Tag: penyanyi

  • Baby Shima pelik dikecam walau berbuat baik

    Baby Shima pelik dikecam walau berbuat baik

    Penyanyi, Baby Shima pelik apabila sentiasa dikecam warganet meski pun berbuat baik dan ia bukan dirancang untuk menarik perhatian ramai.

    Malah, Baby Shima percaya adalah tidak adil apabila ada selebriti lain berimej lebih seksi menerima pujian, sebaliknya dia pula dikecam hebat.

    “Saya perasan beberapa orang selebriti berpakaian lebih seksi, tayang lurah, payu dara, punggung, malah ada yang nampak seluar dalam, tetapi tak dikecam.

    “Saya tak pernah tayang lurah, payudara, punggung atau seluar dalam, tetapi saya sentiasa menerima maki hamun.

    “Entahlah, apa sahaja saya buat semua salah dan tetap dikecam.

    “Saya beri makan kucing pun kena kecam, jadi takkan buat benda baik tak boleh. Namun, bila saya buat persembahan ramai pula datang tengok,” katanya kepada BH Online.

    Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli menegaskan, dia tidak pernah rancang buat perkongsian kerana ingin menarik perhatian atau mengundang kecaman netizen dalam laman sosial.

    “Dalam media sosial, saya buat apa sahaja yang saya suka. Contohnya, saya suka menari, jadi saya menari.

    “Saya rasa menari biasa sahaja, tetapi netizen tetap kecam.

    “Jadi, bila mula dapat banyak kecaman, orang lain pun turut serta mengecam. Dari situ, saya tak pernah nak reka apa-apa hanya untuk mengundang kecaman.

    “Sebab saya hanya mahu berseronok dengan apa yang saya buat,” katanya.

    Namun, Shima tidak menafikan pernah tertekan dan sedih dengan kritikan diterima.

    Bagaimanapun, kini, katanya, dia menetapkan pendirian untuk terus melakukan perkara disukai.

    “Dahulu, saya pernah rasa penat sebab macam-macam kecaman dihadapi. Namun, bila fikir balik, kalau saya layan kerenah netizen yang bencikan saya, saya lagi sedih.

    “Sebab bila sedih, tiada siapa yang boleh bantu. Jadi, saya hanya buat apa yang saya nak, janji tidak lebih-lebih dan tak kacau orang,” katanya.

    Bagaimanapun, Shima mengakui, dia tetap bersyukur masih menerima doa dan teguran baik dari ustaz bertauliah dan menghargai pesanan dititipkan.

    “Ada ustaz terus menghubungi saya sekiranya mahu menegur. Saya suka sebegitu.

    “Kalau nak tegur, buatlah secara peribadi tanpa memberitahu orang ramai.

    “Sebab apabila orang tegur secara terbuka, saya akan dapat makian dan hinaan.

    “Saya tak kisah orang nak tegur, tetapi jangan secara terbuka. Seperti ustaz bertauliah tegur, saya terima,” katanya.

  • Penyanyi, pelakon Aman Shah meninggal dunia

    Penyanyi, pelakon Aman Shah meninggal dunia

    PENYANYI dan pelakon Aman Shah Abu Kassim meninggal dunia pada usia 68 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi akibat masalah jantung.

    Berita sedih berkenaan dikongsi rakan-rakan penggiat seni antaranya komposer Fauzi Marzuki dan pelakon Anne Abdullah dalam media sosial Facebook masing-masing.

    Anne memberitahu, Allahyarham berada dalam keadaan kritikal pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas Zohor hari ini.

    Sementara itu, pelakon Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.

    “Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

  • Penyanyi kumpulan Samudera meninggal dunia akibat Covid-19

    Penyanyi kumpulan Samudera meninggal dunia akibat Covid-19

    PENYANYI kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah, 48, meninggal dunia akibat Covid-19, di Hospital Sungai malam tadi.

    Ketua kumpulan Samudera, Mohd Azhar Ropei berkata, Norazmi atau mesra disapa Aimi meninggal dunia pada pukul 10.12 malam.

    Menurutnya, arwah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang selepas disahkan positif Covid-19.

    “Arwah bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana keadaan kesihatannya semakin merosot setelah paras oksigennya menurun dan arwah terpaksa ditiarapkan.

    “Malam tadi saya dapat panggilan daripada ibu arwah yang memaklumkan Aimi sudah meninggal dunia,” katanya hari ini.

    Allahyarham Norazmi adalah vokalis kumpulan Samudera menggantikan penyanyi asal, Sarfen Husin atau Ujang yang meninggal dunia, empat tahun lalu dan mereka popular dengan lagu Salam Sejahtera

    Mengulas lanjut, Mohd Azhar yang juga pemain dram Samudera berkata, arwah sepatutnya merakamkan single baharu namun terpaksa ditunda selepas disahkan positif wabak itu.

    Ujarnya, arwah menyertai Samudera pada 2018 dan merupakan seorang individu yang baik, komited dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada ahli kumpulan lain.

    “Lagu sudah disiapkan, tunggu hendak memasukkan vokal sahaja namun hendak buat macam mana, Allah lebih menyayangi dirinya. Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

  • Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    PENYANYI lagu-lagu asli, Muhammad Hanizam Azman sempat memuatnaik status terakhir di akaun Facebooknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19, Jumaat lalu.

    Lebih menyedihkan, Allahyarham, 30, memuat naik status itu kira-kira pukul 2 petang, hanya empat jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    Muhammad Hanizam Azman

    “Saya akan ditidurkan, maafkan semua,” tulis status terakhir itu.

    Allahyarham yang merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009 meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Muhammad Hanizam juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014.

    Beberapa jam selepas meninggal dunia, masih ramai rakan dan kenalan yang belum mengetahui tentang pemergian Allahyarham, meninggalkan komen mendoakan kesembuhannya.

    Berdasarkan status di laman sosial Muhammad Hanizam, Allahyarham serta beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu.

    Allahyarham menetap di Kuala Muda dan mengusahakan kedai makan dan pada masa sama menerima tawaran mengadakan persembahan.

    Muhammad Hanizam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.