Tag: penunggang motosikal

  • 128 saman terhadap penunggang motosikal hanya dalam tiga jam operasi

    128 saman terhadap penunggang motosikal hanya dalam tiga jam operasi

    HANYA dalam tempoh tiga jam operasi, seramai 119 daripada 367 penunggang motosikal yang diperiksa dikenakan 128 notis saman atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

    Saman itu dikeluarkan menerusi Ops Bersepadu Luaran oleh Unit Operasi JPJ Pulau Pinang yang dijalankan di lorong motosikal plaza tol Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) antara pukul 11.45 malam hingga 2.30 pagi kelmarin.

    Turut terbabit dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan kekuatan 21 anggota.

    Menurut JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan, operasi motosikal yang diadakan itu bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan ketika ini.

    Pada masa sama katanya, mereka juga perlu memastikan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat terhadap motosikal masing-masing untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

    “Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Kesalahan lain ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi selain mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya

    Sehubungan itu, katanya, penunggang dan pemilik motosikal khususnya dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada serta memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan berkenaan yang tinggi ketika ini.

  • Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    SEORANG penunggang motosikal EX5 maut selepas terlanggar palang besi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya malam tadi.

    Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada PPUM mengenai kejadian pada 10.13 malam.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 30 tahun dalam perjalanan berjumpa rakan.

    “Tiba di tempat kejadian, mangsa tidak menyedari terdapat penghadang palang dan terus melanggar palang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, palang itu diletakkan bagi menghalang kenderaan luar masuk ke kawasan pembinaan pangsapuri.

    Beliau difahamkan, pintu hadapan pada jalan besar hanya dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam untuk lori dan kenderaan pekerja.

    “Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya, lapor UtusanTV.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    POLIS giat memburu lelaki warga Bangladesh yang disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan, di Kuala Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Honda EX5.

    Menurutnya, penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Bukit Rotan.

    “Tiba di lokasi, Proton Waja yang datang dari arah belakang melanggar motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak.

    “Pemandu kereta kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan bertindak melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pukul 11 pagi hari sama.

    “Susulan kemalangan itu, polis mempergiat usaha pencarian suspek di sekitar Kuala Selangor dan Jeram.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran.

  • Rempuh kerbau, dua penunggang motosikal maut

    Rempuh kerbau, dua penunggang motosikal maut

    DUA lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi merempuh kerbau dalam dua kejadian berasingan di Pekan, awal pagi semalam.

    Mangsa ialah Mohd Azlan Abdul Aziz, 42 dan Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime, 18, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dalam kejadian pertama di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik, pada pukul 12.20 pagi itu, Mohd Azlan dalam perjalanan dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

    Katanya, siasatan mendapati apabila tiba di tempat kejadian, mangsa terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

    “Berikutan kemalangan itu, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, dalam kejadian kedua di Kilometer Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini, Muhammad Syafiq Al-Syahmi meninggal dunia selepas terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan pada jam 2 pagi.

    Katanya, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Taman Permata ke bandar Pekan.

    “Penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, kedua-dua kes disiasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.