Tag: Perikatan Nasional

  • Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    PUTRA dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menuju ke arah menjadi parti politik rasmi, menurut laporan.

    Mahathir dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Ibrahim Ali, sekutu lama bekas perdana menteri itu.

    Memetik sumber parti, Utusan Malaysia melaporkan bahawa hala tuju parti akan diperincikan kepada ahli Putra pada mesyuarat agung tahunannya bulan depan.

    Sumber berkata, GTA akan bekerjasama dengan parti-parti bawahnya sebelum ini, seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), serta gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Baru-baru ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Mahathir selepas (Pengarah Pilihan Raya PAS) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.

    “Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada PRU16,” kata sumber.

    Bagaimanapun, menurut sumber itu, GTA mungkin tidak akan bertanding pada PRN akan datang di enam negeri, sebaliknya hanya menyokong PN.

    Katanya, PN yakin dapat meraih sokongan pengundi Melayu sebagai alternatif kepada kerjasama antara UMNO dan DAP dalam kerajaan.

    Pada masa ini, GTA yang diasaskan oleh Mahathir tahun lepas terdiri daripada parti-parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, termasuk Putra.

    Februari lepas, Mahathir meninggalkan Pejuang, yang diasaskannya pada 2020, berikutan keputusan parti itu keluar daripada GTA. Menurut Mahathir, tindakan menolak GTA sama seperti menolak dirinya.

    Beliau kemudian menyertai Putra sebulan kemudian dan diberi nombor keahlian “No 1”, yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim sebagai presiden.

    Keesokan harinya, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai PN.

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) hanya akan diputuskan oleh peringkat tertinggi gabungan politik berkenaan.

    Presiden Bersatu itu berkata, buat masa ini ia belum diputuskan kerana masih belum dibincangkan.

    “Saya akan bentangkan perkara ini dan tunggulah keputusan peringkat tertinggi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022, di Cheras, hari ini.

    Pejuangsebelum ini memaklumkan sudah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Muhyiddin manakala salinan turut diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

  • Wujudkan Akta Pendanaan Politik, kata Perwakilan Armada

    Wujudkan Akta Pendanaan Politik, kata Perwakilan Armada

    AKTA Pendanaan Politik atau Akta Pembiayaan Kempen Politik perlu diwujudkan bagi mengelak salah faham atau isu berbangkit sesebuah parti.

    Ini kerana ketika ini belum ada peraturan jelas tentang sumbangan, perbelanjaan politik calon semasa kempen pilihan raya.

    Mahasiswa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Airil Fitri Jalaluddin, 23, berkata boleh dikatakan semua parti di negara ini menerima sumbangan dana daripada luar dan perkara itu tidak menjadi kesalahan selagi tidak melanggar undang-undang.

    “Perikatan Nasional (PN) bukan satu-satunya parti politik di negera ini yang menerima sumbangan tetapi kenapa hanya parti kami menjadi sasaran dan dipersoal. Jika betul kerajaan telus siasat juga parti politik supaya adil dan saksama.

    “Sudahlah dana parti masuk akaun parti bukan akaun peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin, adakah ia tetap menjadi kesalahan sedangkan parti politik lain yang terang-terangan terima sumbangan di akaun peribadi.

    “Misalnya Datuk Seri Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan dan kebanyakan subangan diterima beliau dikkreditkan ke akaun peribadi yang dibelanjakan untuk membayar hutang kad kredit yang nilainya ratusan juta,” katanya kepada Satuberita ketika ditemui di Dewan Wawasan Menara PGRM di Cheras, hari ini.

    Bagi Mohamad Hakim Norizan,33 keadaan terdesak parti pihak lawan membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja cara bagi mendakwa presiden Bersatu.

    “Ini adalah penganiayaan dan ingat rakyat sedang memerhatikan anda. Ia adalah konspirasi jahat kerana sokongan terhadap PN terutama orang Melayu menakutkan pihak lawan.

