Tag: penjara

  • Tiga bekas anggota TLDM kekal dipenjara 25 tahun sebabkan kematian rakan

    Tiga bekas anggota TLDM kekal dipenjara 25 tahun sebabkan kematian rakan

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun terhadap tiga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang rakan mereka, sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Muhammad Zahirudin Nordin, 33, Mohd Hood Mah Hasib, 33, dan Muhammad Faidhi Zani, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    “Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat tiada percanggahan material di antara keterangan saksi pendakwaan… yang boleh menjejaskan kes pendakwaan.

    “Mahkamah juga mendapati keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan mencukupi untuk menunjukkan niat bersama perayu-perayu. Oleh itu, sabitan terhadap ketiga-tiga perayu adalah selamat. Rayuan perayu-perayu ditolak dan hukuman (Mahkamah Tinggi) dikekalkan. 

    “Mahkamah dengan ini mengeluarkan waran pengkomitan terhadap ketiga-tiga perayu berkuat kuasa serta-merta,” kata Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan. 

    Pada 29 Sept 2016, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh selepas didapati mereka bersalah menyebabkan kematian Asrup Raidin, 27.

    Mereka kemudian merayu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengurangkan hukuman terhadap mereka daripada 30 tahun kepada 25 tahun.

    Kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa di kawasan lagun Stesen Uniform TLDM di Pulau Terumbu Ubi, Labuan pada 7.36 malam 3 Dis 2013 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Pada prosiding hari ini, peguam Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Noor Akhza Ahmad Khairuddin mewakili Muhammad Zahirudin dan Mohd Hood manakala peguam Shahrul Nizam Azwir dan Muhammad Amin Abdullah mewakili Muhammad Faidhi.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron. – BERNAMA

  • Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    SEORANG bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Okt ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

    Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

    Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.

    Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas. – BERNAMA

  • Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 kali sebatan, selepas gagal dalam rayuan mengenepikan sabitan atas dua pertuduhan merogol adik iparnya.

    Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati rayuannya itu tidak mempunyai merit.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan lelaki berusia 33 tahun itu untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 15 tahun kepada 10 tahun bagi setiap sabitan.

    Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Kamaludin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali terhadap lelaki itu bagi setiap sabitan dan mengarahkan hukuman itu dijalankan secara berturut-turut, menjadikan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

    Sebelum ini Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2019 mendapati lelaki itu bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan pada Februari 2018 dan 19 April 2018.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan dan mengarahkan beliau menjalaninya secara berturut-turut.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, iaitu barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

    Sebelum Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas, juga menolak rayuan lelaki itu.

    Mengikut bukti dikemukakan pihak pendakwaan, lelaki tersebut merupakan bekas suami kepada kakak mangsa dan pasangan itu telah bercerai enam tahun selepas kejadian rogol itu dilaporkan kepada polis.

    Dalam penyataan pembelaannya, lelaki itu berkata beliau ada bertemu dengan mangsa pada kedua-dua tarikh tersebut, namun menafikan telah merogol remaja itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, manakala pembelaan oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Eu Kah Mun. – BERNAMA

  • Angkara suapan RM400, bekas pengarah AADK didenda RM3,000

    Angkara suapan RM400, bekas pengarah AADK didenda RM3,000

    SEORANG bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menerima suapan wang tunai, empat tahun lepas.

    Hakim Elesabet Paya Wan turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, gagal menjelaskan denda berkenaan. 

    Mohamad Yusof terdahulu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

    Mohamad Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Melaka pada 22 Jun 2018.

    Pertuduhan pilihan itu dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Melaka Nur Syakila Yaacob manakala Mohamad Yusof diwakili peguam Datuk Naran Singh.- BERNAMA

  • Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    MAHKAMAH junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Aung San Suu Kyi atas tuduhan melakukan penipuan dalam pilihan raya, lapor media tempatan pada Jumaat.

    Pemimpin yang digulingkan itu disabitkan bersalah atas dakwaan menipu ketika pilihan raya oleh Majlis Perang Melawan Keganasan, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan Khit Thit Media.

    Bulan lalu, mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada bekas Kaunselor itu. 

    Dia sebelum ini disabitkan dengan enam pertuduhan lain pada Disember, Januari dan April.

    Suu Kyi sehingga ini disabitkan dengan hukuman penjara yang tempohnya berjumlah 20 tahun selepas tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu.

    Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkannya dalam kurungan perseorangan.

    Selepas rampasan kuasa  pada 24 Feb 2021, Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah sehingga April lepas, dan kemudian dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui tetapi dipercayai Penjara Naypyitaw.

    Dia menghadapi berpuluh pertuduhan, termasuk rasuah, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada April.

    Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan pada 1 Feb 2021 dalam rampasan kuasa tentera selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

    Orang ramai mengecam tindakan penyingkiran dan rampasan kuasa oleh tentera. 

    Sejak itu, junta telah membunuh lebih 1,500 orang yang menentang pemerintahan junta, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sebuah kumpulan pemantau tempatan.- BERNAMA

  • Warga emas dipenjara 10 tahun raba remaja bawah umur

    Warga emas dipenjara 10 tahun raba remaja bawah umur

    TINDAKAN seorang warga emas melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun Isnin lalu membawa padah apabila terpaksa meringkuk di penjara selama 10 tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, tertuduh Rosmi Hassan, 72, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba anggota bahagian sulit remaja itu.

    Kejadian itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah antara pukul 10 pagi hingga 3 petang pada 29 Ogos lalu.

    Bagi kesalahan itu, bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    Dalam prosiding sama, tertuduh yang mengalami masalah pendengaran kronik turut didakwa merogol remaja sama di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, sekitar pukul 3.30 petang pada pertengahan bulan lalu.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan berkenaan.

    Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh, tertuduh turut dikenakan denda RM1,800 atas pertuduhan sengaja mendatangkan cedera terhadap abang mangsa yang berusia 22 tahun dan dihukum di bawah Seksyen 323 yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau keduanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga jiran lama mangsa dikatakan sering memberi wang, pakaian serta telefon bimbit kepada mangsa yang mendorong remaja perempuan itu kerap keluar berjumpa warga emas berkenaan.

    Abang mangsa yang mencurigai tingkah laku warga emas itu kemudian dikatakan terserempak dengan kedua-dua mereka yang menaiki sebuah Perodua Viva dan cuba mendekatinya.

    Warga emas tersebut bagaimanapun bertindak melarikan diri dan melanggar abang mangsa sebelum berjaya dicekup dengan bantuan orang awam selain mangsa turut memaklumkan ada melakukan hubungan seks dengan warga emas itu.

    Hakim Mohd Sabri dalam penghakimannya menetapkan 28 September ini sebagai sebutan semula kes bagi pertuduhan merogol.

    Kedua-dua prosiding pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Tun M akui tidak gembira Najib dipenjarakan, naikkan MP Pekan jadi PM

    Tun M akui tidak gembira Najib dipenjarakan, naikkan MP Pekan jadi PM

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui hukuman yang dihadapi anak didiknya, Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menggembirakan.

    Ini kerana menurut ahli Parlimen Langkawi itu, beliau bertanggungjawab menaikkan ahli Parlimen Pekan itu sehingga beliau bergelar Perdana Menteri.

    Dalam wawancara bersama kepada Kyodo News, Dr Mahathir menjelaskan kemungkinan untuk Najib membuat kemunculan semula politik akan bergantung kepada potensi pengampunan diraja dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Katanya, beliau gembira dengan kerajaan sekarang, yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO, tidak mengganggu prosiding kehakiman.

    “Dengan berada di dalam penjara sekarang, karier politik Najib kelihatan malap, tetapi Dr Mahathir percaya beliau akan cuba membuat kemunculan semula.

    “Beliau akan cuba sekali lagi menjadi perdana menteri walaupun peluangnya tipis.

    “Jika UMNO menang dalam pilihan raya akan datang yang akan diadakan menjelang 2023, parti dan kerajaan akan merayu untuk pengampunan. Itu sudah pasti,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Najib bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula Selasa setelah dihantar ke Penjara Kajang.

    Dr Mahathir mendakwa beliau mahu Najib, 69, anak kepada Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein, menggantikannya.

    Tun Abdul Razak dianggap individu yang memainkan peranan penting dalam memajukan kerjaya politik Mahathir sehingga menjadi perdana menteri keempat pada 1981.

    Najib menjadi perdana menteri pada 2009, disokong sepenuhnya oleh Mahathir sehingga dia terlibat dalam skandal 1MDB pada 2015.

    Mahathir berganding bahu dengan pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sekali lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri hingga Februari 2020.

  • Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    SEORANG lelaki warga emas di Thailand mencetuskan kegemparan di negara itu selepas dia mencuri dari sebuah farmasi bagi membolehkannya dipenjarakan.

    Ini kerana,lelaki berusia 60 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Phichit mendakwa dia terlalu miskin untuk menyara kehidupannya.

    Oddity Central melaporkan, insiden luar biasa itu dilaporkan berlaku di sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok 29 Julai lalu.

    Phichit ditangkap kerana mencuri tiga buku sabun bernilai 17 baht oleh pekerja farmasi.

