Tag: pengundi muda

  • Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Raub, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan bagi membantu pengundi muda untuk berdikari serta menaik taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata, golongan pengundi muda pada masa kini perlu disediakan platform untuk peluang pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

    “Mana yang pandai, ada rezeki mereka boleh sambung pelajaran ke tempat yang tinggi, masuk universiti dan dapat biasiswa atau PTPTN.

    “Bagi yang kurang berkemampuan, tidak boleh sambung belajar, mereka hendak bekerja tetapi nak kerja apa?

    “Ini yang kita kena fikirkan. Polisi-polisi kerajaan untuk pembentukan kerajaan baharu ini perlu diubah,” soalnya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ semalam.

    Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Lipis, Aishaton Abu Bakar dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza.

    Selain itu, mengulas mengenai isu tempat tinggal pula, ulas Mohd Fakrunizam, ramai anak muda yang sudah berkahwin masih lagi tinggal bersama keluarga mereka.

    “Kita nak kalau boleh anak muda ini boleh berdikari dan bekerja. Bila bekerja, mereka boleh membina keluarga, berkahwin dan membeli rumah.

    “Ayat yang paling mudah untuk anak muda ini ialah kita kena mencari jalan membantu memberi mereka pancing, bukannya ikan.

    “Beri pancing supaya boleh memancing ikan dan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan media sosial sebaik mungkin bagi menarik pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.

    “Kita akan kempen pastikan pengundi muda menggunakan hak mereka untuk lebih bertanggungjawab dan keluar mengundi…itu penting.

    “Namun, pada masa sama, mereka juga kumpulan yang sangat penting dalam menentukan (hala tuju negara), jadi tentunya media sosial amat penting untuk kami dekati golongan muda,” katanya selepas proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

    Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Mengenai pertembungan nama besar di Parlimen Tambun kali ini, termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Faizal yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.

    “Calon tempatan lebih dikenali, nama besar juga dikenali, tapi saya yakin rakyat dan pengundi Tambun lebih mendambakan calon (tempatan) yang lebih dikenali kerana mereka nak mengadu permasalahan dan sebagainya.

    “Masing-masing ada peluang adil, terpulang kepada kami untuk menjalankan kempen dan kami harap dapat jalankan kempen dengan baik dan penuh berhemah,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pada PRU14, Faizal memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.

  • Tak mahu BN menang? Pengundi muda… keluarlah mengundi

    Tak mahu BN menang? Pengundi muda… keluarlah mengundi

    “ORANG muda, walaupun susah sebab hujan, tolonglah balik mengundi”, itu mesej penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof kepada pengundi muda.

    Mohd Redzuan berkata, jika peratusan keluar mengundi rendah, UMNO-BN mungkin akan menempa kejayaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), sepertimana berlaku di Johor dan Melaka.

    Dua negeri itu sebelum ini mengadakan pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan kemenangan UMNO-BN.

    “Rakyat, kalau pun hujan rintik-rintik keluarlah mengundi, kena keluar mengundi kalau rakyat mahu mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

    “Dapatan kajian saya, strategi oleh UMNO-BN untuk mengadakan pilihan raya apabila pengundi kurang turun padang. Kurang keluar mengundi contoh di Melaka dan Johor.

    “Rakyat hari ini sudah celik. Jadi saya harap generasi muda, walaupun banjir, walaupun susah, hujan tak ada payung ke, pergilah keluar mengundi untuk membuat perubahan,” katanya memetik FMT.

    Kata Mohd Redzuan, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan gagasan itu.

    Beliau akur pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelang musim banjir amat menyusahkan rakyat.

    “Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkara yang menyusahkan rakyat. Bayangkan, kalau kita ikut ramalan cuaca. Adakah rakyat boleh keluar mengundi? Kalau keluar mengundi adakah itu melambangkan satu majoriti?” katanya.

