Tag: Perikatan Nasional

  • Runding dengan PN sebelum bubar Parlimen, Muhyiddin ingatkan PM

    Runding dengan PN sebelum bubar Parlimen, Muhyiddin ingatkan PM

    KERAJAAN perlu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

    Peringatan itu disampaikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Sri Perdana, Putrajaya semalam.

    “Saya juga antara lain mengingatkan YAB Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

    Perjumpaan yang disusuli majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Mereka turut membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

    Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO pada masa ini berdepan desakan yang amat hebat daripada partinya sendiri agar Parlimen dibubar secepat mungkin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Laungan agar Parlimen segera dibubarkan begitu lantang kedengaran pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Antara pemimpin UMNO yang kuat mendesak pembubaran Parlimen ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Walau bagaimanapun, Ismail Sabri membayangkan pembubaran Parlimen seperti yang didesak oleh pucuk pimpinan UMNO tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa.

    Dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021, 19 Mac lalu, Naib Presiden UMNO itu menyatakan, perkara itu perlu dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti terlebih dahulu.

    Lima pemimpin tertinggi atau ‘top five’ UMNO itu ialah Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad dan Naib Presiden iaitu Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    “Insya-Allah, selepas top five membincangkan, kita akan bawa ke dalam Majlis Kerja Tertinggi untuk bincang bersama-sama,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, selepas perbincangan dengan keempat-empat pemimpin parti, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

  • Muhyiddin jumpa pembangkang untuk perkukuh PN – Hashim

    Muhyiddin jumpa pembangkang untuk perkukuh PN – Hashim

    TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak dianggap sebagai tanda Bersatu tidak yakin lagi dengan PAS.

    Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, pertemuan itu dipercayai usaha untuk memperkukuhkan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Tak juga cuma dia nak bertambah kuat lagi agaknya,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir bahawa Pengerusi Pejuang itu didatangi Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri ke-10.

    Hashim juga tidak menolak kemungkinan pertemuan itu dibuat selepas Muhyiddin menyedari PN tidak mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) selepas beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

    “Kemungkinan juga selepas keputusan PRN Melaka dan Johor, dia mempunyai pandangan tertentu untuk bersama (membentuk) kerajaan. Itu terpulang kepada Bersatu.

    “Macam mana pun keputusan dia, (ia) masih rahsia lagi. Kita tunggulah (butiran perjumpaan itu),” katanya.

    Mengenai pendirian PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain rakan komponen dalam PN, beliau berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk membentuk kerjasama demi perpaduan ummah.

    “Sama ada berjaya atau tidak kita akan teruskan dengan usaha perpaduan ummah ini. Tak kisah dengan mana-mana parti janji tidak melanggar syariat Islam,” jelasnya.

  • PH jangan besar kepala, bukalah pintu rundingan dengan PN

    PH jangan besar kepala, bukalah pintu rundingan dengan PN

    PEMBANGKANG yang terdiri daripada parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masih belum serik selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu.

    PH hanya menang 12 daripada 50 kerusi yang ditandingi, di mana DAP menang 10 kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR masing-masing cuma dapat satu kerusi.

    Pejuang mula mendapat malu besar apabila gagal menang walau satu kerusi pun dan hilang deposit di kesemua 42 kerusi manakala Warisan juga dapat sifar daripada enam kerusi yang ditandinginya calonnya.

    MUDA pula nampak macam ‘gempak’ apabila meminta lebih daripada enam kerusi yang pada mulanya diperuntukkan oleh DAP, PAN dan PKR sehingga sanggup bertembung dengan kawan sendiri di Larkin.

    Akhirnya, hasil yang diharapkan tidak ke mana apabila MUDA yang mampu menang satu kerusi sahaja di Puteri Wangsa. Itu pun memang kerusi yang dianggap selamat untuk PH.

