Tag: penyokong

  • Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    PEMINAT bola sepak Penang FC dan Kedah FC dilaporkan ‘bertempur’ di pekarangan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang sejurus perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu berakhir malam tadi.

    Beberapa video pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi juga turut tular di media sosial awal pagi ini.

    Satu video yang berdurasi satu minit 42 saat turut memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.

    Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

    Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara.

    Pada 1 April lalu, media turut melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan Penang FC selepas berakhir perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.

    Dalam kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

    Sementara itu, Ketu Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian pergaduhan malam tadi dalam masa terdekat.

  • Kekal sokong sampai hujung nyawa, hantaran penyokong Perak FC jadi kenyataan

    Kekal sokong sampai hujung nyawa, hantaran penyokong Perak FC jadi kenyataan

    SATU daripada dua penyokong Perak FC yang maut dalam kemalangan selepas menonton perlawanan bola sepak antara pasukan mereka melawan Johor Darul Takzim (JDT), malam tadi pernah memuat naik hantaran untuk kekal menyokong pasukan mereka sehingga hujung nyawa.

    Hantaran Facebook (FB) itu dimuat naik oleh mangsa bernama Faiz Bazli yang menyatakan; ‘Perak (Perak FC) sampei hujung nyawe (nyawa),”.

    Faiz atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, serta seorang rakannya Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, maut apabila motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Jalan Susur Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara antara Bercham-Jelapang di sini.

    Memetik laporan Harian Metro, Faiz Bazli dikesan memuat naik hantaran terbabit pada 26 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Faiz Bazli menghala Jelapang dipercayai bergesel dengan motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang oleh Izzwan Syamel.

    “Selepas kedua-dua motosikal itu bergesel, sebuah lagi motosikal iaitu jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun turut terbabas ketika cuba sempat mengelak.

    “Akibat kemalangan, Faiz Bazli dan Izzwan Syamel maut di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

    Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, laman FB ‘Ultras’ Perak, The Supporters turut memuat naik ucapan takziah terhadap pemergian kedua-dua penyokong itu.

    Ucapan takziah susulan pemergian dua sekawan itu turut dirakamkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menzahirkan ucapan takziah menerusi kenyataan di FB rasmi Perak FC, Perak Football Club.

    “Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.

    “Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong (skuad) The Bos Gaurus,” katanya.

  • Baju ‘PN Best’ dengan gambar Muhyiddin diedar kepada penyokong

    Baju ‘PN Best’ dengan gambar Muhyiddin diedar kepada penyokong

    BAJU tertera perkataan ‘PN Best’ dan gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin mula diedarkan kumpulan penyokong bekas perdana menteri itu, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Astro AWANI, baju berwarna putih itu diedarkan kepada mereka yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan dipakai sebagai tanda solidariti kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Beberapa penyokong turut melaungkan “Hidup Tan Sri” ketika berhimpun.

    Setakat pukul 10 pagi, kumpulan penyokong dilihat semakin ramai, dengan turut dihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Difahamkan, Ahli Parlimen dari PN juga akan hadir ke SPRM pagi ini bagi memberikan sokongan.

    Muhyiddin dijadual tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.30 pagi nanti.

    Astro AWANI semalam melaporkan SPRM akan memanggil Muhyiddin selaku Presiden Bersatu pada Khamis.

    Sumber SPRM mengesahkan kepada Astro AWANI berhubung berita tentang Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat agensi tersebut.

    Muhyiddin semalam menafikan ditahan ketika bermain golf di sebuah padang di Selangor.

    Pada 17 Januari lalu, SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi COVID-19.

  • Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    KEKOSONGAN 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF esok angkara halangan struktur konsert selebriti antarabangsa Taiwan, Jay Chou nampaknya memberi kegembiraan pasukan Thailand.

    Perkembangan itu diakui sendiri pengendali skuad Gajah Perang, Alexandre Polking yang tampak menarik nafas lega selepas SNBJ tidak dapat beroperasi semaksimum mungkin susulan penganjuran konsert artis berkenaan pada 15 Januari ini.

    Namun ketiadaan 21,000 penyokong itu bukanlah ‘lesen’ untuk anak buahnya memandang enteng pertembungan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 malam esok memandangkan Malaysia tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri.

    “Segala-galanya baik di sini dan mental kita sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi sengit ini. Saya rasa kita agak bertuah dengan penganjuran konsert yang menyebabkan 21,000 tempat terpaksa dikosongkan, jadi kami gembira dengan situasi itu.

    “Tetapi kami tahu aksi ini tetap sukar dan kita harus bersedia denga apa juga situasi yang mungkin terjadi pada perlawanan esok (malam ini). Kita akan bermain dengan kekuatan kita, cuba mendapatkan bola dan mengawal permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Brazil itu melihat skuad Harimau Malaya yang ‘berwajah baharu’ ini tetap mampu mengancam mereka apatah lagi dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas dalam bola sepak, Kim Pan Gon.

    “Pasukan Malaysia ada kekuatan dengan DNA mereka sebagai pejuang. Tak kisahlah siapa pun yang bermain, DNA ini tetap ada dalam setiap pemain Malaysia walaupun mereka berdepan senario sama seperti kita apabila tidak mendapat pemain terbaik.

    “Tetapi mereka tetap ada pemain yang berkualiti dan pertembungan ini sentiasa sukar sama seperti sebelum ini. Ini adalah aksi yang begitu kompetitif dan harapnya kita dapat membawa pulang keputusan yang positif bagi aksi kedua nanti,”katanya, lapor Berita Harian.