Tag: peras ugut

  • Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

    Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA

  • Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    TINDAKAN seorang lelaki memeras ugut pemilik kedai runcit di Pandan Perdana untuk membayar wang perlindungan RM100 mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

    Difahamkan, suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai buruh itu tinggal berhampiran kedai runcit terbabit mencuba nasib dengan memeras ugut lelaki berusia 64 tahun itu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 6 petang Sabtu lalu, mangsa berada di kedai didatangi suspek seorang diri yang meminta untuk membayar wang bulanan RM100 sebagai wang perlindungan.

    “Suspek turut mengugut akan rosakkan barangan kedai milik mangsa, malah sewaktu kejadian, suspek turut menendang barangan milik kedai dan menggugut akan datang memukul mangsa di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, polis mengesan suspek sebelum menahannya pada pukul 12.05 tengah malam di Pandan Perdana.

    “Suspek mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

    “Turut dirampas, sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatann,” katanya.

    Katanya, suspek direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

  • Peras ugut pasangan kekasih didakwa berkhalwat, dua polis bantuan ditahan

    Peras ugut pasangan kekasih didakwa berkhalwat, dua polis bantuan ditahan

    DUA anggota polis bantuan di sebuah pusat beli belah di sini ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes memeras ugut sepasang kekasih yang didakwa berkhalwat.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 25 dan 32 tahun, ditahan pada 9 malam susulan laporan yang dibuat oleh mangsa, 25.

    Beliau berkata dalam insiden pada Jumaat lepas, pasangan kekasih itu, yang dipercayai berkhalwat di belakang bangunan pusat beli belah tersebut dalam sebuah kereta pada 10 malam, telah didatangi kedua-dua suspek yang meminta RM500 sebagai ganjaran agar mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

    “Memandangkan pengadu tidak mempunyai wang tunai mencukupi, kedua-dua individu telah memintanya menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) beserta nombor pin untuk mengeluarkan sendiri wang tersebut di mesin ATM.

    “Setelah itu pengadu dilepaskan namun pengadu telah menerima pesanan ringkas melalui telefon bimbit daripada pihak bank bahawa ada pengeluaran wang sebanyak RM1,000 dari akaunnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata susulan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM1,000.

    Beliau berkata mereka ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 atau Pegawai Penyiasat Kanan S.Sivakumaran di talian 019-512 7410.- BERNAMA