Tag: Perikatan Nasional

  • PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PERSEDIAAN Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus.

    Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

    “Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

    “Boleh dikatakan 80 peratus telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, malam tadi. 

    Terdahulu Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Gerakan pusat Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

    Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Abdul Hadi berkata ia bertujuan merapatkan hubungan antara parti itu dengan Gerakan serta memberi maklumat tepat kepada masyarakat khususnya yang bukan Islam termasuk isu Islamofobia. – BERNAMA

  • PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PINTU sentiasa terbuka buat Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada masa depan.

    Perkara itu diakui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilaporkan BH Online di sebalik timbul desas-desus berhubung ‘Langkah London’ yang dikatakan direncana beberapa ahli politik.

    Bagaimanapun, Hamzah enggan merujuk cadangan kerjasama tersebut sebagai Muafakat Nasional (MN).

    Beliau menegaskan, pintu kerjasama itu hanya boleh ‘dibuka’ sekiranya semua pemimpin bersetuju dengan matlamat yang sama.

    Ketika ditanya kemungkinan PN boleh kembali menjadi kerajaan menerusi kerjasama baharu, Hamzah hanya menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”

    “Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.

    “Jika ada satu pihak kata ‘tidak’, maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita,” katanya memaklumkan asas kerjasama itu kekal untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    Ditanya mengenai masa depan UMNO yang pernah dianggotainya sebelum keluar parti itu pada Disember 2018, Hamzah yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilihat keberatan untuk mengulas mengenainya.

    Selepas diasak dengan soalan serupa, beliau memaklumkan, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

    “UMNO perlukan kerjasama baharu untuk parti itu membuat pembaharuan,” katanya.

    Mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang perlu dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu meluahkan keyakinan PN mampu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

    Jelas beliau, peluang gabungan itu untuk merampas Negeri Sembilan pula dilihat seimbang.

    Pada masa sama, Hamzah turut menjangkakan PN akan terus dapat menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Namun begitu, beliau merasakan peluang sukar untuk gabungan itu merampas Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri berkenaan.

  • PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    SOKONGAN orang Melayu berkemungkinan akan beralih daripada UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dalam beberapa bulan akan datang.

    Menurut Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau percaya orang Melayu akan mengalihkan sokongan mereka kerana UMNO kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di negeri-negeri yang pernah dikuasai Barisan Nasional (BN), yang bertentangan dengan hati rakyat, dan prinsip asas parti nasionalis itu.

    “Ia terbukti dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana sokongan bangsa Melayu mula beralih kepada Perikatan Nasional, tetapi apabila UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, ini menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ramai yang berhasrat untuk membuat pusingan-U sekarang.

    “Jika kita perhatikan, kerusi luar bandar yang menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini, kita berjaya memenanginya pada PRU-15.

    “Jadi saya yakin detik ini akan berterusan sehingga pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam artikel yang disiarkan hari ini.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata UMNO/BN akan bekerjasama dengan PH dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

    Guan Eng berkata dengan penubuhan kerajaan pada peringkat Persekutuan, DAP dan UMNO/BN akan mengambil bahagian dalam kerjasama yang sama di peringkat negeri, sama seperti di Perak dan Pahang.

    “Perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan semasa mesyuarat PH, melibatkan Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tertinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.

    Pada dasarnya, Guan Eng berkata kerjasama politik akan melibatkan penubuhan kerajaan PH-BN pada Peringkat Persekutuan.

    “Jika tidak (kerjasama dalam PRN), saya tidak fikir ia (kerajaan PH-BN) akan berterusan. Jadi, dengan itu, sudah tentu bukan sahaja peringkat kerajaan, malah kerjasama politik juga akan berlaku.

    “Tetapi (sekali lagi), saya rasa kita perlu menunggu mesyuarat yang akan diadakan sebelum sebarang kerja boleh dimulakan,” tambah Guan Eng.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal mengakui ia tidak akan menjadi ‘cake walk’ untuk Perikatan Nasional pada PRN itu, meletakkan ia kepada naratif serong PAS sebagai parti ekstremis.

    Beliau berkata ia telah berjaya pada tahap tertentu dalam kalangan pengundi bukan Islam di negara ini.

    “Mereka yang mendakwa jika Perikatan Nasional menang, kami akan memerintah dengan cara Taliban. Propaganda mereka telah berjaya menimbulkan ketakutan kepada pengundi bukan Melayu di mana sebenarnya apa yang berlaku di Terengganu dan Kelantan bukanlah seperti yang didakwa,” katanya.

    Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang dikuasai PH, dan Kedah, Kelantan dan Terengganu, ditadbir oleh PAS, akan mengadakan PRN tahun ini.

