Tag: penjara dan denda

  • Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    AHLI perniagaan yang juga suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang hari ini selepas didapati bersalah memukul isterinya.

    Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, yang mengaku bersalah.

    Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

    Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.

    “Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, pada 14 November lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.

    Terdahulu, Mohd Shafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

    Malah katanya, tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.

    Bagaimanapun Norfarhanim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

    Pada 19 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya sebelum kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

    Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular pada 17 November lalu.

    Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.

    Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu terbabit.

  • Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lipis hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada tiga lelaki selepas mereka mengaku bersalah mencederakan seorang tenaga pengajar pusat tahfiz, minggu lepas. 

    Majistret Siti Aisyah Ahmad juga memerintahkan Wan Haris Wan Ismail, 38, dan Azraen Che Mat Noor, 43, kedua-duanya bekerja sebagai jurukimpal serta buruh Zulkifli Mohd Nasir, 27, menjelaskan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika gagal berbuat demikian. 

    Semua mereka yang beralamat di Jerantut dekat sini mengaku bersalah mencederakan Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, pada 5.10 petang, 11 Ogos lepas di surau Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di sini. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dunya, jika sabit kesalahan. 

    Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didakwa memukul Muhammad Zulhafiz selepas menceroboh pusat tahfiz itu, menyebabkan mangsa mengalami cedera di mata kanan sehingga perlu dijahit.  

    Pada prosiding itu, peguam Fariha Nuzuruhan merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling minimum atas alasan semua tertuduh berpendapatan sekitar RM1,500 dan RM2,000, menanggung keluarga serta telah insaf dengan perbuatan mereka. 

    Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dan menghormati institusi pendidikan serta tenaga pengajar. 

    “Kes ini juga telah tular sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Tertuduh bertiga telah memukul seorang tenaga pengajar dan mangsa tidak melawan, sebaliknya membiarkan dirinya dipukul beberapa kali selain kecederaan itu meninggalkan parut kekal,” katanya. 

    Di mahkamah sama, semua tertuduh bersama dua lagi Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, kedua-duanya bekerja kampung, mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Suzuki Dmax pada masa dan hari yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan selama 10 bulan dan denda RM2,000 atau jika gagal penjara enam bulan.

    Semua hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu antara 12 dan 13 Ogos lepas . 

    Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif pada prosiding itu memohon hukuman yang dapat menunjukkan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh sehingga menyebabkan trauma terhadap pelajar pusat tahfiz itu. – BERNAMA