    Sebelum itu, PH kalah teruk pada PRN Melaka di mana DAP, PAN dan PKR yang bertanding di bawah logo yang sama hanya mampu meraih lima kerusi. DAP dapat empat kerusi, PAN satu kerusi manakala PKR pula dapat ‘telur’.

    Seperti yang diketahui umum, walaupun Barisan Nasional (BN) beroleh majoriti lebih dua pertiga dalam kedua-dua PRN, peratusan undi majoriti yang diterimanya adalah agak rendah.

    Di Melaka, BN beroleh 38.64 peratus undi popular manakala PH menerima 35.4 peratus dan Perikatan Nasional (PN) 24.47 peratus.

    Pada PRN Johor pula, BN meraih 43.11 peratus undi popular manakala PH menerima 26.42 peratus, PN 24.04 peratus, MUDA 3.46 peratus, Pejuang 1.34 peratus dan Warisan 0.47 peratus.

    Jika dihitung, jumlah kumulatif undi yang diterima parti-parti pembangkang di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengatasi angka yang diterima oleh calon BN yang menang.

    Misalnya, di DUN Kemelah (Johor), BN beroleh 7,518 undi berbanding PH 5,907 undi, Pejuang 214 undi dan PN 4,639 undi. Jumlah kumulatif undi pembangkang adalah 10,760.

    Begitu juga dengan kerusi DUN Larkin di mana Pejuang beroleh 810 undi, Muda 4,948 undi, PKR 6,448 undi dan PN 9,875 undi, menjadikan jumlah kumulatif 22,081 undi. Jauh lebih tinggi berbanding calon BN yang menang dengan 16,053 undi.

    Pembangkang Johor juga beroleh undi kumulatif yang lebih tinggi berbanding BN di Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Parit Yaani, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Mahkota, Tenggaroh, Tiram, Permas, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.

    Situasi serupa dapat dilihat di beberapa kerusi pada PRN Melaka, contohnya di Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam dan Sungai Rambai.

    Maknanya, parti-parti yang menentang UMNO dan BN mempunyai peluang untuk menang dalam kedua-dua PRN tersebut sekiranya mereka bekerjasama dan berunding agar mereka tidak bertembung sesama sendiri.

    Kesilapan itu boleh ditebus pada pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bahangnya semakin terasa.

    Malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak mentah-mentah inisiatif Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berunding tentang persediaan menghadapi PRU-15.

    Setakat ini, belum pasti apa pendirian rasmi PKR, PAN dan MUDA, namun dijangka mereka mungkin mengambil sikap yang serupa dengan ‘abang besar’ mereka.

    Jika jalan itu yang dipilih, pasti akan berlaku pertembungan banyak penjuru pada PRU-15 sekali gus memberi kelebihan kepada BN, seperti yang berlaku pada PRN Johor dan Melaka.

    Sekiranya PH dan parti-parti pembangkang yang lain tidak mahu menggigit jari melihat UMNO dan BN yang dikuasai kluster mahkamah beroleh kemenangan besar pada PRU-15, mereka mesti mengetepikan ego yang besar.

    Bukalah pintu untuk berunding dengan PN yang juga mempunyai pengaruh dan keupayaan yang besar untuk memancing undi rakyat yang menolak rejim kleptokrasi UMNO-BN.

  • Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    PARTI Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

    Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Walaupun tak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU15.

    “Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang sahaja. Gerakan masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.

    Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada 12 Mac lepas bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor, dan sedia melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.

    PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan dalam PRN Johor lepas iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

    Sementara itu, Dominic berkata, Gerakan akan memastikan senarai penyelaras dan calon yang akan bertanding dalam PRN dan PRU15 kelak, dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.

    “Kita akui memang pada PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding (tapi) tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.

    “Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terlibat untuk persiapan PRU15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.

