Tag: penipuan

  • Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    SEORANG pembantu tadbir di Port Dickson mendakwa kerugian RM38,480 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan pegawai polis ‘ASP Wong’ pada 15 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 46 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kurier berkenaan memaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya di pejabat tersebut, namun mangsa menafikan perkara itu.

    Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dikenali sebagai ASP Wong yang memberitahu wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

    “Mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun miliknya. Dia turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis itu.

    “Mangsa yang merasa curiga itu kemudian membuat semakan akaun bank dan mendapati kerugian RM38,480 daripada empat akaun miliknya yang dipindahkan ke akaun tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Aidi Sham berkata, wanita itu membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mengaku sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Tiga kontraktor didenda, guna penyata akaun palsu dapatkan tender

    Tiga kontraktor didenda, guna penyata akaun palsu dapatkan tender

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan menipu dokumen bagi melayakkan mereka bersaing dan mendapatkan tender pengutipan sampah serta pembersihan awam bernilai puluhan ribu ringgit sebulan pada 2019.

    Tertuduh, Suhaimi Mohd, 47, Arman Yani Anuar, 51, dan Shafizawati Shafiee, 48, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, Suhaimi didakwa dengan curang menggunakan penyata palsu bagi akaun Affin Bank Berhad milik Syarikat Cahaya Venture Enterprise dan Akaun Maybank Islamic milik syarikat Bumi Emas Prestige Sdn. Bhd. untuk memohon mendapatkan tender tersebut.

    Berikutan penggunaan penyata palsu itu, kedua-dua syarikat terbabit berjaya memperolehi tender tersebut selama tiga tahun bermula 1 Julai 2019.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Julai 2019.

    Shafizawati pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun palsu Bank CIMB milik syarikat ADF Teguh Sdn. Bhd. untuk mendapatkan tender terbabit.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 14 hingga 20 Januari 2019.

    Manakala Arman Yani pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun palsu CIMB Bank milik syarikat Perniagaan Nafas Abadi bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk mendapatkan tender sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 hingga 17 Januari 2019.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman, Enviroment Idaman (Kedah&Perlis), Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Rehab Abdul Shukur dan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Suhaimi diwakili peguam, Khoo Wai Tuck, manakala Shafizawati dan Arman Yani, tidak diwakili peguam.

    Harmi Thamri menetapkan hukuman denda sebanyak RM80,000 terhadap Suhaimi manakala Shafizawati dan Arman Yani masing-masing didenda RM45,000.

    Jika gagal membayar denda ditetapkan itu, kesemua mereka diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

    Ketiga-tiga mereka bagaimanapaun difahamkan menyelesaikan denda ditetapkan itu.

  • Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    POLIS menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.

    Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.

    “Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.

    “Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Menurut kenyataan itu, apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’ dan sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.

    Kenyataan itu memberitahu, mangsa akan menerima mesej daripada pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.

    “Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya dan jangan mendedahkan username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyamar polis dan memeras ugut sepasang kekasih di kawasan pemandangan pendaratan pesawat di landasan kapal terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini hari ini.

    Beliau berkata, lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas dan polis merampas sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    “Dalam kejadian 3 Mei lepas, pasangan terbabit yang berada di kawasan pemandangan tersebut didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal yang mendakwa sebagai anggota polis Balai Bayan Lepas, suspek kemudiannya memeras ugut mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam kejadian menyamar polis sebelum memeras ugut atau menyamun mangsa-mangsa lain.

    Menurutnya, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • 9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    SEMBILAN individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Australia, dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 31 tahun dipercayai bekerja di pusat panggilan sindiket yang beroperasi sejak Mac 2020.

    Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan kemudahan jalur lebar dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram menerusi dua nama iaitu https:///www.facebook.com/ecotravelmalaysia dan https://www.facebook.com/malaysiaecotravel bagi mengiklankan tawaran bekerja di Australia.

    Selain itu, Kamarudin berkata, sindiket turut menggunakan laman web https:www.malaysia-ecotravel.com/. untuk mengajar mangsa cara membuat permohonan visa bekerja di luar negara.

    “Mangsa akan dikenakan bayaran AUD420 (RM1,400) untuk kos proses (permohonan visa) dan sindiket memasukkan maklumat mangsa dalam immiaccount online application sebelum menghantar tangkap layar yang menunjukkan dokumen permohonan serta salinan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat Australian Government-Department Home Affairs kepada mangsa.

