Tag: pertuduhan

  • Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

    Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada 9 pagi.

     Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen esok di mahkamah sama.

    Ahli Parlimen  Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA

  • MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak perletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, ini kerana pertuduhan kes rasuah terhadap Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden dan bukannya kapasiti peribadi.

    “MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Muhyiddin memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

    Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Mengulas lanjut Hamzah turut mengesahkan menerima laporan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka pada hari yang sama.

  • Kakitangan dan pelatih Puspen didakwa membunuh

    Kakitangan dan pelatih Puspen didakwa membunuh

    SEORANG kakitangan dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelatih pusat itu pada bulan lepas.

    Kakitangan Puspen, Nur Aslam Faizal, 35, dan pelatih Suffian Effendy Kadri, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa bersama-sama membunuh Mohd Ali Mohd Nor, 50, di Puspen Perlop di sini pada kira-kira 10.30 pagi, 31 Jan lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. S. Vitthiyeswary dan Nur Aslam diwakili peguam Keshviner Singh manakala Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Sebelum ini, polis menahan tiga kakitangan dan seorang pelatih berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat itu. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa dan keputusan bedah siasat mengesahkan, kecederaan pada mangsa adalah akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul. – BERNAMA