Tag: penternak

  • PN BEST jamin transformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil

    PN BEST jamin transformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil

    SEKTOR pertanian, penternakan serta perikanan memainkan peranan besar dalam struktur sosioekonomi negara.

    Pada ketika negara memberi tumpuan bagi memperteguh sekuriti makanan akibat ketidaktentuan global, golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil wajar diberikan perhatian.

    Jika tidak kerana golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil, bagaimana negara mampu mengukuhkan rantaian bekalan makanan.

    Justeru, Perikatan Nasional (PN) memberi perhatian serius terhadap usaha bagi mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

    Terkandung di bawah Tunjang 12 – manifesto ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau disebut PN BEST, nasib golongan itu akan diberi perhatian khusus sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Dua inisiatif utama di bawah Tunjang 12 adalah memperkasa petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara di samping memelihara kebajikan petani, penternak, nelayan serta pekebun kecil.

    PN berazam mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui insentif khas.

    Tawaran itu dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran yang cekap, lapor Utusan TV.

    Selain itu, PN juga akan menambah lesen perikanan bagi nelayan muda bagi kawasan laut yang sesuai di samping memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan.

    Inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan mewujudkan skim pembangunan terancang dan komprehensif.

    Pada masa sama, PN BEST turut menggariskan usaha penyediaan insentif ekopelancongan bagi membantu petani dan nelayan menambah sumber pendapatan.

    Bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan pendapatan penoreh getah, PN juga berhasrat memodenkan industri getah.

    Bukan itu sahaja, kebajikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil juga akan terus dipelihara menerusi PN BEST.

    Antara usaha yang akan dilakukan termasuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.

    Pesawah dan pekebun kecil akan turut menerima bantuan tunai masing-masing berjumlah RM1,200 di bawah Bantuan Tanaman Padi dan RM800 menerusi Bantuan Musim Tengkujuh.

    Malah, PN BEST akan turut mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk mewujudkan kebun komuniti.

    Akhir sekali, harga lantai getah akan ditingkatkan pada kadar yang berpatutan dan disemak secara berkala bagi menjamin kebajikan penoreh getah.

  • Terengganu salur bantuan RM45,000 kepada 90 petani, nelayan, penternak positif Covid-19

    Terengganu salur bantuan RM45,000 kepada 90 petani, nelayan, penternak positif Covid-19

    MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK RM45,000 disalurkan Kerajaan Terengganu bagi membantu 90 nelayan, petani dan penternak yang disahkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lepas hingga Jun lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, sehingga ini seramai 80 orang masing-masing di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang telah menerima bantuan berkenaan.

    Malah katanya, bantuan secara ‘one off’ sebanyak RM500 seorang ini diserahkan secara berperingkat sebagai keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat dijangkiti Covid-19.

    “Bagi daerah Dungun dan Hulu Terengganu, bantuan akan disampaikan dalam masa terdekat,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Lesen Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point (Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off Covid-19 Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI Sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Pengkalan Merchang, Marang hari ini.

    Seramai 42 nelayan daerah Marang hadir menerima bantuan pada majlis itu yang diadakan secara pandu lalu.

    Dr. Azman berkata, jumlah penerima bantuan petani, penternak dan nelayan dijangkiti Covid-19 itu adalah mengikut bancian dilakukan melalui Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Jun lalu.

    Malah katanya, jumlah tersebut tidak statik dan ada kemungkinan akan bertambah mengikut perkembangan situasi semasa.

    “Golongan petani dalam bidang pertanian merupakan yang paling ramai positif Covid-19,” ujar beliau.

    Mengulas mengena rungutan pengusaha keropok keping di Terengganu berhubung masalah kekurangan bekalan isi ikan ketika ini, Dr. Azman memberitahu, beliau akan menyiasat perkara tersebut.

  • Mayat penternak lembu ditemui dengan kesan tikam, tembak

    Mayat penternak lembu ditemui dengan kesan tikam, tembak

    RIZQI ZABIDI

    MAYAT seorang penternak lembu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan tikaman dan tembakan di tepi jalan Ladang Kelapa Sawit Kongsi 14 di Bedong, dekat Sungai Petani malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat tersebut ditemukan dua individu yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 11 malam.

    “Dua individu berkenaan mulanya ternampak motosikal mangsa di tepi jalan. Mereka kemudiannya menemukan pula mayat mangsa yang berusia 38 tahun dalam keadaan tertiarap kira-kira tiga meter dari situ.

    “Pemeriksaan unit forensik mendapati terdapat kesan tembakan di depan dan belakang badan mangsa. Selain itu terdapat juga kesan tikaman di depan badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, polis turut menemukan kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Semakan mendapati mangsa memiliki lima rekod jenayah lampau dan motif kejadian masih belum dikenal pasti.

    “Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa akan dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.