    “Mengikut rekod dalam immiaccount online application, sebanyak 658 permohonan yang menggunakan kata kunci alamat e-mel sindiket masih dalam proses dengan melibatkan warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarudin berkata sehingga hari ini sebanyak 1,023 individu telah membuat laporan kepada pihak Kedutaan Australia manakala polis menerima 28 laporan dengan nilai kerugian RM155,472.

    Katanya, sindiket tersebut beberapa kali menukar nama syarikat perniagaan, akaun Facebook dan alamat laman web, antaranya menggunakan nama Top Speed Agency Visa dan Eco Travel Malaysia, namun reka bentuk, templat dalam e-mel, invois serta media sosial masih mengekalkan format sama.

    “Individu yang menjadi mangsa atau mungkin ditipu sindiket ini diminta tampil membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum memohon tawaran kerja yang mencurigakan atau menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 atau 03-26101599,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – BERNAMA

  • Guru wanita rugi RM89,200 terjerat umpan scammer

    Guru wanita rugi RM89,200 terjerat umpan scammer

    GARA-GARA tertarik tawaran hadiah dari luar negara (parcel scam) yang tidak wujud, seorang guru wanita sekolah menengah di Raub kerugian RM89,200 akibat terjerat dengan umpan tersebut.

    Mangsa berusia 35 tahun mula berkenalan dengan suspek selepas menerima pesanan ringkas melalui Instagram, pada 9 April lalu.

    Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian, mangsa yang masih bujang tertarik dengan kata-kata manis suspek yang ingin berkenalan dan sering kali bertanyakan hari lahir mangsa kerana berhasrat untuk menghantar hadiah dari luar negara sebagai tanda pengenalan.

    Beliau berkata, mangsa memberikan nombor telefonnya kepada suspek serta alamat sekolah tempatnya bertugas untuk tujuan menghantar hadiah.

    Katanya, pada 10 April lalu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pihak khidmat penghantar menyatakan bahawa barang mangsa telah diposkan kepada mangsa kini telah disita oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan menghantar resit sebagai bukti.

    “Lelaki terbabit mendakwa pihak JKDM membuat pemeriksaan dan menyatakan bahawa terdapat pelbagai barang berharga di dalam kotak hadiah yang dikirim seperti beg tangan, barang kemas, cermin mata, anak patung dan wang dalam mata wang AS$60,000.

    “Disebabkan desakan daripada pihak ketiga mangsa diminta untuk mengikut segala arahan yang diberikan dengan membuat pembayaran ke dalam beberapa akaun bank sebanyak 12 pemindahan wang sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM89,200,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Menurut Huat Tian, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan, Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

    Beliau berkata, hadiah yang dijanjikan hanya umpan ‘scammer’ untuk menjerat guru wanita berkenaan menyerahkan wang hingga terpaksa menanggung kerugian.

  • Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    SEORANG lelaki ‘kasanova’ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang kerani syarikat swasta yang dijanji mahu dikahwini sehingga memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas berjumlah RM152,500.

    Hisyah Sayuti, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Lelaki itu didakwa menipu wanita berusia 40 tahun itu untuk menyerahkan kepadanya wang dan barang kemas dengan perkahwinan yang tidak wujud dan wanita itu tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini antara 6 Feb hingga 6 Mac lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • 12 rakyat Malaysia mangsa scammer Kemboja sudah pulang

    12 rakyat Malaysia mangsa scammer Kemboja sudah pulang

    DUA belas rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air hari ini manakala empat lagi masih berada di negara itu bagi menjalani kuarantin kerana positif COVID-19.

    Kejayaan membawa pulang 12 lelaki yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini kira-kira 8.10 pagi itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.

    Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin berkata, pihak berkuasa Kemboja telah menerima maklumat mengenai penglibatan 16 rakyat Malaysia dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berkenaan dan menahan kesemua mereka pada 4 April lepas.

    “Walaupun kerajaan Kemboja mendapati mereka (mangsa) melaksanakan aktiviti menyalahi undang-undang negara mereka, tindakan undang-undang pada masa ini diketepikan supaya kita dapat membawa balik rakyat kita yang terkandas di negara tersebut,” katanya kepada pemberita di klia2 hari ini.

    Amran berkata, pihak kedutaan Malaysia di Kemboja kini sedang memantau keadaan empat lagi mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dan akan menguruskan kepulangan mereka sejurus disahkan negatif daripada COVID-19.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan sebelum ini dilapor berkata, 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh satu sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan.

    Menurutnya, mereka diperdaya melalui iklan di laman Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja dan setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat.

    Amran dalam pada itu menasihatkan mana-mana pihak yang tertarik dengan tawaran peluang pekerjaan di luar negara supaya menyemak dahulu kesahihan pekerjaan berkenaan.

