Tag: permit

  • Permit operasi syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik digantung sementara

    Permit operasi syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik digantung sementara

    PERMIT operasi syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak yang mengakibatkan kematian seorang bayi, akan digantung sementara untuk dilakukan audit ke atas semua lori syarikat itu.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori dan syarikat berkenaan.

    “Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga.

    “Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya,” katanya yang turut berkongsi video berdurasi 16 saat memaparkan kemalangan itu.

    Tular di media sosial luahan mangsa kemalangan itu yang kesal dengan sikap pemandu lori didakwa membawa muatan melebihi had sehingga menyebabkan muatan tersebut terjatuh dan menimpa kenderaan lain.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata polis telah menahan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di KM69 Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli) pada 29 Okt lepas itu, ketika lelaki itu melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan, pada hari sama.- BERNAMA

  • 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

    Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

    Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

    Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

    Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

    “Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA