Tag: pengundian

  • Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

    Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 132,955 orang pengundi bakal mengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dan semua pengundi dinasihatkan supaya mengundi mengikut waktu yang telah diwartakan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

    “Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ikmalrudin menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. 

    Sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) akan dibuka untuk pengundian di Parlimen Padang Serai, manakala 17 Pusat Mengundi melibatkan 52 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian di DUN Tioman.

    SPR juga menyarankan pengundi yang hadir mengundi esok supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala pengundi yang positif COVID-19 berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Ikmalrudin berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan sebarang bentuk aktiviti kempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan selepas tempoh itu.

    “Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dan menambah bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam, katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PROSES pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini. 

    Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli yang memaklumkan perkara itu berkata proses pengundian bagi Parlimen Rompin dan dua lagi DUN di bawahnya iaitu Muadzam Shah dan Bukit Ibam bagaimanapun berjalan seperti biasa. 

    “Status DUN Tioman akan disahkan oleh ibu pejabat SPR dan perkembangan berkaitan tarikh baharu juga mereka akan buat,”  katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang.

    Md Yunus, 61, daripada PAS, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira 3.30 pagi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

    Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian Md Yunus.

    “Penangguhan (pengeluaran kertas undi)  hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja,” kata Ahmad Nasim. – BERNAMA 

  • Pengundian Parlimen Padang Serai ditetapkan 7 Disember – SPR

    Pengundian Parlimen Padang Serai ditetapkan 7 Disember – SPR

    PROSES pengundian kerusi Parlimen Padang Serai ditetapkan pada 7 Disember depan sekali gus tiada pengundian esok.

    Ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya yang merupakan salah seorang calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi berkenaan.

    Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, proses pengundian Parlimen itu ditetapkan pada 7 Disember.

    “Tarikh penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai adalah 24 November manakala undi awal pula 3 Disember.

    “Tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu meninggal dunia di Hospital Kulim kelmarin dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

    Pada PRU-15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).

    Pada PRU-14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, menang dengan majoriti 8,813 undi.