Tag: peruntukan pembangkang

  • Peruntukan pembangkang: `Jangan hukum pengundi PN’, kata Dominic Lau

    Peruntukan pembangkang: `Jangan hukum pengundi PN’, kata Dominic Lau

    PRESIDEN Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai meminta kerajaan tidak mengamalkan sikap balas dendam kepada Ahli Parlimen pembangkang dan menghukum pengundi Perikatan Nasional (PN) dengan pemberian peruntukan yang tidak sama kepada wakil rakyat terbabit.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Ahli Parlimen pembangkang sewajarnya menerima peruntukan yang sama dengan pemimpin kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

    “Di manakah model keadilan dan reformasi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tindakan itu menunjukkan kerajaan campuran ini seolah-olah menghukum rakyat kerana mengundi PN dan tindakan itu ternyata tidak adil.

    “Kita mahu pengundi di kawasan PN juga dapat menikmati layanan dan faedah yang sama seperti kawasan yang dimenangi oleh parti kerajaan campuran.

    “Ini kerana ego dan kuasa yang ditonjolkan kerajaan campuran pada hari ini boleh membinasakan negara. Ketepikan perbezaan dan bersedialah membantu rakyat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan, Kerajaan Perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

    Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rundingan berkaitan peruntukan berkenaan sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Di peringkat awal, kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran. Ketika ini, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

    “Jumlah peruntukan hanya dapat diputuskan selepas rundingan terbabit selesai dan kemudiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

    Mengulas lanjut, Dominic Lau meminta kerajaan untuk meneliti semula keputusan itu dan menasihatkan Ahmad Zahid untuk duduk bersama kepemimpinan PN bagi menyelesaikan isu peruntukan itu demi kesejahteraan rakyat.

  • Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM – Tuan Ibrahim

    Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam masa terdekat berhubung status peruntukan pembangkang.

    Menurut Timbalan Presiden Pas itu, PN sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun perdana menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

    “Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya di Kota Bharu semalam, lapor Berita Harian.

    Tuan Ibrahim turut berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.

    “Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.

    Perdana menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak menolak prinsip memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sepertimana yang diberikan kepada wakil rakyat pemerintah.

    Beliau menyeru pihak pembangkang agar berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin, namun setakat ini, menurutnya, beliau hanya berdepan permusuhan.