Tag: Perikatan Nasional

  • ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    “Janji insyaAllah akan ditepati,” itu jawapan ringkas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

    Beliau diajukan soalan mengenai janjinya untuk menyembelih 20 ekor lembu sekiranya calon Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi mendapat majoriti 20,000 undi.

    Beliau menjawab soalan itu melalui aplikasi WhatsApp kepada Harakahdaily malam tadi.

    Sebelum ini ketika menyampaikan ceramah memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, beliau antara lain menyebut akan mengorbankan 20 ekor lembu sekiranya Mumtaz memperolehi majoriti 20,000 undi.

    Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan secara spontan itu diikuti laungan takbir hadirin, ketika menyampaikan ceramah di Padang Puteri Saadong Wakaf Bharu.

    Pada malam itu juga Mohd Amar mengingatkan calon UMNO tanpa menyebut nama dalam ceramahnya itu supaya tidak lagi mengakui sebagai orang Pas.

    Mumtaz berjaya memperolehi majoriti sebanyak 34,793 undi setelah memperolehi undi 65,426 undi jauh meninggalkan lawannya dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Putra.

  • PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) pagi ini mengadakan pertemuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

    Ini setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan itu melibatkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

    Katanya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Pagi ini saya menerima kunjungan Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. 

    Ia selaras dengan kenyataan beliau awal pagi ini bahawa PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

    “Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. 

    “InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tambah beliau.

  • ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih beliau kepada penduduk Pagoh kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Ini susulan kejayaan beliau mempertahakan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau amat menghargai sokongan dan doa rakyat Malaysia selain berazam melakukan terbaik untuk Pagoh.

    “Alhamdulillah, syukur atas keputusan yang memihak kepada saya. Terima kasih warga Pagoh yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen anda.

    “Saya amat menghargai sokongan dan doa setiap daripada anda. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk Pagoh. Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia,” katanya.

    Sebelum itu, Muhyiddin diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 10,007 undi.

    Calon Perdana Menteri bagi PN itu menewaskan dua saingan lain iaitu calon Pakatan Harapn (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim.

    Muhyiddin memperoleh 24,986 undi, manakala Iskandar mendapat 14,979 undi dan Razali memperoleh 14,426 undi.

    Peratus keluar mengundi di kerusi tersebut adalah sebanyak 77.77 peratus dengan 54,391 undi dikira berbanding 69,939 pengundi berdaftar.

  • PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PERIKATAN Nasional (PN) menang tiga kerusi Parlimen di Selangor Utara termasuk merampas kubu kuat BN di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Calon PN Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menang di kerusi itu selepas menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof dan tiga calon lain dengan majoriti 2,180 undi.

    Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang meraih 15,874 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Siti Rahayu Bahari mendapat 12,314 undi.

    Dua lagi calon iaitu Azlan Sani Zawawi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 3,557 sementara calon Bebas, Mohd Rosni Mastol memperoleh 1,406 undi, lapor Sinar Harian.

    Kerusi Parlimen Tanjong Karang sebelum ini menjadi kubu kuat BN selepas dimenangi Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada BN sejak enam penggal lalu.

    Bagaimanapun Noh digugurkan dan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

    Sementara itu, calon PN Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 5,056 undi.

    Kalam memperoleh 17,973 undi menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahman Bakri yang mendapat 12,917 undi dan Shamsul Ma’arif Ismail dari PH memperoleh 9,627 undi serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Eizlan Yusof yang memperoleh 460 undi.

    Sementara itu, di kerusi Parlimen Sungai Besar juga menyaksikan kemenangan calon PN apabila penyandangnya, Muslimin Yahaya memperoleh majoriti 2,721 undi.

    Muslimin mendapat 19,791 undi, manakala calon PH, Saipolyazan M Yusof pula mendapat 17,070 undi, sementara calon BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos pula sebanyak 13,984 undi serta calon Pejuang, Datuk Asmawar Samat mendapat 225 undi.

