Tag: peruntukan

  • Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    PEMBINAAN cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

    Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi tujuan itu pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan. 

    “Jika diikutkan kawasan ini merupakan tanah persendirian, jadi kerja-kerja membaik pulih mengikut undang-undang perlu dilakukan oleh pemilik tanah sendiri. Namun kali ini nyawa rakyat lebih menjadi keutamaan jadi saya telah hubungi Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tujuan itu. 

    “Kita perlu menyegerakan cerucuk besi untuk hentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian. Seperti yang kita tahu bahawa kawasan seperti Ampang dan Bukit Antarabangsa merupakan kawasan berisiko berlaku runtuhan tanah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan itu.

    Dalam kejadian malam tadi, tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar (townhouse) membabitkan 32 keluarga terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya dimaklumkan sejumlah 16 rumah bandar yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terbabit sedang menunggu laporan penuh teknikal untuk disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains. 

    “Ia memerlukan tiga hari untuk laporan teknikal itu dikeluarkan bagi memastikan sama ada kawasan rumah mereka itu selamat untuk didiami atau tidak. 

    “Setakat ini dimaklumkan struktur rumah terbabit masih kukuh dan tiada sebarang pergerakan dan penduduk akan dibenarkan pulang sekiranya laporan mengatakan ia selamat untuk kembali diduduki,” katanya. 

    Beliau berkata kebanyakan penduduk terlibat telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di AU2 dan AU5 Lembah Keramat. – BERNAMA

  • Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui

    MEREKA yang dalam tempoh rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak perlu bimbang kerana akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), selepas keputusan rayuan diketahui hujung bulan ini. 

    Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan B40 adalah berdasarkan data lulus BPR, memandangkan mereka masih berada dalam tempoh rayuan. 

    “Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan jika memenuhi syarat M40, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini. 

    “Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah diberikan kerajaan, namun bantuan ini juga mesti mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC di sebuah bank di Triang di sini hari ini. 

    Mohd Shahar mengakui pandemik yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini, juga menyebabkan berlaku situasi mereka dalam kategori T20 berubah menjadi M40, sekali gus layak untuk menerima bantuan kerajaan, jika memenuhi syarat. 

    Sehubungan itu, kementerian sentiasa melaksanakan proses semak dan imbang untuk mengemas kini data bagi mengurangkan risiko mereka yang layak tercicir, mengambil kira bantuan diberikan adalah secara bersasar dan berperingkat. 

    BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember. 

    Selain itu, Mohd Shahar berharap penerima BPR membuat semakan akaun bank kerana didapati masih ada yang tidak menyedari BKC dikreditkan ke akaun mereka kerana berpandangan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.  

    Pada 1 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40 yang layak, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah,  warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion. 

    Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lepas namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, sebelum perdana menteri mengarahkan pembayaran disegerakan sebaik sahaja Kabinet baharu memulakan kerja. 

    “Kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberi bantuan dan kerajaan menggunakan konsolidasi fiskal untuk kita melihat secara keseluruhan perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat bagi membantu mereka,” katanya.

    Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan  Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) telah dan akan diberikan kepada mereka yang layak. – BERNAMA 

  • RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM78 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur selain membantu penduduk yang terjejas dalam tragedi kepala air dekat Gunung Jerai, Rabu lalu.

    Daripada keseluruhan peruntukan itu katanya, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi tujuan membaiki dan menaik taraf sistem saliran, membina dua jambatan baharu Jabatan Kerja Raya serta pembinaan Empangan Sabo fasa satu.

    Sebanyak RM25 juta lagi diluluskan di bawah bantuan khas kecemasan dan bencana bagi tujuan pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa, pembaikan infrastruktur bekalan air masyarakat, membaik pulih kerosakan kawasan tanaman padi, pembaikan jalan, longkang dan titi kampung.

    “Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan membaiki rumah terjejas serta bantuan-bantuan lain.

    “Penyaluran peruntukan ini adalah nilai siling berdasarkan penilaian awal. Mungkin kalau ada keperluan lain, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor akan maklumkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan di sini, hari ini.

    Terdahulu beliau dengan diiringi Muhammad Sanusi, melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

    Ismail Sabri menambah, beliau mahu supaya semua bantuan itu disegerakan agar penduduk terlibat dapat kembali menikmati kehidupan seperti sebelum ini secepat mungkin.

    Sementara itu katanya, barisan Kabinet dijangka akan diumumkan minggu ini selepas beliau mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendapat perkenan dari baginda.

    “Sekarang ini setiap hari ada keluar senarai nama baharu di media sosial. Yang itu jangan percaya kerana semuanya palsu,” katanya.

    Sementara itu katanya, pembangkang sama sekali tidak akan dilibatkan dalam barisan Kabinet baharu kerana kerajaan sedia ada kini bukanlah kerajaan perpaduan.

    “Kerjasama yang saya sebutkan sebelum ini tidak semestinya memerlukan keberadaan mereka dalam Kabinet.

    “Kalau betul nak bantu berkaitan Covid-19, kita ada Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 manakala untuk pemulihan ekonomi pula, kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya jemput mereka sertai sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya, beliau berterima kasih terhadap maklum balas menggalakkan dibuat pembangkang termasuk kesudian mengadakan perbinangan.

    “Insya Allah saya akan berjumpa mereka untuk bincang apa yang boleh terutamanya mengenai peranan dimainkan mereka,” katanya.