    “Kalau ada kemusykilan, semak dengan kedutaan kita di luar negara iaitu di negara tuan rumah yang menawarkan pekerjaan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua mangsa, Heng Zhi Li berkata mangsa telah pergi ke Kemboja secara berperingkat mulai September 2021 hingga Februari lepas.

    Menurut Heng, mangsa dijanjikan gaji RM7,000 pada awalnya dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ namun tiada gaji dibayar kepada mereka selain turut dipukul, ditampar dan didera dengan kejutan elektrik.

    Katanya, mangsa mula menghubungi MCA untuk membuat aduan bermula Januari lepas dan hasil maklumat yang diterima diserahkan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang kemudiannya meminta Aseanapol dan Interpol untuk menyelamatkan mangsa. – BERNAMA

  • 3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menggunakan aplikasi TikTok di premis berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

    “Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

    “Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – BERNAMA

  • Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    SEORANG juruteknik kilang di Seremban kerugian RM222,473 selepas menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta oleh wanita yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Januari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, juruteknik lelaki berusia 45 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita menerusi aplikasi ‘messenger’ Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling dan mendakwa dirinya seorang doktor dari Yaman.

    Beliau berkata, setelah persahabatan terjalin, wanita itu memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar bungkusan berisi wang sebanyak AS$1 juta (RM4.2 Juta) dan lelaki itu perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut.

    “Pada 18 Feb lepas, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM25,137 ke dalam satu akaun bank tempatan di sebuah bank di sini. Seterusnya pada 10 Mac lepas, mangsa sekali lagi telah memasukkan duit berjumlah RM60,650 ke akaun sama di sebuah bank di Nilai.

    “Empat hari kemudian, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke sebuah akaun bank tempatan milik individu lain bernama ‘Sellyhia’. Kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Aibee berkata, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM76,686 lagi ke akaun bank pertama pada 28 Mac lepas kerana dimaklumkan bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran perlu dibuat.

    Menurutnya, pihak bank ada bertanyakan kepada siapa wang itu diberikan, namun wanita terbabit terlebih dahulu meminta mangsa memberitahu bahawa ia adalah untuk urusan membayar hutang, perbelanjaan dan pinjaman bagi mengelakkan bank mengesyaki urusan transaksi itu.

    Aibee berkata, lelaki berkenaan sekali lagi diminta untuk membayar wang sebanyak RM41,000 kepada wanita itu pada 31 Mac lepas, namun mangsa tidak membuat pembayaran kerana tidak mempunyai wang selain berasa ditipu.

    Mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya. – BERNAMA

  • Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    POLIS mengesan akaun aplikasi WhatsApp dan Telegram milik ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan golongan kenamaan antara digodam sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang.

    Mendedahkan perkara tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket terbabit akan menggodam aplikasi telefon pintar milik mangsa sebelum mengambil alih akaun tersebut untuk menghubungi rakan mangsa bagi tujuan mendapatkan wang.

    Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk menghantar mesej kata laluan sekali guna (OTP) dan kata laluan aplikasi kepada sindiket bagi membolehkan mereka dapat mengambil alih aplikasi itu dengan mudah.

    “Sindiket akan menghantar mesej kepada setiap senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa untuk meminjam wang.

    “Mangsa tidak sedar dia menjadi mangsa godam sehinggalah rakan yang menerima mesej memaklumkan ada individu menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd Kamarudin berkata, susulan modus operandi itu, pihaknya menerima 1,710 laporan membabitkan kerugian RM11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lepas.

    Beliau berkata, pengguna telefon pintar dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta kata laluan yang dihantar ke nombor telefon pengguna.

    Sementara itu, JSJK Bukit Aman menerusi pasukan CCID Scam Response Center akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian dengan lebih pantas.

    Mohd Kamarudin berkata, kerjasama tersebut dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan ke atas mangsa penipuan terutamanya mengesan ‘money trail’ kerana proses sindiket mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.

    “Proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung dan kami menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini,” katanya.

    Beliau berkata, sejak penubuhan CCID Scam Response Center pada Februari tahun lepas, 2,399 panggilan diterima dengan 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah tentang pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long serta 869 panggilan berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.

    Katanya, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK, dan beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

    Beliau berkata, melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

    “Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika menjadi mangsa penipuan atau menerima panggilan yang mencurigakan supaya JSJK dapat membantu kepada proses seterusnya,” katanya.

    Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – BERNAMA