    “Di mana salahnya dana yang diterima daripada penyumbang dikreditkan ke akaun parti dan bukan akaun persendirian. Kita juga tiada akta yang mengatakan tidak boleh terima sumbangan atau dana daripada pihak luar.

    “Tuduhan terhadap Muhyiddin adalah sangat tidak berasas dan fitnah. Buatlah apa sahaja kami tetap akan terus teguh bersama Bersatu,” katanya.

    Bagi Muhammad Syahmi Haziq Mohd Najib, 24 berkata, usia muda bukan penghalang untuk dirinya ambil tahu mengenai senario politik yang berlaku di negara ini.

    “Ya jika dilihat pada usia, saya terlalu mentah untuk betcakap soal politik. Tetapi sejak menyertai Bersatu pada 2018, saya semakin ‘celik’ mengenai politik di negara ini.

    “Saya juga ambil tahu dan cakna denga napa yang berlaku terhadap presiden Bersatu dan sebagai orang muda saya tidak setuju denga napa yang pihak lawan cuba lakukan.

    “Negara kita negara demokrasi, tapi politik dendam yang dipamerkan kerajaan Madani benar-benar mengecewakan dan kotor. Jika benar telus, siasat semua akaun parti di negara ini supaya tidak ‘double standard’. Apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah umpama ‘bunuh diri’ mereka sendiri,” katanya.

  • PAT Bersatu 2022: Muhyiddin umum tidak letak jawatan Presiden

    PAT Bersatu 2022: Muhyiddin umum tidak letak jawatan Presiden

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk tidak meletak jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022.

    Beliau juga terharu dengan sokongan diterima dan berjanji untuk terus memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

    “Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam, saya telah menawarkan untuk meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu. Ini adalah disebabkan kedudukan saya pada masa ini yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.

    “Sebagai mendukung prinsip dan motto perjuangan parti kita, iaitu Bersatu Bermaruah dan Beramanah, saya mengambil (tanggungjawab) sepenuhnya atas pertuduhan terhadap diri saya. Walau bagaimanapun MPT Bersatu menolak tawaran saya untuk meletak jawatan.

    “Pagi ini, perwakilan juga meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti.

    “Saya amat terharu dengan sokongan yang luar biasa. Saya terharu dan bangga di atas sikap setiakawan saudara semua. Terima kasih dan saya akan teruskan untuk memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras.

    Sebelum itu, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 sebulat suara meluluskan Usul Penolakan Perletakan Jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

    Usul dibentangkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Ahmad Faizal berkata, perwakilan Bersatu menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin, sekali gus menyokong penuh agar beliau kekal memimpin sebagai Bersatu.

    “Kita sedar, tanpa susuk tubuh Muhyiddin, parti ini tidak akan wujud. Parti ini lahir di teratak beliau. Asas perjuangannya adalah idealisme perjuangan beliau. Kelangsungannya kerana komitmen Tan Sri Presiden dan kejayaannya, kerana keyakinan rakyat kepada beliau yang dikasihi rakyat dan digelar sebagai ‘Abah’.

    “Pengorbanan yang dilakukan oleh Abah kita tidak boleh dipertikaikan lagi. Pelbagai jenis cabaran dan dugaan, naik dan turun telah dilalui olehnya. Beliau pernah dipecat, beliau pernah didesak melepaskan jawatan dan hari ini pula beliau dituduh dengan penuh kezaliman,” ujarnya.

    Justeru, katanya Bersatu melihat sekarang adalah masa untuk ahli parti bersolidariti menentang kezaliman, dan tiada keperluan untuk Presiden meletakkan Jawatan.

    Muhyiddin kelmaein memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

    Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

  • Tuduhan terhadap Muhyiddin macam ‘mi segera’, kata Hadi Awang

    Tuduhan terhadap Muhyiddin macam ‘mi segera’, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), termasuk pihak berkuasa, agar menyiasat secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengheret seseorang itu ke mahkamah.

    Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Islam melarang tindakan mendakwa seseorang di mahkamah dengan mudah, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul.

