Tag: penyandang kerusi

  • PRN: Tiada penyandang PH Pulau Pinang mahu lepas kerusi

    PRN: Tiada penyandang PH Pulau Pinang mahu lepas kerusi

    PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan tidak ada penyandang daripada PH yang mahu melepaskan kerusi DUN yang ditandingi mereka pada pilihan raya lalu.

    Menurut Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat PH negeri itu semalam.

    ”Saya percaya soalan ini rumit (penyandang mahu lepaskan kerusi DUN atau tidak) tetapi jawapannya senang, tidak ada penyandang yang mahu lepaskan kerusi.

    “Jika ada penyandang yang tidak mahu bertanding nanti kita boleh lihat parti mana yang boleh ambil alih kerusi DUN berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Penang Wesak Celebration 2023, di Georgetown hari ini.

    PH Pulau Pinang mengadakan mesyuarat berhubung persediaan PRN semalam sebelum disusuli mesyuarat dengan UMNO yang dijangka berlangsung minggu depan.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH memenangi 37 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi DUN termasuk yang dimenangi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

    Sementara itu, BN menerusi calon UMNO menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas menang satu kerusi iaitu di Penaga.

    Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, beliau tidak dapat memperincikan secara lanjut berhubung soal pembahagian kerusi-kerusi kerana PH akan mengadakan mesyuarat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi membincangkan isu yang sama minggu depan.

    Jelas beliau, memandangkan PRN di Pulau Pinang kali ini melibatkan gabungan daripada parti luar PH, maka apa yang telah diputuskan PH Pulau Pinang tertakluk kepada rundingan yang seterusnya.

    ”Sekurang-kurangnya mesyuarat semalam telah menentukan kedudukan parti-parti dalam PH (Pulau Pinang) berhubung dengan kerusi-kerusi yang akan kami bertanding pada PRN nanti.

    “PH telah ada satu kedudukan (ketetapan kerusi) untuk kita bawa kepada rundingan seterusnya bersama UMNO dan BN,” katanya.

  • PRU-15: PN kekal penyandang terbaik mampu pertahan kerusi

    PRU-15: PN kekal penyandang terbaik mampu pertahan kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengekalkan penyandang terbaik yang mampu mempertahankan kerusi mereka sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bakal berlaku perubahan calon di satu atau dua kerusi ditandingi gabungan berkenaan.

    Namun tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, perkara tersebut akan dinilai apabila tiba PRU-15 nanti.

    “Kita akan menilai apabila sampai masa pilihan raya sama ada penyandang itu memang penyandang yang terbaik dan boleh mempertahankan kerusi. Pastinya kita akan pertahankan.

    “Tetapi kemungkinan di satu dua tempat di mana perlu ada perubahan, ia akan dinilai kepemimpinan tertinggi PN. Itu kita akan teliti dan buat keputusan kemudian. Prinsipnya ialah soal kebolehmenangan calon,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Perak di Pejabat PN Perak di Pusat Perniagaan Simee di sini, hari ini.

    Menyentuh mengenai manifesto gabungan itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN Pusat akan menerima sekiranya ada cadangan tambahan dari PN peringkat negeri untuk dimasukkan dalam manifesto PN.

    “Tadi kita juga berbincang soal manifesto, di peringkat nasional kita sudah memulakan gerak kerja dan kita juga bersetuju kalau ada cadangan PN di peringkat negeri nak menyediakan satu lagi tambahan yang lebih fokus kepada soal tawaran PN untuk peringkat negeri.

    “Maka, mereka boleh menyediakan dan boleh berbincang dengan pihak kepemimpinan Pusat supaya dapat diberikan ‘endorsement’,” katanya.