Tag: peniaga

  • Menu Rahmah: Peniaga dakwa ‘sengsara’, kerajaan dapat nama

    Menu Rahmah: Peniaga dakwa ‘sengsara’, kerajaan dapat nama

    PENIAGA makanan terlibat program Menu Rahmah membidas kerajaan kerana didakwa hanya mahu ‘popular’ tanpa mengambil kira keperitan peserta yang menjayakannya.

    Mengakui program itu bersifat pilihan, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Farawahida berkata, kerajaan seharusnya lebih cakna dengan menyelesaikan isu kenaikan bahan mentah.

    Kata wanita berusia 38 tahun itu, ketiadaan inisiatif kerajaan menyebabkan ramai peniaga kecil seperti dirinya terjejas teruk dan tidak mungkin mampu bertahan lama.

    “Tidak adil jika kerajaan dapat nama (popular) di atas usaha peniaga.

    “Jika ada usaha kawal dan turun harga barang, mungkin semua pihak termasuk peniaga akan berpuas hati,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 29 Mac lalu dipetik berkata, kerajaan tidak bercadang memberi insentif atau subsidi kepada 1,706 pengusaha terbabit program Menu Rahmah.

    Bagaimanapun kementeriannya menyokong dari segi promosi melalui platform media dan portal Menu Rahmah bagi memastikan inisiatif yang diperkenalkan pada 31 Jan lalu berkenaan dapat diperluas.

    Bagi seorang lagi peniaga dikenali Nurul Nashfisha, 18, dia menyifatkan pendirian kerajaan itu sebagai tidak adil.

    “Sekarang ini kerajaan yang dapat nama, padahal kita sama-sama membantu kerana tahu ramai orang susah sekarang.

    “Jangan hanya harapkan peniaga sahaja yang akhirnya menyebabkan program ini tidak kekal kerana harga barang semakin meningkat,” katanya yang berniaga bersama ibunya di kaki lima di Kelana Jaya.

    Seorang peniaga Mirza Zakaria, 38, mendakwa ada rakannya hanya mendapat untung bersih RM50 sahaja menerusi program Menu Rahmah yang harus membuka mata kerajaan supaya tampil membantu peserta program itu.

    “Bagi saya idea itu bagus tetapi tidak berbaloi buat peniaga.

    “Jadi sekarang kerajaan kena pertimbang hendak teruskannya atau tidak selepas buat pendirian tidak akan berikan insentif kepada peniaga,” kata peniaga murtabak di pasar malam itu.

  • Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    SEORANG peniaga di Segamat, Johor mendakwa kerugian hampir RM1 juta selepas premis perniagaannya dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat di daerah itu sejak Rabu lalu.

    Jason Ng Wai Kin, 43, yang menjalankan perniagaan memborong barangan keperluan sekolah di Jalan Genuang berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang jualannya berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.

    Tambah menyedihkan bagi Jason yang mengusahakan tiga unit kedai alat tulis bersama isterinya, mereka baru sahaja menambah stok barangan sebanyak RM 600,000 sebagai persediaan membuka sesi persekolahan bulan ini.

    Menurutnya, dia hanya mampu melihat hampir separuh barangan di kedainya rosak berikutan ketika kejadian, dia dan isteri berada di Thailand atas urusan perniagaan.

    “Hampir 30 tahun saya menjalankan perniagaan sebagai pembekal buku sekolah terbesar di daerah ini, kali ini merupakan yang ketiga kedai saya naik air selepas tahun 2006 dan 2011 yang lalu.

    “Memang kedai saya sudah buat persediaan buka sekolah dan isteri saya sudah ‘restock’ barang lebih RM 600,000 selain sekolah-sekolah juga sudah buat tempahan buku-buku latihan dan semuanya hancur terendam air banjir.

    “Kalau berdasarkan pengalaman sebelum ini, untuk bersihkan keseluruhan kedai ini ambil masa lebih kurang dua bulan dan sepanjang tempoh itu juga saya tidak dapat jalankan perniagaan seperti biasa,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Jason berharap kerajaan dapat melakukan langkah penyelesaian jangka panjang yang bukannya hanya sekadar menyalurkan sumbangan sekali bayar kepada mangsa banjir di daerah ini.

    Jason yang turut menjalankan perniagaan farmasi di lokasi sama menegaskan, dia bukan tidak mahu berpindah ke kawasan lain, namun, hampir keseluruhan kawasan di Segamat berisiko dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

    “Jalan Genuang masih jalan besar Segamat, jadi ini masih ‘hotspot’ yang mana walaupun dilanda banjir kami masih di sini kerana kami sudah berpuluh tahun (berniaga) di sini.