    Menurutnya, PRU15 boleh diadakan hanya apabila kes COVID-19 menurun dan dalam keadaan terkawal, bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80 peratus. – BERNAMA

  • PN diterima rakyat Johor walau bertanding sebagai underdog

    PN diterima rakyat Johor walau bertanding sebagai underdog

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menang di tiga kerusi setakat ini menunjukkan parti itu diterima dengan baik oleh rakyat di negeri itu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin tidak berasa terlalu terkilan dengan keputusan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana PN menyertai PRN Johor sebagai underdog.

    “Saya tak rasa terlalu terkilan sebab kita dah dapat inroad dan traction melalui penyertaan dalam PRN Johor walaupun kita parti baharu.

    “Simbol ini pun ramai yang sudah kenal walaupun mungkin sebahagian tidak mengenalinya,” katanya dalam sidang media di Kulai malam ini.

    Secara rasmi, PN beroleh kemenangan di DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu menambah, di beberapa kawasan dan zon tertentu, sokongan terhadap PN agak baik dan menarik.

    Muhyiddin berkata, itu bermakna kempen-kempen yang dilaksanakan PN sepanjang tempoh berkempen telah menarik perhatian rakyat Johor.

    “Tetapi tidak mendapat cukup bilangan untuk mengimbangi atau membuat perubahan. Jadi ini satu petanda kita diterima tetapi tak sebesar yang diharapkan.

    “Perjuangan kita ini bukan hanya terbatas dengan keputusan yang secara umumnya tidak memihak kepada PN,” jelasnya.

    Beliau juga bersedia memikul tanggungjawab berikutan prestasi PN dalam PRN Johor dan sanggup berundur sekiranya diminta oleh ahli-ahli parti untuk berbuat demikian.

    “Ya saya bertanggung, saya tak ada masalah. Kalau mereka kata tak apa lah, tak payah pegang lagi, itu adalah satu amanah yang saya pikul.

    “Jadi, kalau ada ahli-ahli parti rasa terkilan, saya telah buat yang terbaik, semua kita telah bekerja keras sampai tak cukup tidur,” ujarnya.

    Berhubung pembubaran Parlimen, Muhyiddin sekali lagi mengingatkan pihak tertentu bahawa Perdana Menteri perlu berbincang dengan pemimpin tertinggi PN terlebih dahulu.

  • [TIDAK RASMI] Calon PN, Alwiyah Talib mendahului di Endau

    [TIDAK RASMI] Calon PN, Alwiyah Talib mendahului di Endau

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib mendahului dari segi kiraan undi.

    Setakat ini, beliau beroleh 6,347 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Youzaimi Yusof (3,972 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Fakrulradzi Mahmud (968 undi), Mohd Noorhisyam Ibrahim dari Pejuang (88 undi) dan calon Bebas, Ismail Don (51 undi).

    Pengiraan undi telah selesai di 46 daripada 60 saluran.

  • [TIDAK RASMI] Dr Sahruddin mendahului di DUN Bukit Kepong

    [TIDAK RASMI] Dr Sahruddin mendahului di DUN Bukit Kepong

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Sahruddin Jamal mendahului lawannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

    Setakat 56 saluran undi yang dikira, Dr Sahrudin yang juga penyandang memperoleh 7,260 undi, diikuti calon BN dengan 6,187 undi.

    Calon dari MUDA, Afiqah Zulkifli pula memperoleh sebanyak 1,334 undian dan calon Pejuang, Md Taib Suhut hanya mendapat sebanyak 74 undi.

    DUN Bukit Kepong yang terletak di bawah Parlimen Pagoh mempunyai 79 saluran.

  • Terima kasih Bangsa Johor kerana sudi mendengar – Muhyiddin

    Terima kasih Bangsa Johor kerana sudi mendengar – Muhyiddin

    PADA malam terakhir sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirai tepat pada jam 12 tengah malam ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih kelihatan bersemangat.

    Boleh dikatakan beliau berkempen hampir setiap malam sejak Selasa lalu bagi membantu kemenangan calon-calon PN yang bertanding.

