Tag: Perwakilan Bersatu

  • Perwakilan sanggah dakwaan anak muda sokong PN tidak berpelajaran

    Perwakilan sanggah dakwaan anak muda sokong PN tidak berpelajaran

    DAKWAAN golongan muda menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai golongan tidak berpendidikan tinggi, tiada pendapatan disanggah perwakilan Bersatu yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan parti itu hari ini.

    Menurut mereka yang ditemui SatuBerita dakwaan tersebut cetek dan tidak benar.

    Exco Armada Bersatu, Abdul Mutallib, 32, berkata kenyataan tersebut satu penghinaan kepada golongan muda.

    “Itu bagi saya tidak betul, saya sendiri ada ‘degree’ (Ijazah sarjana muda), kawan saya di Kedah yang menyokong PN ada ‘double degree’ (dua ijazah sarjana muda), calon-calon dari Armada, Pemuda PN sekiranya kita lihat pada kelayakan agak cemerlang. Tanggapan itu meleset.

    “Saya ingin ingatkan, jangan kacau anak muda di luar sana. Kalau kita tengok rupa mat rempit, latar belakangnya tak tentu kita tahu,” katanya.

    Exco Srikandi Muda Masjid Tanah, Nur Farah Azrina, 23, pula berkata golongan muda yang menyokong PN turut terdiri daripada golongan profesional, berpendapatan tinggi dan berpendidikan tinggi.

    “Contohnya Pengerusi Srikandi Muda Bersatu adalah seorang peguam, Ketua Penerangan seorang ahli perniagaan, setiausaha kami seorang pensyarah,” katanya.

    Secara sinis Nur Farah berkata, adalah lebih baik menjadi seorang yang ‘biasa-biasa’ daripada menjadi ‘orang yang pernah ditolak dalam pilihan raya tetapi diberikan jawatan dalam kerajaan’.

    Ahmad Faizal, 51, pula berkata, darjat anak muda sepatutnya diangkat oleh kerajaan bukan diperlekehkan.

    “Kenyataan itu tidak betul, anak-anak muda sekarang ini sudah banyak belajar di universiti dan memulakan kehidupan, negara kita kaya dengan orang muda berpendidikan tinggi.

    “Sebenarnya, mereka mungkin nak alihkan isu, dulu mereka mengharapkan sokongan anak muda ini akan beralih kepada mereka, tapi sebaliknya berlaku seperti dilihat pada PRU-15,” katanya.

    Faizal yang berasal dari Kulim, Kedah itu turut menganggap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang tewas di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU-15 sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila tidak mendapat sokongan anak muda.

    “Pemuda Armada, Pas, Gerakan, sememangnya menitikberatkan suara anak muda, kerana pada satu hari mereka yang akan menggantikan orang yang lebih tua.

    “Sebagai orang Kulim, semua orang boleh nampak. Sepanjang YB Saifuddin menjaga Kulim tiada satu perkara yang jitu dibuat. Patutnya dia tengok dulu diri dia kat cermin, anak muda adalah aset kita,” jelasnya.

    Media sebelum ini melaporkan Saifuddin berkata, golongan muda yang mengundi PN pada PRU-15 sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap.

    Video rakaman ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Kedah 2023 pada 25 Februari lalu yang tular antara lain menunjukkan Saifuddin berkata: “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap hat tu, hat naik motor sana sini bagi kat Perikatan (PN).

  • Perwakilan Bersatu teguh di belakang Presiden

    Perwakilan Bersatu teguh di belakang Presiden

    BIAR difitnah dengan pelbagai dakwaan tidak berasas, sayap Perwakilan Bersatu tetap teguh bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharungi proses perbicaraan yang dikatakan pelbagai pihak sebagai pendakwaan terpilih.

    Ini terbukti apabila Dewan Wawasan Menara PGRM di Cheras dipenuhi lebih 2,000 perwakilan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kelima.

    Sayap Bersekutu Bersatu Sungai Buloh, Gana Pragasam Sebastian,54, walaupun sedih dengan apa yang terjadi dia tetap akan terus berada di belakang Muhyiddin.

    “Semua tahu apa yang terjadi dekat Muhyiddin adalah konspirasi terancang dari pihak lawan. Ini semua untuk melemahkan parti dan sayap perwakilan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    “Saya sendiri tidak akan patah semangat bersama rakan-rakan yang lain untuk terus berdiri di belakang Muhyiddin bersama-sama mengharungi ujian ini,” katanya ketika ditemui SatuBerita di Penara PGRM, Cheras, hari ini.

    Bagi Ketua Srikandi Muda Pulau Pinang, Nurzawani Abd Salam,34 berkata, sayap perwakilan sepakat untuk tidak membenarkan Muhyiddin meletak jawatan meskipun beliau ada menyatakan untuk berbuat demikian.

    “Kami sama sekali tidak akan menerima perletakan jawatan abah dan mahua bah terus mengemudi Bersatu sebagai presiden.

    “Biarpun diasak dengan pelbagai tekanan, kami tidak akan patah semangat untuk terus membuktikan bahawa abah tidak bersalah dan semua pendakwaan adalah konspirasi politik dendam semata-mata,” katanya.

    Bagi Ketua Penerangan Srikandi Muda Malaysia, Puteri Najwa Othman, 28 berkata propaganda yang diwujudkan oleh pihak parti lawan menunjukkan mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.

    “Mereka tiada sebab untuk melemahkan Bersatu, sengaja untuk mencalarkan imej parti sebab itu mereka sengaja adakan dakwaan ini untuk melemahkan semangat sayap perwakilan dan presiden.

    “Ketika ini akaun parti pula dibekukan, lebih menyukarkan pergerakan kami menjelang PRN. Tapi itu tidak mengapa, kerana kami sanggup keluarkan wang sendiri demi kelangsungan parti,” katanya.

    Bagi Norhanani Abu Hassan, 32, berkata Srikandi kini dalam usaha melancarkan tabung Srikandi Muda Prihatin sebagai sokongan kepada kepada Muhyiddin.

    “Tabung ini juga sebagai salah satu inisiatif selain tabung ‘hibah Abah’ sebagai solidariti kami terhadap Muhyiddin.

    “Insya-Allah kami akan melancarkan tabung ini dan yang pasti ia bukan akaun peribadi dan akan dibuka menggunakan akaun parti,” katanya.

    Naib Ketua Bahagian Dungun, Amirul Fdhli Che Ismail, 38 berkata, pendakwaan terhadap Muhyiddin adalah untuk menjatuhkan kreadibiliti Muhyiddin sebagai presiden.

    “Keputusan PRU-15 baru-baru ini adalah signal kepada parti pihak lawan. Ini menyebabkan mereka takut dengan kebangkitan orang Melayu yang sokongannya berpihak kepada PN dan bukan lagi UMNO.

    “Kalau betul kerajaan Madani adalah kerajaan telus, kenapa hanya akaun parti Bersatu sahaja yang disiasat dan bukan akaun parti lain.

    “Lebih malang adalah ia akaun parti dan bukan akaun peribadi seperti sesetengah pihak yang menerima dana dikreditkan ke akaun peribadi,” katanya.