Tag: penyelewengan

  • Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan –  Zurainah

    Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan – Zurainah

    SENATOR Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hanya dipendekkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Zurainah dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau sudah menerima surat berhubung perkara itu daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital serta ia selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

    “Sebagai menteri baharu, perkara ini merupakan prerogatif beliau (Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baharu di kementerian, beliau akan mempunyai visi serta cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli pasukannya sendiri,” katanya.

    Untuk rekod, tugas Zurainah sebagai Pengerusi Finas dilapor ditamatkan serta-merta pada 8 Dis lepas. Kontrak beliau, yang bermula pada 10 Jun lepas, sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024.  

    Beliau turut menjelaskan tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital itu tidak ada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana FINAS.

    Minggu lepas, media tempatan melaporkan dakwaan bekas Ahli Perbadanan FINAS Datuk Seri Eizlan Yusof bahawa tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Zurainah itu ada kaitan dengan isu penyelewengan dana projek Pameran Hantu anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

    Zurainah juga berkata beliau sedia membantu bakal penggantinya untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri filem antaranya berkaitan isu kebajikan ahli industri terutama kru filem yang berada di tahap kritikal.

    “Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka,” katanya.

    Beliau berkata kepimpinan baharu agensi itu juga perlu menekankan keperluan tersebut dalam bajet Kerajaan Perpaduan.

    “Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini serta memperkenal kemudahan pembiayaan yang tidak membebankan bagi memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.

    Selain itu, Zurainah berkata usaha mempromosi negara ini sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius supaya industri perfileman Malaysia tidak ketinggalan. – BERNAMA

  • SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembabitan individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan membabitkan individu berkenaan.

    “SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terbabit.

    “Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit,” katanya dalam kenyataan itu.

    Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, sejak dua tahun lalu, SPRM sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.

    Ketika ini katanya, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama. Perkara itu masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

    “Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Tambahnya, semua pihak dimohon tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.

  • Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati tidak wujud sebarang unsur penyelewengan berhubung keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.

    Menurut pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, hampir kesemua minit mesyuarat Exco kerajaan negeri berhubung perkara itu sudah pun diteliti setelah pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum ini.

    Katanya, penelitian awal mendapati dokumen-dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan di bawah bidang kuasa SPRM.

    “Namun jika terdapat maklumat baharu yang terkait dengan bidang kuasa kami, kemungkinan siasatan ini akan diteruskan kembali.

    “Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak sebaliknya siasatan ini dijalankan hasil inisiatif kami sendiri termasuk berkunjung ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebelum ini,” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah dilaporkan telah memulakan siasatan awal bagi melihat kemungkinan terdapat salah laku yang mendorong kepada berlakunya tragedi banjir lumpur serta aliran puing di kawasan berhampiran gunung tersebut.

    Selain berkunjung ke Wisma Darul Aman, pegawai terlibat turut dihantar ke kawasan bencana bagi meninjau keadaan di situ.

    Shaharom menambah, pihaknya turut merujuk laporan dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dilihat telah menyentuh aspek dalam kejadian itu secara lebih menyeluruh.

    “Laporan tersebut tampak lebih lengkap dan kami telah meneliti perkara di dalamnya bagi melihat perkara yang mungkin terkait dengan bidang kuasa SPRM.

    “Setakat ini kami tangguh dulu siasatan hingga ada maklumat baharu. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami boleh mulakan siasatan semula, tertakluk kepada perkara di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya.

  • Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

    Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

    SEORANG Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.

    Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

    Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

    Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

    Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

    Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

    Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

    “Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

    “Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

    Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

    Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

    Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

    “Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

    “Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya. – BERNAMA