    “Dalam Islam tak boleh diheret ke mahkamah, mudah-mudah begitu. Ada proses kehakiman yang betul. Bukan secara segera macam mi segera… buat begitu sahaja.

    “Dia pakai kenyataan media… heret orang ke mahkamah… mudah-mudah… rakyat dikelirukan oleh media,” katanya dipercayai merujuk kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang secara tiba-tiba sahaja didakwa di mahkamah atas pertuduhan kononnya menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Ini adalah kali pertama Abdul Hadi mengulas mengenai pertuduhan terpilih bermotifkan politik yang dikenakan terhadap Muhyiddin.

    “Orang yang benar dianggap bohong. Pembohong dianggap benar, orang yang amanah dianggap pengkhianat… pengkhianat dianggap amanah. Orang yang bebal mendabik dada bercakap perkara-perkara yang besar,” kata Abdul Hadi lagi.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata keadaan sekarang sudah jadi terbalik apabila orang yang tidak tahu agama mula bercakap benda yang besar.

    “Masa bentang bajet baru-baru dibaca ayat Nabi Yusof… Nabi Yusof kata jadikan saya penjaga khazanah Mesir. Saya seorang yang mahir yang amanah. Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baca ayat ini.

    “Ayat yang sama dibaca tahun 90-an dulu… saya masih ingat lagi masa dia menjadi Menteri Kewangan… ayat yang sama… Syok sendiri. Anggap aje macam Nabi Yusof. Nabi Yusof siapa yang lantik? Tuhan lantik. Dia siapa lantik? Rakyat Tambun lantik dia… tu pun hampir-hampir nak kalah,” kata Abdul Hadi.

    Beliau menegaskan bahawa jika seseorang itu meminta untuk duduk di atas maka Tuhan akan membebankan mereka.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata negara sedang menyaksikan berlakunya kezaliman yang wajib dicegah bagi menyelamatkan negara.

    Beliau mengingatkan bahawa bencana akan menimpa bukan sahaja terhadap orang yang zalim itu, tetapi juga mereka yang baik, tetapi berdiam diri.

    “Kalau kita tidak bertindak bencana akan menimpa semua. Bukan sahaja mereka yang zalim, termasuk mereka yang baik yang mendiamkan diri. Berlakunya perkara ini berpunca daripada berlaku tahun-tahun yang menggoda dan menipu manusia.

    “Ini keadaan yang berlaku di negara kita… walaupun sudah berlaku ada jalan untuk buat perubahan. Tak lama lagi pilihan raya negeri akan diadakan.

    “Kelantan, Terengganu, Kedah. Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang. Ubah kerajaan beri Perikatan Nasional untuk ambil alih negeri-negeri ini. Insya-Allah kita akan buktikan apa yang kita nak buat? Kita tak takbur dan bahawa Allah Taala tidak sia-siakan orang yang dizalimi.

    “Doa orang yang kena zalim tak ada dinding dengan Allah. Disebutlah hadis yang lain walaupun orang kena zalim itu orang bukan Islam. Tuhan terima doa dia. Tuhan tolong dia… ini bahayanya zalim ini,” katanya.

  • ”Cara mudah selesaikan masalah mereka, ‘bunuh’ parti pembangkang’ – Muhyiddin

    ”Cara mudah selesaikan masalah mereka, ‘bunuh’ parti pembangkang’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin cemas ekoran kegagalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, selain dilihat tidak tahu untuk menguruskan negara.

    Beliau berkata disebabkan keadaan itu berterusan dan tahu ianya akan menjadi lebih teruk, maka cara yang mudah dilakukan ialah mengambil tindakan zalim.

    “Kita sedar dia (kerajaan PH-BN) menghadapi masalah besar. Tak reti (tahu) nak menguruskan negara dan dia ada rasa yang agak cemas. Yang kalau berterusan dan kalau mereka tak nak membantu maka pasti keadaan rakyat akan bertambah teruk lagi.

