Tag: penipuan SMS

  • Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    ORANG ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memaklumkan pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch ‘n Go (TNG) eWallet mereka.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ apabila pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar tersebut untuk tujuan penipuan. 

    “Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

    Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

    MCMC berkata tindakan sekatan telah diambil ke atas akses pautan palsu tersebut.

    MCMC berkata individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.- BERNAMA

  • Waspada penipuan SMS tawar baucar RM100 – TNB

    Waspada penipuan SMS tawar baucar RM100 – TNB

    ORANG ramai khasnya pengguna Tenaga Nasional Berhad dinasihatkan agar berhati-hati dengan taktik penipuan terbaharu yang semakin berleluasa ketika ini.

    Terbaharu dedah syarikat itu, wujud penipuan menerusi pesanan ringkas SMS yang menawarkan pampasan berbentuk baucar e-dompet daripada nombor TNB.

    Menurutnya, pengguna akan menerima SMS daripada nombor TNB iaitu 15454.

    “Pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dengan penipuan SMS yang menawarkan pampasan berbentuk baucar e-dompet daripada nombor TNB iaitu 15454.

    “Pastikan anda tidak menekan pautan yang terdapat pada SMS tersebut,” kata syarikat itu menerusi akaun Facebook TNB Careline.

    Kata kenyataan itu lagi, sebarang pertanyaan lanjut boleh berurusan menerusi khidmat pesanan peribadi di Facebook TNB Careline atau Twitter @Tenaga_Nasional bagi sebarang pertanyaan lanjut.

    Mesej tersebut menyatakan: “Rakyat yang terlibat putus bekalan elektik akan menerima RM100 pampasan kepada setiap warganegara di TNG eWallet”.

    Ia turut menyertakan pautan yang membawa pengguna kepada satu laman web, dipercayai mempunyai elemen ‘phishing’ untuk mendapatkan data peribadi pengguna.

    Bagaimanapun, cubaan untuk mengakses laman web tersebut tidak berjaya kerana mempunyai masalah sistem nama domain.

    27 Julai lalu, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik yang berlaku hampir tiga jam mulai pukul 12.39 tengah hari.

    Ia berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.