Tag: penoreh getah

  • Penoreh getah mengaku tak salah rogol, amang seksual anak kandung

    Penoreh getah mengaku tak salah rogol, amang seksual anak kandung

    SEORANG penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya dalam kejadian di Kuala Lipis bulan lalu.

    Tertuduh 54 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Siti Aisyah Ahmad.

    Memetik laporan Sinar Harian, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dan kes disebut semula pada 29 Mei depan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, suspek ditangkap pada 20 April lalu dan telah ditahan reman selama 10 hari sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Raub hari ini.

    Katanya, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    “Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan, manakala bagi pertuduhan kesalahan amang seksual ke atas kanak-kanak boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan,” katanya.

    Mengulas lanjut Azli berkata, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas kakak tiri mangsa tampil membuat laporan polis bahawa adik tirinya iaitu anak kandung tertuduh yang berusia 16 tahun 6 bulan telah dirogol.

    Beliau berkata, hasil laporan tersebut membawa kepada penangkapan tertuduh oleh pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lipis.

    “Siasatan mendapati tertuduh telah merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa pada 17 dan 18 April lalu di sebuah rumah.

    “Seterusnya, siasatan juga mendapati mangsa telah mengalami gangguan seksual oleh bapa kandungnya sejak berusia 10 tahun dan dirogol ketika berusia 15 tahun. Mangsa tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang dia dan ibunya dipukul.

    “Hasil siasatan lanjut terhadap suspek (tertuduh) didapati dia telah mengaku merogol dan mencabul anak kandungnya itu,” katanya.

    Sehubungan itu, pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang.

    Azli turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah dan mengalu-alukan orang ramai membantu dalam menyalurkan maklumat berhubung sebarang kejadian jenayah.

    “Maklumat orang ramai membolehkan polis boleh menjalankan tindakan lebih tegas bagi mengatasinya pelakuan jenayah,” katanya lagi.

  • Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    SEORANG penoreh getah maut setelah dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di sebuah kebun getah dekat Desa Sukajaya, Bayung Lencir, Sumatera Selatan di Indonesia Jumaat lalu.

    Memetik laporan Tribun News, mangsa yang dikenali sebagai Sangadah, 50, sempat menjerit meminta pertolongan ketika kakinya dibelit reptilia berkenaan.

    Rakan mangsa yang mendengar jeritan Sangadah bagaimanapun tidak berani menghulurkan pertolongan.

    Difahamkan, rakan mangsa pergi meminta bantuan penduduk kampung dan setibanya di lokasi kembali, Sangadah dilihat tidak bermaya kerana ular sawa tersebut telah membelit badannya sehingga paras dada.

    Penduduk kampung kemudian bertindak membunuh ular sawa tersebut.

    Namun Sangadah telah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

    Seorang anak mangsa, Ma’ruf Tamami berkata, ibunya pergi ke kebun getah untuk menoreh seorang diri pada pukul 6 pagi.

    “Seorang saksi melihat kaki ibu dibelit, dia yang panik segera memanggil penduduk untuk membunuh ular sawa itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Kampung Sukajaya, Sunarto berkata, ketika ditemui, ular tersebut masih hidup dan segera dibunuh bagi menyelamatkan mangsa.

    “Selama ini mangsa sering menoreh getah sendirian di kebun dan tidak pernah berlaku kes manusia diserang ular di kawasan ini,” tambahnya.

    Menurut Mukim Bayung Lencir, M Imron berkata, kes ini merupakan kejadian pertama penduduk mati dibelit ular.

  • ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian) menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

    Kata Timbalan Presiden Pas itu, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika gelombang Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

    Justeru katanya, Top Glove sewajarnya mencontohi Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

    “Alangkah baik jika syarikat lain seperti Top Glove, yang mengaut untung jutaan ringgit membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia semasa Covid turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan harga getah tak stabil dan tidak mampan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, walaupun kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram, namun langkah itu tidak memadai dalam membantu penoreh getah yang berdepan kesulitan.

    “Hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit (pokok getah) yang melanda seluruh negara, sebelum ini dengan (tanaman) pisang. Sampai sekarang kerajaan tak ada penyelesaian kepada penyakit yang melanda penanam pisang.

    “Getah meluruh tiga kali setahun, menyebabkan susu tak keluar hasil dan penoreh getah berdepan dengan masalah serius,” katanya.

    Tuan Ibrahim sementara itu meminta kerajaan mengenal pasti keluasan tanaman getah yang dijangkiti penyakit dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan Bernas bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pesawah.

    Anwar,yang juga menteri kewangan, berkata ia adalah tambahan kepada sumbangan RM60 juta yang akan terus disalurkan Bernas.

  • Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    Wanita maut ditelan ular sawa 6 meter

    SEORANG wanita separuh baya ditemukan maut dalam perut seekor ular sawa sepanjang enam meter, semalam sehari setelah kehilangannya dilaporkan.

    Wanita malang itu, Zahara, 52, merupakan seorang penoreh getah dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

    Dia merupakan penduduk RT 04, Dusun Betara 8, Desa Terjun Gajah, Mukim Betara, daerah Tanjung Jabung Barat, Jambi.

    Ketua Kampung Desa Terjun Gajah, Birin berkata, mereka mencari mangsa sehingga ke dalam hutan sejurus dia dilaporkan hilang.

    “Namun pagi tadi (Isnin), Zahara kami temukan di dalam perut ular,” katanya kepada Kompas.com semalam.

    Birin menjelaskan, ketika ditemukan, wanita itu sudah meninggal dunia.

    “Tidak ada yang melihat Zahara ditelan ular, kerana dia menoreh getah sendirian.

    “Kejadian berlaku Ahad pagi semasa wanita itu keluar menoreh namun sehingga petang dia tidak pulang ke rumah,” katanya.

    Mengulas lanjut Birin berkata, berikutan itu, satu pencarian disertai kira-kira 300 penduduk kampung digerakkan bagi mencari mangsa.

    Namun katanya, penduduk langsung tidak menemukan sebarang petunjuk.

    Keesokan paginya kata Birin, penduduk menemukan seekor ular sawa betina besar sepanjang enam meter pada pukul 9 pagi.

    “Ular itu ditangkap dan kemudian dibunuh penduduk. Kerana curiga perutnya yang besar, penduduk kemudiannya membelah perut ular sawa.

    “Akhirnya penduduk menemukan jenazah Zahara sekali gus membuatkan penduduk bertambah bimbang,” kata Birin.

    Menurutnya, ular betina yang pendek tetapi besar itu dipercayai mempunyai pasangan susulan insiden penemuan seekor ular sawa berukuran lapan meter sebelum itu.

    “Ini ularnya betina. Kerana bentuknya yang pendek tapi besar. Seminggu lalu ada warga yang menangkap ular yang lebih panjang sekitar 8 meter, namun terlepas karena keletihan. Mereka cuma bertiga,” kata Birin.

    Untuk itu, penduduk kampung katanya khuatir kerana di hutan masih ada ular yang lebih besar.

    Tambahnya, ular raksasa itu juga telah menelan 2 ekor kambing milik penduduk.