Tag: perairan Indonesia

  • Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan, semalam ditemui selamat oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di perairan negara itu tengah hari tadi.

    Mereka yang menaiki bot PL87 itu ditemui pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan atau satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari.

    Bot PL87 diketuai Fatimah Razak, 36; bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

    “Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.

    “Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini lapor, Berita Harian.

    Nurul Hizam dalam pada itu mengesahkan ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

    “Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

    “Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat,” jelasnya.

    Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak j 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira 3 petang.

    Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada 6.30 petang.

    Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula malam tadi membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.

    Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

    “Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan 2 petang tadi.

  • Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    SEBUAH kapal kargo Malaysia yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

    Menurutnya, maklumat diterima susulan laporan polis yang dibuat pukul 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal yang dikendalikan lima kru itu.

    Katanya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

    Beliau menjelaskan, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

    “Maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

    “Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Johor di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo berkenaan.

    Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

    Ketika diminta mengulas sama ada kejadian berkenaan terdapat unsur serangan lanun mahupun masalah teknikal kapal berikutan cuaca buruk, Nurul Hizam menyatakan tidak mahu membuat sebarang andaian.

    “Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

    “Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan,” katanya.