Noor Azman, pengukuran indeks kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

    Menurutnya, MURNInets merupakan satu sistem di bawah seliaan PLANMalaysia bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di Malaysia.

    bandar paling bahagia, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022, Petaling Jaya, manjung,

  • Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    TINDAKAN lelaki mabuk memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, dekat Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 6.09 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

    “Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera.

    “Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

    “Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.

  • Pelajar berlagak samseng jalanan ditahan

    Pelajar berlagak samseng jalanan ditahan

    TINDAKAN seorang pelajar memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di Petaling Jaya membawa padah apabila suspek diberkas Sabtu, lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di tepi jalan Sungai Penchala di sini.

    “Suspek yang berumur 19 tahun itu ditahan pada jam 3.20 petang bagi siasatan berkaitan tindakannya menerusi satu video yang tular pada Jumaat.

    “Suspek direman tiga hari bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jumaat lalu, seorang pemandu kereta berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di Petaling Jaya.

    Kejadian tersebut telah dikesan melalui satu video tular berdurasi dua minit 20 saat di aplikasi Twitter yang memaparkan tindakan lelaki terbabit.

    Suspek turut mengeluarkan sebatang rotan panjang dari kenderaannya ketika kejadian.

  • Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    SEORANG penuntut kolej terdesak membuat laporan polis palsu mendakwa dia dirompak tiga lelaki bersenjata selepas wang diberikan keluarga disalah guna sehingga tidak dapat membayar hutang rakannya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan siasatan.

    Menurutnya, lelaki itu membuat laporan mendakwa dirompak tiga lelaki bersenjata sehingga kerugian RM10,300 pada 9.46 malam.

    “Hasil soal siasat dijalankan mendapati laporan mengenai kejadian rompak yang dibuat suspek adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan juga tidak berlaku.

    “Siasatan mendapati punca suspek membuat laporan palsu kerana menyalahgunakan wang simpanan yang diberi oleh keluarga dan tidak dapat membayar wang dipinjam daripada rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, polis sudah merakam keterangan suspek untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan, sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan bagi pertuduhan di mahkamah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata penahanan suspek lelaki berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya, pada Isnin (17 Okt) lepas.

    Beliau berkata laporan itu menyatakan suspek telah bertindak mencampakkan haiwan terbabit daripada tingkat kediamannya.

    “Selain penahanan lelaki itu polis turut menemukan tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya. Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya dari tingkat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan. – BERNAMA

  • 12 lelaki joli hasil pecah rumah lebih setengah juta dicekup

    12 lelaki joli hasil pecah rumah lebih setengah juta dicekup

    POLIS berjaya menahan 12 lelaki warga tempatan masing-masing berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di Petaling Jaya 24 Ogos lalu.

    Memetik laporan UtusanTV, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pengadu menyedari kejadian curi itu semasa ingin mengambil peti besi yang disimpan di ruang dapur rumah tersebut.

    Jelasnya, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos dan memaklumkan anggaran kerugian sebanyak RM430,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM200,000.

    Mohamad Fakhruddin berkata, pengadu memaklumkan wang tersebut adalah hasil pelaburan matawang asing bersama isteri sejak 2020 hingga Januari 2022.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bertindak atas maklumat risikan, pasukan polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor memulakan operasi pada 31 Ogos jam 3.30 petang.

    “Pasukan operasi melakukan serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki warga tempatan yang sedang berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Seremban.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek, pasukan telah merampas pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, antara barangan yang dirampas adalah dua buah motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam buah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan satu beg silang jenama Coach.

    Tambah Mohamad Fakhruddin, hasil siasatan terhadap suspek telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di Klang, Selangor.

    Jelas beliau, pemeriksaan ke atas suspek telah berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.

    “Barangan yang dirampas adalah seuah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max, dua utas jam tangan jenama G-Shock, sebuah kamera Insta 360 One X2, sebuah motosikal jenis Kawasaki 150RR, sepasang selipar jenama Skechers, sekeping kad pendaftaran motosikal dan wang tunai berjumlah RM1,000.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada telefon pintar, barang kemas, aksesori motosikal serta wang tunai yang berjaya dirampas selepas menahan 12 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Siasatan lanjut terhadap 11 orang kena tangkap (OKT) telah pandu arah ke rumah masing-masing di Klang dan membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.

    “Barangan itu adalah enam utas gelang tangan emas, satu anting-anting, sebuah kereta jenis Honda Civic FD 2.0, dua set alat ganti motosikal Yamaha (cover set), satu set lampu kereta Perodua, dua beg pelbagai jenama, dua buah motosikal jenama Kawasaki dan NVX, empat buah topi keledar jenama KYT, empat kad pendaftaran kenderaan dan wang tunai berjumlah RM55,950,” katanya.

    Mohamad Fakhruddin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua 12 OKT mendapati tiada rekod jenayah lampau dan tiada rekod dikehendaki.

    Katanya, anggaran jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM271,209 manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan atas talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.

    Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

    Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 September hingga 7 September untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, dua daripada suspek adalah penganggur, dua bekerja sebagai pemandu lori, seorang bekerja sebagai operator kilang manakala tujuh lagi adalah penghantar makanan (rider).

    “Lain-lain wang tunai yang tidak dirampas telah dibelanjakan suspek untuk mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur.

    “Wang tunai yang diserahkan keada ahli keluarga mereka juga telah habis dibelanjakan,” katanya.