    “Cara yang mudah untuk menyelesaikan masalah mereka ialah mengambil tindakan zalim. Bunuh semua parti pembangkang yang ada supaya hanya mereka saja yang ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Antara yang hadir termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Ng dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

    Sehubungan itu Presiden Bersatu itu berharap rakyat sedar dan faham bahawa negara berdepan dengan satu situasi yang agak teruk.

    “Kezalimannya berterusan. Saya tak tahu bila (kezaliman itu) akan berhenti.

    “Sepatutnyalah mereka berhenti daripada sikap yang tidak bertanggungjawab, fitnah yang berleluasa, tindakan zalim yang mereka lakukan terhadap kita (Perikatan Nasional). Dan sewajarnya sistem demokrasi yang ada di negara kita ini dapat dipertahankan,” katanya lagi.

    Sambil reda dengan dugaan dihadapinya, Muhyiddin berharap rakyat terus mendoakannya dapat mengharungi cabaran ini sekali gus dibebaskan daripada semua pertuduhan.

    “Harapan kita hanya pada Allah sahaja yang tentunya lebih mengetahui, maha pengasih, maha penyayang bahawa makhluk ini berdepan satu kezaliman,” katanya.

  • PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    SRIKANDI Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.

    “Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.

    Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor. – BERNAMA

  • ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya tidak akan ada huru-hara atau rusuhan disebabkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap PN sekarang ini.

    “Kami adalah parti yang aman damai. Kami menyayangi negara ini.

    “Kami tidak mahu mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim ketika memulakan hari-hari reformasinya.

    “Ini kerana rakyat sekarang ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Merusuh bukan sesuatu yang betul untuk dilakukan,” katanya kepada media selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam ini, lapor Agenda Daily.

    Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi bagi memberi keterangan kepada SPRM.

    Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden Pz, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘Hidup Rakyat’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan PH-BN.

    Kerajaan PH-BN dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.

    SPRM kemudian mengumumkan Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok.

    Mengulas lanjut mengenai kehadiran ratusan penyokong di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata, penyokong PN malam ini mengadakan solat hajat.

    “Saya rasa esok pun akan ada ramai penyokong yang akan datang ke mahkamah. Tetapi kehadiran mereka itu bukan kerana Muhyiddin, tetapi kerana Perikatan Nasional,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memberi sokongan.

    Mengenai soal siasat pegawai SPRM ke atas beliau sejak pagi tadi, Muhyiddin berkata ianya mengambil masa kerana cara SPRM menjalankan tugas adalah berhemah, tidak kasar dan saling menghormati.

    “Kita ambil masa untuk melihat satu persatu (soalan dan jawapan)… lepas itu merek buat rekod… lepas itu disemak balik. Kemudian itu barulah kita bersetuju dan kita tandatangani. Jadi sebab itu dia ambil masa.

    “Tapi saya rasa tidak tidak ada tekanan… dan saya amat menghargai kerjasama pihak pegawai SPRM yang telah soal siasat saya pada pagi tadi sampailah ke malam tadi,” katanya.

  • Muhyiddin dijangka dilepaskan petang ini, sertai solat hajat – Laporan

    Muhyiddin dijangka dilepaskan petang ini, sertai solat hajat – Laporan

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak pagi tadi dijangka selesai lewat petang ini, kata laporan.

    Astro AWANI dalam laporannya memetik Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, difahamkan, bekas perdana menteri itu akan keluar dari bangunan SPRM di Putrajaya selepas siasatan namun tidak diberitahu secara tepat waktunya.

    Menurut Razali, selepas keluar dari bangunan SPRM, Muhyiddin akan terus ke markas Pas Taman Melewar di Gombak, Selangor untuk program solat hajat.

    “Tan Sri (Muhyiddin) dijangka lama … lama itu sampai ke malam. Kami semua pimpinan akan berhimpun di Taman Melewar.

    “Bagaimanapun, selepas selesai, Tan Sri akan sertai pimpinan untuk solat hajat selepas selesai disiasat,” katanya kepada media di hadapan bangunan SPRM.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Muhyiddin akan didakwa esok.

    Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 11.15 pagi tadi dan masuk ke dalam bangunan pada pukul 11.22 pagi.