Tag: perpaduan

  • Generasi muda selesa dengan kesenangan, kurang minat politik – Dr Mahathir

    Generasi muda selesa dengan kesenangan, kurang minat politik – Dr Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kekurangan minat generasi muda terhadap politik adalah kerana golongan itu terlalu selesa dengan kesenangan yang dikecapi ketika ini.

    “Bila selesa, mereka terima sahaja apa yang ada di sekeliling mereka, tetapi kita mesti sedarkan anak muda bahawa pada masa akan datang, mungkin apa yang ada sekarang tidak akan sama,” katanya ketika menjadi panelis pada program Minggu Negarawan bertajuk Peradaban dan Sosiologi sempena Bulan Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini.

    Dr Mahathir berkata generasi muda perlu mengambil tahu tentang sejarah perjuangan generasi terdahulu bagi menghadiahkan sebuah negara merdeka dan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

    Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian yang turut menjadi panelis program berkenaan berkata perpecahan dalam masyarakat akibat perbezaan politik merupakan suatu perkara yang tidak sihat dan perlu diatasi segera dengan mencari titik persamaan sebagai bahan pemulih.

    “Ini untuk kekalkan perpaduan dan perlu dirawat segera demi kepentingan negara. Kita kena pertahan keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

    Ditemui pemberita kemudian, Dr Mahathir berkata beliau memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung kenyataannya didakwa berunsur penghinaan terhadap institusi diraja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lepas.

    Dr Mahathir berkata beliau telah memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur semalam.

    Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan pihaknya telah merakam keterangan Dr Mahathir dan memaklumkan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

  • Haram perpaduan tanpa ikut petunjuk Allah – Hadi

    Haram perpaduan tanpa ikut petunjuk Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya perpaduan yang mengikut hidayah (petunjuk) Allah sahaja akan membawa berkat, berwawasan kukuh dan kekal, daripada dunia hingga akhirat.

    Bagaimanapun jelas Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut pula adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya.

    “Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan aqidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat.

    “Hal ini disebabkan tiada asas aqidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian menerusi ruangan Minda Presiden Pas bertajuk “Perpaduan yang wajib dan haram” yang disiarkan di akaun Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Hadi menjelaskan Rasulullah SAW melaksanakan konsep perpaduan ketika menegakkan negara di Madinah dengan menyatukan penganut Islam dalam kalangan Muhajirin (yang datang daripada luar Madinah) dan Ansar (penduduk asal Madinah).

    Katanya, perpaduan itu kemudiannya, diikuti pula dengan penyertaan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem dan berdamai dengan pelbagai agama, sama ada dari Madinah dan dari luarnya mengikut sempadan yang telah ditetapkan.

    “Mereka semua termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam, penganut dan negaranya. Semuanya telah dirakamkan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang terkenal.

    “Konsep perpaduan yang menerima Islam memimpin, hukum Islam adalah tertinggi bagi menyelesaikan semua masalah yang berlaku dengan adil dan saksama, serta hak kebebasan beramal dengan agama masing-masing yang dijamin dalam al-Quran dan Sunnah,” katanya.

    Hadi dalam pada itu menjelaskan, Islam menegaskan bahawa perpaduan itu wajib dipimpin oleh Islam yang bercirikan keimanan kepada aqidah, syariat dan akhlaknya yang terdapat pada kepimpinan, bukan sekadar mempunyai ilmu dan pengaruhnya sahaja tanpa hidayah Allah SWT.

    Pada masa yang sama, perpaduan itu katanya disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak memusuhi Islam, serta melarang dengan hukum haram daripada bersama dengan golongan yang nyata ekstrem dan bermusuh terhadap Islam dan penganutnya.

    Namun katanya, Islam mengharamkan sebarang hubungan yang menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia.

    “Begitu juga, apabila bersama kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam, sama ada mereka yang menghina ajarannya atau bermusuh terhadap penganutnya atau bersikap melampau mahu berkuasa terhadap umat Islam. Bahkan, kalangan Islam yang melakukan perkara sedemikian dianggap munafiq.

    “Rasulullah SAW beristiqamah dengan tegas berpegang kepada prinsip dan konsep yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sehinggakan Baginda sanggup membatalkan hubungan dengan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar syarat dan adab perpaduan dalam Islam,” tambahnya.

    Hadi sebelum ini pernah menyatakan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan kerajaan perpaduan sebaliknya cuma “kerajaan minoriti.”

    Beliau juga menuduh parti “bukan Islam” DAP mempunyai lebih banyak suara dalam kerajaan, ketika menjelaskan kenapa PN menolak saranan Yang di-Pertuan Agong supaya gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

    Ini meskipun daripada 148 ahli parlimen yang menyokong Anwar sebagai ahli parlimen, wakil rakyat Melayu merupakan jumlah paling ramai dengan 50 daripada mereka adalah berketurunan Melayu.

