Tag: Penuntut kolej

  • Penuntut kolej, anggota tentera antara dicekup khalwat

    Penuntut kolej, anggota tentera antara dicekup khalwat

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG penuntut sebuah kolej yang tidak pulang bercuti di rumah masing-masing di Alor Setar dan Baling antara yang dicekup berkhalwat oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) di sekitar Sungai Petani, awal pagi ini.

    Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, pasangan penuntut berusia 22 tahun itu sebaliknya menyewa sebuah bilik hotel untuk memadu kasih sebelum ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ambang 2023.

    Katanya, pasangan terbabit pada mulanya enggan membuka pintu bilik hotel mereka di Bakar Arang, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

    “Kami terpaksa guna kunci pendua yang diperolehi daripada penjaga hotel dan sebaik pintu bilik dibuka didapati penuntut lelaki terbabit sedang menyelimuti dirinya dengan cadar di atas katil, manakala pasangannya berpura-pura tidur di atas lantai.

    “Hasil pengakuan kedua-duanya, mereka menyewa bilik itu semata-mata untuk memadu kasih dan tidak berhasrat pulang ke rumah masing-masing bagi menghabiskan cuti bersama-sama keluarga,” katanya.

    Serbuan tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Unit Risik Angkatan Tentera serta Skuad Badar.

    Menurut Mohd. Noor, mereka turut menahan tiga pasangan lain yang berumur antara 22 hingga 24 tahun di Padang Temusu dan Bandar Puteri Jaya termasuk salah seorangnya yang merupakan anggota tentera yang bertugas di Negeri Sembilan.

    Katanya, kesemua pasangan terbabit ditahan di bawah Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk melengkapkan proses siasatan sebelum waris masing-masing dihubungi.

    Dalam pada itu di Kulim, tindakan seorang wanita berstatus ibu tunggal yang membawa anak lelakinya untuk tidur di sebuah hotel bagi mengaburi mata penguat kuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama seorang lelaki bukan muhrim di dalam bilik sebuah hotel.

    Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 22 tahun pada pukul 1.35 pagi tadi dalam satu operasi ambang tahun baharu pencegahan maksiat oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

    Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Azwan Ahmad berkata, ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu sebelum pihaknya memperkenalkan diri.

    “Seorang wanita berpakaian lengkap bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun turut berada dalam bilik berkenaan. Pasangan terbabit pada mulanya mengaku sudah bertunang namun akhirnya memaklumkan mereka merancang akan bertunang selepas raya tahun ini,” katanya.

    Azwan berkata, hasil soal siasat mendapati wanita terbabit bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang dan teman lelakinya berasal dari daerah ini namun bekerja di Selayang, Selangor.

  • Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    SEORANG penuntut kolej terdesak membuat laporan polis palsu mendakwa dia dirompak tiga lelaki bersenjata selepas wang diberikan keluarga disalah guna sehingga tidak dapat membayar hutang rakannya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan siasatan.

    Menurutnya, lelaki itu membuat laporan mendakwa dirompak tiga lelaki bersenjata sehingga kerugian RM10,300 pada 9.46 malam.

    “Hasil soal siasat dijalankan mendapati laporan mengenai kejadian rompak yang dibuat suspek adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan juga tidak berlaku.

    “Siasatan mendapati punca suspek membuat laporan palsu kerana menyalahgunakan wang simpanan yang diberi oleh keluarga dan tidak dapat membayar wang dipinjam daripada rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, polis sudah merakam keterangan suspek untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan, sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan bagi pertuduhan di mahkamah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Penuntut kolej, penganggur warga Yaman, Sudan berdepan hukuman mati

    Penuntut kolej, penganggur warga Yaman, Sudan berdepan hukuman mati

    TIGA lelaki warganegara asing berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua warga Yaman, Hussein Mohamed Ali, 30, dan Ahmed Mohamed Qasem, 23, yang juga penuntut kolej swasta serta penganggur, Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, dari Sudan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

    Harian Metro melaporkan, tidak pengakuan direkodkan berikutan kes itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 205 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian, Petaling Jaya pukul 8.30 malam pada 22 Mei lalu.

    Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.

    Tertuduh Hussein dan Ahmed Mohamed diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli, manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.

    Mahkamah menetapkan 10 Ogos nanti untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

    Pada 23 Mei lalu, media melaporkan polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankan pukul 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.

    Katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pukul 8.30 malam yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing.

    Dalam serbuan itu, pihak polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.