    Malam ini, Presiden Bersatu itu berucap pada program Pentas Presiden PN di pekarangan Bilik Gerakan Zon Utara di Pagoh Jaya.

    Muhyiddin menegaskan kembali tentang ikrar PN untuk mewujudkan kerajaan negeri Johor yang bersih dan berintegriti selepas menang kelak.

    Selain itu, keutamaan PN adalah membangunkan ekonomi Johor yang sepatutnya lebih maju berbanding sekarang.

    Beliau turut menceritakan pengalaman ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan DUN Tenggaroh semalam dan hari ini.

    Katanya, jalan di dua kawasan tersebut ‘beralun-alun’ sekali gus menunjukkan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan Johor.

    Ahli Parlimen Pagoh itu mengucapkan terima kasih kepada Bangsa Johor yang sudi mendengar penerangannya sepanjang tempoh berkempen.

    Beliau menyatakan bahawa segala pendedahan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sewaktu berkuasa dahulu adalah perkara yang benar.

    Sehubungan itu beliau berharap Bangsa Johor membuat pilihan yang betul esok dengan memberi kemenangan kepada PN agar segala ikrar yang dijanjikan sebelum ini dapat ditunaikan demi kesejahteraan mereka.

    Muhyiddin yakin ‘tsunami’ penolakan terhadap BN akan berlaku pada PRN Johor dengan mandat diberikan kepada PN.

  • Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan dilantik sebagai calon Menteri Besar jika gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “SAYA tak umum sesiapa (jadi calon Menteri Besar Johor),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama komuniti agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang poster tular kononnya Tosrin dipilih sebagai calon Menteri Besar Johor.

    Muhyiddin turut menyifatkan penularan berita itu sebagai taktik jahat pihak tidak bertanggungjawab bagi mempengaruhi pengundi dalam PRN Johor.

    “Saya pun difitnah bahawa akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri, apa cerita tu? Sebab itu kita nafikan.

    “Dalam tempoh mutakhir ini, banyak pihak tertekan sampai sanggup buat cerita bohong, ini semua fitnah untuk mempengaruhi pengundi.

    “Saya fikir berjaga-jagalah, jangan mudah terpengaruh dengan orang berniat jahat ini. Pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk ini,” katanya.

    Sejak semalam tular poster mendakwa Tosrin merupakan calon Menteri Besar PN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam PRN Johor.

    PN turut menghadapi satu lagi dakwaan palsu kononnya Muhyiddin menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi penularan sepucuk surat.

    Bagaimanapun, PN menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan surat bertarikh 22 Februari 2022 itu mengatakan surat tersebut sebagai palsu dan berniat jahat.

    Sementara itu, ketika ditanya laporan analisis bahawa BN bakal menang besar, Muhyiddin berpandangan, ada juga ramalan yang memihak kepada PN.

    “Wallahualam. Itu ramalan, banyak ramalan pun PN menang,” jawabnya ringkas.

  • PN nafi surat palsu tentang ‘Perikatan Harapan’

    PN nafi surat palsu tentang ‘Perikatan Harapan’

    PERIKATAN Nasional (PN) menafikan kewujudan surat palsu bertarikh 23 Februari 2022 yang mengunakan nama Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepala surat parti sebagaimana yang tersebar sejak malam tadi.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat tersebut adalah palsu dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

    “PN percaya bahawa rakyat Johor tidak akan terpedaya dengan amalan kempen kotor sesetengah parti politik yang terdesak dan tidak dapat menerima gelombang sokongan rakyat terhadap calon dan ikrar PN.

    “Seluruh jentera parti diseru untuk kekal fokus mendekati rakyat dan membawa aspirasi serta keprihatinan PN demi bangsa Johor dalam tempoh-tempoh akhir berkempen PRN Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Surat palsu tersebut mendakwa kononnya berlaku pakatan yang dinamakan ‘Perikatan Harapan’ antara parti-parti yang menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).