    Ini diikuti oleh ahli Parlimen Cina, dengan 43 orang, bumiputera Islam dari Sabah dan Sarawak (27), bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawakr (16) dan India atau kaum-kaum lain (12).

  • Perpaduan, kestabilan, kesegaran politik agenda penting negara:Calon PN

    Perpaduan, kestabilan, kesegaran politik agenda penting negara:Calon PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata perpaduan, kestabilan dan kesegaran politik baharu adalah penting bagi negara ini.

    “Ini memanglah menjadi satu agenda penting untuk kita semua bina dan pelihara,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat menerusi kemasi kini dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Sehubungan itu katanya, bagi memastikan agenda tersebut dapat disemai, pengundi di DUN Parit Yaani perlu memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menerusi satu lagi ‘posting’ sebelum itu, beliau bersimpati dengan 708 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kelantan dan Terengganu yang terkesan dengan banjir dan tidak dapat menduduki peperiksaan itu.

    Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, mereka terpaksa menduduki peperiksaan SPM kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua yang akan diadakan April ini.

    “Ramai calon SPM di Kelantan dan Terengganu tidak dapat meneruskan peperiksaan SPM kerana banjir besar yang berlaku baru-baru ini. Buat calon SPM negeri Johor, selamat maju jaya dan buat yang terbaik dalam peperiksaan,” katanya.

  • Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    RMK12

    DASAR nasional mengenai perpaduan akan diperkenal untuk menggalakkan kesepaduan sosial dan keharmonian serta memanfaatkan kepelbagaian sebagai aset bagi memperkukuh perpaduan rakyat.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini menyebut dasar tersebut akan menggariskan tiga teras bagi meneraju agenda perpaduan iaitu, membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional serta memperkukuh ekosistem perpaduan.

    “Pelan tindakan juga akan diperkenal untuk menterjemahkan dasar melalui pelaksanaan program dan inisiatif khusus merentasi pelbagai sektor dan agensi bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat,” katanya.

    Dasar berkenaan digariskan di bawah strategi memperkukuh tadbir urus bagi memperkukuh perpaduan untuk negara makmur, yang menjadi keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen itu lebih banyak program peningkatan keupayaan akan diadakan bagi memperkukuh kompetensi dan membangunkan pakar rujuk dalam bidang perpaduan.

    Bagi menggalakkan penggunaan platform digital secara beretika, beberapa peruntukan dalam perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan disemak semula dan diperkukuh, bagi mengawal penyebaran maklumat berniat jahat dan hasutan serta berita palsu, yang mengancam perpaduan dan keharmonian negara.

    Program advokasi mengenai penggunaan media digital yang beretika dan bertanggungjawab akan diperluas pada seluruh lapisan masyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

    Menurut dokumen itu, penggunaan media digital yang beretika akan dimasukkan ke dalam program akademik yang relevan serta aktiviti kokurikulum di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    Di samping itu, usaha akan dipergiat untuk menggalakkan rakyat mempelajari bahasa tempatan lain seperti bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa etnik lain.

    Kaedah pembelajaran bahasa tempatan lain akan dipelbagai dengan memanfaatkan teknologi digital. Inisiatif ini akan membolehkan rakyat lebih memahami pelbagai adat dan budaya serta meningkatkan tahap kepercayaan antara satu sama lain. – BERNAMA

  • PRU-15: Bersatu teruskan agenda perpaduan politik Melayu-Islam

    PRU-15: Bersatu teruskan agenda perpaduan politik Melayu-Islam

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kemakmuran rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama juga akan diberi perhatian menjelang PRU-15 meskipun agenda perpaduan politik Melayu Islam diangkat sebagai ‘strategi’ parti.

    Pada masa sama beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) juga perlu diperkuatkan supaya gabungan parti itu dapat berfungsi sewajarnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan aspek pemulihan negara.

    “Bagi saya, kita meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, serta biar rakyat membuat penilaian.

    “Fokus kita ialah PN. Kuatkan PN untuk menjaga rakyat dan memulihkan negara. PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, Bersatu selain itu akan terus bergerak bersama pengasas bersama dalam PN iaitu PAS, GERAKAN, SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku).

    Oleh itu katanya, semua parti komponen PN diminta untuk membina jentera pilihan raya secara bersama.

    “Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai dan zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat.

    “Kita mesti bergerak bersama dan mengaturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara. Ia supaya rakyat nampak bahawa kita benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara,” katanya.

    Wan Saiful berkata, PN juga meletakkan standard tinggi pada negara, dengan bertegas dalam isu berkait ketelusan dan integriti, selain menolak salah laku serta penyelewengan.

    “Dalam PN, kita meneruskan komitmen memulihkan negara daripada Covid-19 dan cabaran ekonomi,” katanya.