    “Kalau nak berpindah bukan senang kerana sudah ada pelanggan tetap, jadi kami cuma harapkan perubahan yang boleh bantu peniaga semua supaya kami tidak lagi mengalami kerugian seperti ini,” katanya lagi.

    Banjir besar yang melanda daerah Segamat sejak Rabu lalu bukan sahaja menjejaskan ribuan rumah penduduk sehingga memaksa lebih 13,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Premis-premis perniagaan di bandar Segamat juga lumpuh seketika selepas turut dimasuki air dan merosakkan barangan jualan.

  • Peniaga persoal dakwaan turun harga, kesal bahan mentah masih mahal

    Peniaga persoal dakwaan turun harga, kesal bahan mentah masih mahal

    GOLONGAN peniaga mendakwa harga bahan mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan seperti disarankan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

    Lapor Astro Awani, kumpulan peniaga gerai makanan dan restoran yang ditemui turut tidak bersetuju dengan teguran Rafizi yang mendakwa sesetengah mereka sengaja enggan menurunkan harga makanan dan minuman.

    Kata pemilik restoran Kak Som Tomyam Kg Bharu, Linda Sabri, dia tidak melihat ada sebarang penurunan harga bahan mentah lagi setakat ini.

    “Sekarang ni walau menteri kata harga bahan mentah turun tapi pembekal yang kita ambil tidak menunjukkan sebarang penurunan harga, masih sama.

    “Kalau kita sendiri nak turunkan harga jualan makanan tapi kita beli bahan mentah dengan harga pasaran semasa, rugilah kami,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

    Sementara itu, peniaga air di Ampang, Hyrul Ameer Mydin mempersoalkan kenyataan bahawa harga barang mentah sudah turun.

    “Sekarang barang mana ada turun. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu susu satu karton dijual pada harga RM105. Sekarang jadi RM145. Harga Milo untuk dua kilogram dulu RM33 sekarang dah RM39.50 manakala Nescafe dulu RM34 sekarang RM44.

    “Macam mana mereka kata macam itu, harga barang apa yang turun?,” soalnya.

    Bagi Yarni M Nasir yang menjual nasi campur selama belasan tahun di Ampang, katanya tiada bahan mentah yang turun harga, sebaliknya harga ikan semakin mahal.

    “Harga barang tak tak turun pun, saya beli harga sama saja dari dulu sampai sekarang. Yang saya tahu ada peningkatan harga ikan, ikan jadi mahal.

    “Kadang-kadang memang tak sampai hati nak jual kepada pelanggan. Kalau kita beli ikan sekilogram dah RM20, bila dah masak seekor jadi RM5… mesti nak jual harga lebih untuk ambil sedikit keuntungan.

    “Perlu juga kira kos pekerja, harga minyak dan sebagainya,” katanya.

    Sebelum ini, Rafizi dilapor menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.

    Beliau berkata kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.

  • Kenakan caj pengendalian RM3 sepapan telur: KPDN keluar notis terhadap peniaga

    Kenakan caj pengendalian RM3 sepapan telur: KPDN keluar notis terhadap peniaga

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan dua notis kepada seorang peniaga kerana mengenakan caj pengendalian berjumlah RM3 untuk setiap satu papan telur yang dijual di kedainya di Sungai Korok di Jitra, Kedah. 

    Menurut Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

    Katanya, notis tersebut diserahkan setelah sepasukan pegawai dan anggota KPDN menjalankan siasatan terhadap kedai tersebut pagi tadi susulan tularnya isu berkenaan di media sosial sejak semalam. 

    “Peruncit didapati memperolehi bekalan telur ayam dari Pulau Pinang dan Alor Setar. Siasatan lanjut ke atas invois belian mendapati pihak pembekal telah mengenakan caj tambahan iaitu kos pengangkutan dan pengendalian antara 90 sen hingga RM3 bagi setiap papan telur. 

    “Disebabkan itu peruncit berkenaan terpaksa menanggung kos tersebut. Kos tinggi menyebabkan peruncit terpaksa mengenakannya kepada pembeli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Seorang pengguna media sosial semalam memuat naik resit pembelian di kedai tersebut memaparkan caj RM6 dikenakan terhadapnya, untuk dua papan telur yang dibeli. 

    Tindakan itu menarik perhatian pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan membebankan pengguna.  

    Mengulas lanjut Affendi berkata, pengguna diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan. 

