Tag: pengusaha

  • Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    PENGUSAHA kantin sekolah diminta merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan kenaikan harga makanan di premis berkenaan baru-baru ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

    “Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

    “Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di Kuala Terengganu, yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas.

    Ditanya mengenai laporan rasmi berhubung isu itu, beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklumat berkenaan jika mendapat aduan daripada mana-mana pihak.

    “Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Sementara itu, Fadhlina berkata tafsiran kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh KPM, namun peruntukan awal telah disalurkan kepada mana-mana sekolah yang teruk dan kritikal.

    Katanya, tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

    “Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya sangat kagum dengan usaha pihak sekolah berkenaan yang melakukan kaedah ‘staging’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

    “Kaedah staging saya fikir sangat efektif untuk tangani isu banjir. Kaedah ini boleh disebar luas ke negeri-negeri lain yang juga menghadapi isu banjir,” katanya.

    Staging adalah kaedah penyediaan platform tinggi di sekolah untuk menempatkan aset-aset sekolah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda. – BERNAMA

  • ‘Tauke’ kilang pakaian warga Bangladesh, 45 pekerja dicekup JIM

    ‘Tauke’ kilang pakaian warga Bangladesh, 45 pekerja dicekup JIM

    SEORANG pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh bersama 45 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Ampang, Selangor, kelmarin.

    Lelaki berusia 46 tahun itu dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan selain mampu menggajikan pekerjanya sebanyak RM1,600 seorang.

    Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu merupakan rentetan daripada kejayaan OP Hack yang dijalankan JIM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

    Beliau berkata, beberapa siri operasi telah dijalankan bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack berkenaan.

    Menurutnya, dalam operasi itu, sepasukan pegawai imigresen telah menyerbu dua buah kilang pakaian dan dua premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat dan pusat pameran milik lelaki warganegara Bangladesh berkenaan.

    “Suspek menggunakan PLKS yang disyaki diperolehi melalui sindiket ID-Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia.

    “Syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan siasatan awal, Modus Operandi (MO) suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan.

    Ujarnya, suspek juga bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja selain sebuah premis lagi dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat.

    “Suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

    “Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.

    “Kegiatan suspek telah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000.00 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Khairul Dzaimee memberitahu, semasa serbuan dijalankan, pasukan operasi telah menahan seramai 45 orang warganegara asing berasal daripada Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang berada di dalam premis dan disyaki sedang menjalankan aktiviti menjahit pakaian.

    Katanya, kesemua mereka berumur diantara 17 hingga 56 tahun dan pemeriksaan juga mengesan beberapa orang pekerja yang ditahan turut memiliki PLKS tidak teratur yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack sebelum ini.

    “Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama.

    “Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan,” katanya.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

    Katanya, suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

    “Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penggodaman sistem Jabatan sehingga memberi implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara.

    “Justeru itu, Jabatan ini akan mempergiatkan risikan untuk terus memburu saki-baki pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh Sindiket ID-Hack yang berjaya ditumpaskan beberapa bulan yang lalu,” tambahnya.