  • Covid-19: Kerajaan diharap ambil langkah segera pastikan rakyat selamat – Muhyiddin

    Covid-19: Kerajaan diharap ambil langkah segera pastikan rakyat selamat – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan dapat mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu COVID-19 yang dikesan di beberapa buah negara.

    Berikut merupakan kenyataan penuh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu yang disiarkan dalam Facebook beliau malam ini.

    Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh dan salam sejahtera.
    Apa khabar semua?

    Saya mendoakan agar anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

    Esok kita akan melangkah ke tahun baharu 2023 dan saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat memasuki tahun baharu dalam suasana yang aman, damai dan ceria.

    Saya percaya setiap daripada kita telah melalui tahun 2022 dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis yang pastinya menjadi kenangan dan iktibar buat kita semua.

    Orang kata hari semalam adalah memori, hari ini adalah realiti dan hari esok masih misteri. Begitulah kehidupan kita.

    Apa yang telah kita lalui itu jadikan pedoman dan pengajaran. Bersyukur atas segala kejayaan yang kita capai. Bersyukur juga atas segala dugaan yang kita hadapi kerana semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

    Jatuh bangun dalam hidup adalah perkara biasa. Yang penting bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dan melangkah ke hadapan dengan yakin dan gagah untuk mengejar impian kita.

    Saya tahu dalam tempoh setahun dua yang lalu, ramai daripada kita mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda negara. Hari ini pun masih ramai yang sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi dan permasalahan lain yang membelenggu.

    Namun, kita tidak boleh lemah semangat atau putus asa. Kini masanya untuk kita bingkas bangun semula dengan lebih tangkas. Saya percaya dalam tempoh pemulihan ini peluang ada di mana-mana untuk kita memajukan diri dan keluarga asalkan kita sanggup berusaha.

    Insya-Allah, selagimana ada kemahuan, di situ ada jalan.

    Saya sendiri sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t buat diri saya dan keluarga. Perjalanan hidup saya seperti anda juga tidaklah selalunya senang. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi. Semua liku-liku hidup yang dilalui itu sebenarnya mendewasakan kita.

    Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Yang penting jangan putus asa dalam menggapai impian kita.

    Terutama sekali anak-anak muda yang masih mempunyai perjalanan hidup yang jauh. Yakinlah dengan potensi diri dan sentiasalah berusaha untuk memperbaiki pencapaian anda. The sky is your limit. You can achieve anything if you want to.

    Sempena Tahun Baharu 2023, saya dan keluarga mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dalam mengejar azam dan impian masing-masing.

    Jaga diri, jaga kesihatan, terutamanya dalam keadaan jangkitan COVID-19 yang masih berlaku di dalam komuniti kita.

    Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu COVID-19 yang dikesan di beberapa buah negara. Sayugia saya ingin menasihatkan supaya anda semua sentiasa mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung cara-cara untuk menghindari jangkitan COVID-19, termasuk keperluan untuk mengambil suntikan dos penggalak.

    Saya juga berharap agar kerajaan dapat segera melaksanakan langkah-langkah untuk meringankan beban kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun hadapan.

    Golongan yang miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup. Lebih 60% penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan.

    Saya menggesa supaya Perdana Menteri segera memberi tumpuan kepada perkara penting ini menerusi langkah-langkah yang mesti diputuskan oleh Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

    Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera.

    Selamat menyambut Tahun Baharu 2023!

  • Usah ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid kerana fahaman politik – Muhyiddin

    Usah ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid kerana fahaman politik – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pihak berwajib di negara ini tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau malam ini:

    Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat. 

    Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

    Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

    Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam. 

    Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri. 

    Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka  kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu. Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. 

    Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif.

  • PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PRESIDEN GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa parti ekstremis yang sebenar adalah UMNO, bukannya Perikatan Nasional (PN) seperti kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

    “Selepas bertahun-tahun Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang mencaci UMNO, kini bolehkah DAP menafikannya?” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Guan Eng dilaporkan mendakwa, PN mengambil sikap perkauman dan ekstremis berdasarkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kesal dengan peratusan keluar mengundi orang Islam dalam PRU15.

    Kata bekas Menteri Kewangan itu, bukan Islam bukannya memusuhi Islam, sebaliknya penentangan terhadap PAS disebabkan parti itu yang dilihatnya terus mengancam dan mengurangkan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta campur tangan dalam gaya hidup orang bukan Islam.

    Pada masa sama Dominic turut menempelak Guan Eng yang menuduh GERAKAN sebagai ‘Boneka Rakan Sejenayah Pas’, sedangkan katanya, DAP yang banyak bekerjasama dengan Pas, iaitu sejak 1999 dengan kali pertama digandingkan dalam Barisan Alternatif.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama dengan parti Pas dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat bagi bekerjasama dalam politik selama tiga tahun. Adakah Lim Guan Eng lupa bahawa DAP pernah bekerjasama dengan Pas?