    Katanya lagi, isu lapuk seperti skandal 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin tertentu tidak harus lagi dijadikan modal pilihan raya kali ini.

    “Kalau dulu tsunami 1MDB. Hari ini kita buat satu tsunami yang boleh kita sebut untuk maju ke depan.

    “Rakyat mahu mencari alternatif, mahu cari apa yang kita bawa. Isu-isu seperti rasuah, salah guna kuasa, rakyat nampak stereotaip.

    “Rakyat mahu lihat apa PN boleh bawa ke depan? Kita nak maju ke depan, bawa anak muda contohnya, pemuda pemudi hari ini nak lihat ‘eh, apa masa depan untuk kami?’, ‘Boleh ke saya dapat biasiswa?’, ‘Boleh ke saya tingkatkan ‘skill’ saya?’.

    “Ini yang kita (PN) harus buat,” tegasnya.

  • Pengundi muda semakin dekat, mesra PN Terengganu

    Pengundi muda semakin dekat, mesra PN Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat diperkata dan diperbualkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

    Di sana sini sama ada dari kalangan orang politik, penganalisis sehingga kepada nelayan yang sedang menjahit pukat di hujung kuala terus bercakap mengenai topik tersebut.

    Walaupun sehingga ini kerajaan yang memerintah masih belum memberi jawapan berhubung bilakah parlimen bakal dibubarkan, namun beberapa isu berbangkit kebelakangan ini dianggap sebagai ‘signal’ atau bayangan bahawa PRU-15 sudah semakin hampir.

    Malah, ada pemimpin parti serta pengalisis politik menjangkakan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini juga.

    Sebab itulah, kalau diperhatikan kebanyakan parti politik di negara ini sebenarnya sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

    Ia termasuklah parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang menyasarkan untuk meraih kemenangan besar di negeri ini pada PRU-15 kali ini.

    Sepertimana kata Timbalan Pengerusi Satu PN Terengganu, Senator Datuk Razali Idris sewaktu bercakap dengan WartaRakyat baru-baru ini, pihaknya sentiasa bersedia dan sejak dari awal lagi telah membuat persiapan ke arah itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk mendekati rakyat.

    Berdasarkan keharmonian serta perpaduan erat dalam PN, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Pengerusi Bersatu Terengganu membayangkan gabungan itu melalui tiga gabungan parti, iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan dijangka terus kekal memerintah negeri ini.

    Keyakinan itu adalah berdasarkan kerjasama serta sambutan luar biasa diberikan masyarakat khususnya ketika pelancaran PN peringkat Negeri Terengganu oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila Marang baru-baru ini.

    Selain itu faktor penerimaan rakyat Terengganu terhadap PN juga dianggap suatu perkembangan amat membanggakan.

    Bagi Razali kehadiran lebih 10,000 orang pengujung termasuk anak-anak muda yang pertama kali menjadi daftar pemilih disifatkan sebagai satu fenomena baharu dalam dunia politik mutakhir ini.

    “Sejak kebelakangan ini semakin ramai anak-anak muda berusia 18 tahun mulai dekat dan mesra dengan kita.

    “Apa yang menarik,
    mereka datang bertanya kepada kita untuk membantu menjayakan setiap aktiviti secara sukarela tanpa meminta sebarang upah.

    “Kita amat bangga dengan sumbangan mereka dan konsep inilah yang akan terus kita terapkan dalam PN Terengganu,” jelas Razali.

    Selain anak-anak muda, PN Terengganu juga akan terus mempergiatkan usaha untuk mendekati para pengundi atas pagar agar memilih gabungan tersebut pada PRU-15 nanti.

    Dalam PRU-14 pada Mei 2018 lalu, parti Pas yang memenangi majoriti dua pertiga berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen.

    BN Terengganu hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN di mana dua daripada lapan kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

    Kemenangan itu secara tidak langsung mengulangi kejayaan Pas yang pernah membentuk kerajaan negeri pada PRU-10 tahun 1999.