  • PRU-15: Sidang media PN dalam masa terdekat

    PRU-15: Sidang media PN dalam masa terdekat

    DENGAN Perikatan Nasional (PN) dilihat menguasai sebilangan besar kerusi Parlimen, pemimpin tertingginya masih belum membuat sebarang pengumuman setakat ini.

    Lapor Berita Harian, setakat pukul 1.32 pagi, suasana di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort di Shah Alam, masih dipenuhi penyokong gabungan berkenaan yang menantikan pengumuman rasmi daripada pemimpin mereka.

    Ketika ini, beberapa pemimpin tertinggi PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedang berada di bilik menunggu khas.

    Difahamkan, satu sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat.

    Berdasarkan paparan skrin di Pusat Media Utama gabungan itu, gabungan itu secara tidak rasmi memperoleh 55 kerusi Parlimen setakat pukul 1.11 pagi.

  • PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PERIKATAN Nasional (PN) mendahului Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memenangi 35 kerusi Parlimen setakat 12.30 malam ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan keputusan di 112 kerusi Parlimen di seluruh negara.

    Pakatan Harapan pula memenangi 33 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (20), Barisan Nasional (16), Gabungan Rakyat Sabah (empat), Warisan (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan seorang calon Bebas iaitu Riduan Rubin (Tenom) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

  • [RASMI] Radzi rampas Putrajaya dari Ku Nan

    [RASMI] Radzi rampas Putrajaya dari Ku Nan

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin berjaya merampas kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 2,310 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kemenangan itu sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu sejak empat PRU berturut-turut.

    Radzi mendapat 16,002 undi mengetepikan saingan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN yang hanya mendapat 13,692 undi.

    Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz hanya mendapat 5,988 undi diikuti calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli (878), calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (63) dan calon Bebas, Lim Fice Bee (20).

    Ini merupakan penampilan pertama Radzi bertanding di Putrajaya atas tiket PN.

  • MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan manzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar gabungan itu di negeri itu dengan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen.

    Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kemenangan itu amat bermakna buat mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun keputusan ini belum rasmi, keputusan terkini memihak kepada PN dan Insya-Allah kita sapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

    “Apa yang mengejutkan, kita berjaya merampas kerusi Parlimen Gua Musang yang disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah sejak sekian lama.

    “Hampir keseluruhan kerusi Parlimen kita mencatatkan kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut berterima kasih kepada semua penyokong PN termasuk pengundi luar.

    “Di kesempatan ini saya memohon dan menyeru penyokong supaya menyambut kemenangan dengan penuh syukur dan tidak membangkitkansuasana yang tidak harmoni,” katanya.

  • [RASMI] Hadi bergaya pertahan Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi

    [RASMI] Hadi bergaya pertahan Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menang bergaya di kerusi Parlimen Marang yang disandangnya apabila meraih majoriti 41,729 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Kemenangan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu jauh lebih besar berbanding keputusan PRU-14 yang mana Hadi memenanginya dengan majoriti 21,954 undi.

    Pada PRU ini, Hadi berjaya mendapat 73,115 undi meninggalkan pesaingnya dari Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman (31,386 undi); Azhar Abdul Shukur dari PakataN Harapan (4,140 undi) dan calon PEJUANG, Mohd Shaid Rosli (1,778) undi.

    Pada PRU14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR).

    PRU kali ini menyaksikan jumlah undi di Marang merekodkan sebanyak 109,068 undi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 82.78 peratus.

    Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi).

  • [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    KEPUTUSAN rasmi Parlimen Masjid Tanah menyaksikan penyandang kerusi itu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menang dengan majoriti 4,411 undi.

    Pada PRU-15 ini, beliau berjaya mendapat 25,604 undi mengetepikan saingan sengit calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid yang mendapat 21,193 undi.

    Calon Muda, Mutalib Uthman hanya meraih 7,445 undi manakala calon Gerakan Tanah Air, Handrawirawan Abu Bakar meraih 507 undi.

    Parlimen Masjid Tanah yang mempunyai 69,174 pengundi berdaftar menyaksikan sebanyak 54,749 jumlah undi atau 79.15 peratus keluar mengundi.

    Mas Ermieyati merupakan penyandang kerusi Masjid Tanah sejak 2013.