    “Sekurang-kurangnya GERAKAN tidak sombong, sebaliknya hormat dengan Pas. Sebelum DAP bekerjasama dengan Pas, pengaruh politik Pas pada asalnya hanya di Pantai Timur.

    “Selepas bekerjasama dengan PN, Pas berkembang hingga ke Perak, Kedah dan Selangor,” katanya yang secara sinis, turut meluahkan rasa malu kerana GERAKAN tidak banyak memberi bantuan kepada Pas berbanding DAP.

  • Kemeriahan Krismas bukti hak individu amal agama terus subur – Muhyiddin

    Kemeriahan Krismas bukti hak individu amal agama terus subur – Muhyiddin

    SAMBUTAN meriah Hari Natal di Malaysia pada setiap tahun membuktikan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni terus subur.

    Pengerusi Perkatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemeriahan itu juga melambangkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

    “Perayaan ini yang saban tahun disambut dengan meriah melambangkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

    “Ia juga membuktikan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terus subur,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan Hari Natal yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri pada sama mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada semua penganut agama Kristian di Malaysia.

    Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang mengambil cuti sempena perayaan Krismas agar berhati-hati di jalan raya.

    “Bagi yang mengambil cuti sempena perayaan Krismas, berhati-hati di jalan raya. Semoga anda semua selamat tiba di destinasi masing-masing,” tambahnya.

  • “Jangan buat tuduhan semberono lagi,” Hamzah tegur Anwar

    “Jangan buat tuduhan semberono lagi,” Hamzah tegur Anwar

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyindir kempen pilihan raya gabungan pembangkang itu dibiayai syarikat perjudian.

    Hamzah yang menyifatkannya “berita palsu” berkata, Anwar tidak patut mewujudkan persepsi negatif terhadap PN.

    Kata Ketua Pembangkang itu, Anwar patut mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika terdapat sebarang salah laku.

    Menurutnya, sebagai menteri kewangan, Anwar tidak patut mencemarkan imej kerajaan sebelum ini.

    “Anda perdana menteri sekarang, bukan ketua pembangkang lagi.

    “Sayalah ketua pembangkang. Jangan buat tuduhan semberono lagi. Tiada lagi berita palsu daripada anda,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

    Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat “pelanggaran” serius dalam prosedur kerajaan berhubung dakwaan perbelanjaan RM600 bilion oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian, khasnya yang terbabit dalam cabutan khas 4D.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, rakyat Malaysia tahu bahawa PN memperolehi sokongan besar dengan 74 ahli Parlimen gabungan itu diberikan sokongan dan mandat yang kuat.

    Kata Ahli Parlimen Larut itu, sokongan besar berkenaan tidak sewajarnya ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

    “Rakyat Malaysia tahu bahawa Perikatan Nasional memperolehi sokongan yang besar, 74 ahli Parlimen yang telah diberikan sokongan dan madat yang kuat.

    “Jangan pula sokongan yang ikhlas dan jujur daripada rakyat ini ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

    “Jangan timbulkan persepsi yang bukan-bukan terhadap Perikatan Nasional,” tambahnya.

  • Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    MAYAT mangsa ke-17 dan ke-18 kejadian tanah runtuh di Batang kali ditemui di bawah runtuhan dekat tepi sungai, pukul 4.40 petang tadi.

    Lapor Berita Harian, mangsa ditemui berpelukan ialah pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun.

    Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan mangsa yang masih dikesan 15 orang.

    “Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.

    “Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dijadual mengadakan sidang media petang ini.

  • Pas Pahang kesal perangai lama kerajaan negeri tak berubah

    Pas Pahang kesal perangai lama kerajaan negeri tak berubah

    PAS Pahang membidas sikap kerajaan negeri pimpinan UMNO-DAP yang dilihat tidak mengubah perangai lama dengan melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PN serta masyarakat awam di daerah itu, hari ini.

    Beliau menegaskan, tempahan dan kelulusan penggunaan fasiliti itu telah diberi sebelumnya dan pembayaran sewa juga telah pun dibuat.

    “Pas Pahang kesal dengan tindakan kerajaan negeri melalui PBT Temerloh yang membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis Kesyukuran dan meraikan petugas PRU serta masyarakat awam di Temerloh, pada hari ini.

    “Perangai lama mereka ini tidak berubah sejak dahulu dan ia menambahkan kemarahan orang ramai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu dalam kenyataan di Facebook.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

    Menurutnya, penggunaannya kemudahan awam sepatutnya tidak terhad kepada parti pemerintah sahaja.

    “Dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, sayangnya ia hanya boleh digunakan oleh parti pemerintah sahaja.

    “Walaupun PRU lalu menyaksikan PN berjaya memenangi kerusi Parlimen Temerloh dan DUN Semantan dan Lancang,” katanya.

    Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.