    Premis itu mempunyai amaran yang sangat jelas terhadap kegiatan mencuri dengan penjenayah berisiko didenda sehingga 30 kali ganda nilai barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.

    Bagaimanapun, dalam kes Pichit, pekerja farmasi bersedia melepaskan warga emas itu malah seorang awam yang berada di premis berkenaan bersedia membayar denda untuknya.

    Namun lelaki itu enggan dan sebaliknya meminta pekerja itu menghubungi polis.

    Phichit menuntut dia ditangkap kerana jenayah dilakukannya, membuatkan pekerja farmasi tidak mempunyai pilihan lain melainkan menghubungi polis.

    Semasa soal siasat, Phichit mendakwa dia lebih rela menghabiskan masa di penjara kerana dia akan diberi makan secara percuma tiga kali sehari.

    Malah dia mendakwa dapat bergaul dengan orang lain tidak seperti keadaan hidup di jalanan, tanpa pekerjaan dan berisiko untuk kelaparan malah mungkin mati.

    Bagaimanapun tidak jelas bagaimana polis memilih untuk menangani kes Pichit.

    Namun kisah warga emas itu menjadi peringatan tentang keadaan teruk yang dialami ramai rakyat Thailand pada masa ini, dengan inflasi mencecah paras tertinggi sejak 2008.

  • Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Tiga sahabat dihantar ke penjara selepas mereka gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 2018.

    Ahmad Moslem Haqqani Rosli, 23; dan Muhamad Amyrul Nazmy Rusdi, 25; masing-masing diperintah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara 20 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 20 tahun (ketika kesalahan itu dilakukan berusia 17 tahun), diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan mereka selepas mendapati rayuan mereka tidak mempunyai merit.

    Pemuda itu masing-masing diikat jamin RM30,000 sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

    Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun berhampiran pantai Bachok, Kelantan pada 3 pagi, 27 Mei 2018.

    Mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei 2019 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb, tahun lepas.

    Dalam keputusan mahkamah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, Hakim Hadhariah berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan dalam keputusannya.

    Peguam Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Asmadi Husin mewakili pemuda itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA

  • Jabatan Penjara berjaya lahir ramai banduan berkemahiran

    Jabatan Penjara berjaya lahir ramai banduan berkemahiran

    PENCAPAIAN Jabatan Penjara Malaysia yang berjaya melahirkan ramai banduan berkemahiran disifatkan sebagai satu tahap membanggakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, perkara itu dapat dibuktikan dengan pengiktirafan Jabatan Penjara di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2021 kali ke-5 yang dinobatkan Lifetime Achievement for Contribution to the Sustainable Development of Craft Sector and Social Inclusion dan penyertaan di London Craft Weeks Mei lepas yang mempamerkan hasil tenunan penghuni penjara.

    Menurutnya, Jabatan Penjara kini mengalami transformasi daripada pelbagai aspek iaitu tahanan, rawatan, layanan mahupun pemulihan menerusi program yang dapat memberi manfaat kepada banduan dan juga masyarakat.

    “Kita nampak dari segi peningkatan perkara dilakukan Jabatan Penjara sudah mencapai satu tahap boleh dibanggakan kerana ramai penghuni penjara sudah mula diberikan kemahiran baharu yang boleh digunakan selepas keluar dari penjara.

    “Ini sesuatu yang baik sekali dan saya difahamkan dengan ada program seperti ini jumlah mereka yang kembali ke penjara itu juga sudah menurun,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 243 pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara di Auditorium Jabatan Penjara di Kajang, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, transformasi Jabatan Penjara melibatkan pelbagai aspek utama iaitu keselamatan, pemulihan, layanan dan rawatan, reintegrasi serta percubaan dan koreksional komuniti.

    Beliau berkata, kerjasama pengusaha dan pemilik pelbagai sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang menyediakan asrama di luar penjara yang boleh disifatkan sebagai ‘Pusat Koreksional Komuniti’ mampu menghasilkan Orang Diparol, Orang Diselia, Orang Bebas Berlesen serta bekas banduan yang menyertai Program Penempatan Semula.

    “Penjara termasuklah bagi zon tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai jumlah penghuni paling ramai berbanding zon lain iaitu melebihi 16,000 orang atau 26.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni (61,435 orang).

    “Walau bagaimanapun melalui usaha dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berasaskan latihan pekerjaan serta jaminan pendapatan untuk banduan dan bekas banduan memulakan kehidupan sebenar membolehkan kadar residivis (jenayah berulang) bagi keseluruhan banduan yang menyertai program pemulihan di luar penjara hanyalah 0.39 peratus,” katanya. – BERNAMA