    “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, pusat arahan penguatkuasaan di talian 03-88826088 atau 03-88826245. 

    “Selain itu maklumat berkenaan turut boleh disampaikan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317 atau 019-8488000 serta laman web http://eaduan.kpdn.gov.my,” katanya.

  • Berdepan tindakan MBAS: Peniaga, penjaja Taman Mergong mohon berbincang 

    Berdepan tindakan MBAS: Peniaga, penjaja Taman Mergong mohon berbincang 


    RIZQI ZABIDI

    KALANGAN peniaga dan penjaja di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah hari ini berhimpun secara aman di depan Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi menuntut agar rintihan mereka didengari sebelum sebarang tindakan diambil terhadap tempat mereka mencari rezeki.

    Rata-rata mereka yang ditemui memaklumkan, ketika ini masing-masing dirundung rasa bimbang setelah tiga gerai di situ dirobohkan pada 3 Ogos lalu.

    Menurut wakil peniaga di situ, Nor Hafizam Md. Rejab, 40, tindakan itu agak mengejutkan kerana mereka sebelum ini dimaklumkan akan diberi ruang untuk berbincang dengan MBAS mengenai kedudukan gerai masing-masing pada 15 Ogos depan.

    “Pada 29 Jun lepas, sebahagian kami ada menerima notis arahan daripada MBAS supaya mengalihkan binaan gerai kekal di bahu jalan serta kawasan lapang dalam kawasan tersebut secepat mungkin. Berikutan itu, kami memohon  bantuan dari Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti untuk bertemu wakil MBAS dan selepas itu kami difahamkan akan diberi ruang untuk berbincang dengan MBAS pada 15 Ogos depan.

    “Tetapi pada 3 Ogos, pihak MBAS datang dan merobohkan tiga gerai di situ. Pada 4 Ogos pula, MBAS datang lagi dan kali ini memberikan notis kepada para peniaga supaya mengalih binaan khemah masing-masing dengan kadar segera.

    “Sudah tentu keadaan itu amat mengejutkan kerana kami sudah berpuluh tahun berniaga di situ. Kami tidaklah mahu menyatakan yang perbuatan itu betul dari sudut undang-undang tetapi setidak-tidaknya berilah ruang untuk berbincang kerana itu sajalah sumber pendapatan kami,” katanya.

    Sebelum mengadakan perhimpunan aman itu, Nor Hafizam turut diberi peluang bersama beberapa rakannya untuk menyampaikan memorandum para peniaga kepada wakil datuk bandar di pejabat tersebut.

    Sementara itu seorang lagi peniaga di situ, Mohd. Fauzi Ghazali, 60, amat mengharapkan supaya ada ruang buat kalangan peniaga mengadakan perbincangan dengan MBAS.

    “Dah 33 tahun saya berniaga minuman di situ dan itulah satu-satunya sumber pendapatan saya. Sebelum ini dah berulang kami meminta untuk bertemu Datuk Bandar tetapi tidak diendahkan.

    “Berbanding menggunakan khemah ketika ini, ada dalam kalangan pihak yang meminta kami sekadar membuka payung. Kaedah tersebut sudah tentu tidak praktikal kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan, ribut dan terik, jumlah pengunjung pasti berkurang dan itu akan menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

    Seorang lagi peniaga, Abu Hasan Shafiee, 75, turut menzahirkan harapan supaya dia dan rakan-rakannya dapat terus berniaga di tapak sedia ada dan tidak lagi diganggu.

    “Petang ini akan ada wakil dari Pejabat Menteri Besar serta wakil dari parti-parti politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas serta UMNO datang untuk berbincang mengenai nasib kami di gerai saya. Saya amat berharap supaya dapat terus mencari rezeki di situ selagi bernyawa,” katanya.

  • Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG peniaga kerugian sebanyak RM12,930 akibat terperangkap dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian itu bermula pada 19 September lalu sebaik mangsa melihat satu iklan pinjaman wang tidak berlesen.

    Ekoran itu katanya, mangsa terus berurusan dengan wakil syarikat terbabit yang memperkenalkan diri sebagai puan Annie.

    Menurutnya, mangsa yang tinggal di Bandar Jengka, Maran itu bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

    “Kemudian, mangsa menyerahkan maklumat diri kepada suspek sebelum diminta membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, mangsa membuat pembayaran sebanyak 13 kali membabitkan akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

    Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima wang sepertimana yang dipohon lalu dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam setelah merasakan dia ditipu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.