Tag: perkhidmatan awam

  • Hormati keistimewaan Melayu dalam perkhidmatan awam, kata Razman

    Hormati keistimewaan Melayu dalam perkhidmatan awam, kata Razman

    PESURUHJAYA Pas Perak Razman Zakaria menggesa semua pihak menghormati hak orang Islam dan sensitiviti kaum Melayu.

    Memetik Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Malaysia dan “asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan,” Razman tanpa memberikan butiran lanjut mendakwa perkara itu termasuklah keistimewaan orang Melayu “dalam perkhidmatan awam.”

    Komposisi etnik perkhidmatan awam menjadi isu kontroversi selepas pemimpin DAP P Ramasamy menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merungkai dasar “penguasaan Melayu” dalam sektor awam.

    Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat menafikan wujudnya kuota berasaskan kaum untuk pengambilan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam.

    Cuepacs berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebaliknya melihat kepada merit dan tidak menetapkan sebarang kuota agama, kaum, etnik atau kenegerian.

    Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, Pas Perak sentiasa memantau perkembangan politik negara khususnya di negeri Perak.

    “Pas juga mengikuti secara serius budaya politik yang dibawa DAP serta mengambil maklum sebaran media dari Adun Melayu yang mewakili DAP di Perak,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Semakan dengan pasukan media Pas menunjukkan Razman menjawab kenyataan ADUN DAP di Perak, Abdul Aziz Bari.

    Aziz berkata, beliau mengambil maklum mengenai “kegiatan menyebar politik kebencian atas nama agama dan bangsa.”

    “Ini termasuklah tuduhan liar mempromosikan LGBT atas nama mempertahankan akidah umat Islam,” katanya.

    Ini ditujukan kepada Razman, yang telah memohon maaf secara terbuka kepada Anwar dalam kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi Taiping.

    Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Anwar membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    “Kebimbangan dan ketakutan serta rasa tidak selamat yang cuba disebarkan itu sebenarnya tidak wujud.

    “Dan kita harus sedar bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu telah diberikan perlindungan yang cukup oleh perlembagaan.

    “Dengan itu tidak ada parti politik, sekuat manapun mereka yang boleh merubah status quo itu,” kata Aziz.

    Menyeru parti politik untuk bersaing atas dasar polisi dan rekod prestasi masing-masing, ADUN Tebing Tinggi itu mengingatkan agar tidak menggunakan politik kebencian untuk mencari pengaruh kerana ia boleh mengancam negara.

    Melayu korban politik kebencian

    “Dengan itu, DAP menyeru dan mengajak para ulama dan cendekiawan Melayu untuk tampil ke depan berganding bahu membanteras politik negatif yang berbahaya itu.

    “Pada hakikatnya bukan DAP satu-satunya korban daripada politik kebencian itu.

    “Mangsa sebenar politik kebencian itu adalah orang Melayu sendiri,” katanya menjelaskan perkara itu boleh merugikan masyarakat dengan membuat pilihan yang tidak tepat.

    Sementara itu, Razman berkata “Pas sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan.”

    “Pas juga menuntut semua pihak terutama parti politik agar menjunjung perlembagaan negara, menghormati undang undang serta asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

    “Semua hak hak yang telah termaktub dalam perlembagaan atau persefahaman yang dibina dalam pembentukan negara hendaklah dipatuhi dan dihormati.

    “Sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

    “Mempertikaikan hak orang Islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

    “Mengkritik amalan agama islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam dan peruntukan terhadap agama Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara,” kata Razman lagi.

    Aziz dan Razman bagaimanapun meminta pihak berkuasa untuk tidak berkompromi dengan politik “negatif”.

    Untuk rekod, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan istilah “hak istimewa” bumiputera.

    Perkara 153 merujuk “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.”

    Berdasarkan Perkara 153 (1), “menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

  • Pelantikan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kuota kaum – Cuepacs

    Pelantikan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kuota kaum – Cuepacs

    PERKHIDMATAN awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam perkhidmatan awam dibuat berasaskan merit serta kompetensi calon tanpa melibatkan kuota seperti ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

    “SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

    “Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy menerusi hantaran dalam Facebook meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

    Ramasamy juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menangani isu berkenaan serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.

    Semalam, Anwar dilapor berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya reformasi dilakukan untuk mengurangkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

    Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor itu sebagai satu masalah pada masa ini.

    Sementara itu, Adnan berkata ketika ini sambutan kaum bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji yang rendah berbanding bekerja di sektor swasta atau berniaga.

    “Sebelum ini, ramai tidak berminat menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain. Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara,” katanya.

    Malah katanya, disebabkan faktor itu jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

    Cuepacs, beliau berkata mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea bagi membangunkan sektor perkhidmatan awam agar lebih ramai kaum lain berminat menyertainya.

    “Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

  • Transformasi perkhidmatan awam dalam RMK-12

    Transformasi perkhidmatan awam dalam RMK-12

    RMK12

    PERKHIDMATAN awam akan ditransformasi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) melalui pendekatan keseluruhan kerajaan, dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini memberikan komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara, akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

    Beliau berkata perkhidmatan awam akan ditransformasi dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 iaitu dari 2021 hingga 2025 itu melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

    “Pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi.

    Beliau berkata mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik.

    Ismail Sabri berkata cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

    Beliau berkata pendigitalan perkhidmatan awam akan terus ditingkatkan, dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 telah dilancarkan yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan.

    Menurutnya kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir (end-to-end) meningkat kepada 80 peratus pada 2025.

    Ismail Sabri dalam pada itu berkata rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas. – BERNAMA