Tag: pengundi Melayu

  • PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sekiranya 90 pengundi Melayu keluar mengundi pada 9 September ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut tidak mustahil walaupun sebelum ini ada pihak memaklumkan gabungan politik itu sukar menang di dua kerusi berkenaan.

    “Ada orang kata kepada saya, jika diikut pecahan pengundi ikut kaum, susah nak menang Tan Sri. Usaha ‘not impossible’ (tidak mustahil boleh menang)..
    ini (Parlimen Pulai) kawasan gelap, akan datang ini kawasan putih kerana dalam analisis hampir 80 peratus sokong PN.

    “Itu rahsia (formula PN untuk menang) tapi terdedah, kalau dapat menang, menang kita,” katanya berucap pada majlis pengumuman calon Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bilik Gerakan Utama PN Bahagian Pulai, Kempas, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kedua-dua calon PN itu sudah ditapis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan tidak bangkrap.

    Katanya, PN tidak mahu kalah pada PRK tersebut dan berharap tiada masalah dalaman seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Siapa calon yang kita letak harap dapat sokong
    100 peratus,” ujarnya dan mahukan semua pihak bekerjasama dan terus menjalinkan hubungan baik dalam usaha menang dalam PRK tersebut.

    Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada Gerakan kerana berkorban menyerahkan kerusi Parlimen Pulai kepada Bersatu untuk ditandingi mewakili PN.

  • PRN Pulau Pinang: Pas, Bersatu tanding 15 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu

    PRN Pulau Pinang: Pas, Bersatu tanding 15 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu

    PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang akan bertanding di 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof berkata, baki 25 daripada keseluruhan 40 kerusi DUN di negeri itu masih dalam perbincangan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain khususnya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Ini kerana kata beliau, selain Gerakan, Pas juga memiliki wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri daripada calon bukan Melayu yang mana turut bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    “Kita akan bincang mana yang sesuai untuk 25 lagi baki kerusi DUN lain, mana untuk DHPP dan mana untuk Gerakan.

    “Dalam hal ini, banyak perkara yang sudah (kita) bincang. Ada panduan untuk capai titik pertemuan antara tiga-tiga parti ini (Pas, Bersatu dan Gerakan),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas Pas Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi.

    Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, Pas ketika ini juga sudah memiliki senarai calon daripada kalangan sayap Muslimat dan DHPP untuk bertanding pada PRN Pulau Pinang.

    Ujar beliau, setiap Kawasan Pas sebelum ini sudah menghantar sekurang-kurangnya tiga calon untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum diberikan watikah untuk bertanding.

    “Perkiraan kita hanyalah ‘winnable candidate’ (calon boleh menang) sahaja,” katanya.

    Jelas beliau, ketika ini, kepimpinan PN di khususnya di peringkat negeri yang akan diadakan PRN telah mengenal pasti dan sedang mengatur langkah strategik untuk menguasai DUN.

    “Ada penyandang (untuk kerusi DUN), itu perkara yang sudah diketahui. Ada juga perkara berkaitan strategik dan kewibawaan,” katanya.

  • Gelombang Hijau tidak kenal sempadan negeri

    Gelombang Hijau tidak kenal sempadan negeri

    Oleh ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR

    PILIHAN Raya Umum Negeri ke-15 buat enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka diadakan pada lewat suku ke dua atau awal suku ketiga tahun ini.

    Berdasarkan perkembangan politik semasa dan kecenderungan para pengundi Melayu yang terus dilihat tidak yakin pada Perdana Menteri ke-10 dan kerajaan campurannya, PRN di enam buah negeri ini dijangka sengit dan mencabar survival dan kemampuan politik Pakatan Harapan serta rakan barunya, Barisan Nasional.

    Hasil kajian 02 Research Malaysia dengan kolaborasi lima media saluran perdana baru-baru ini, yang mendapati bahawa 71 peratus responden Melayu tidak yakin pada Kerajaan Campuran PH-BN, adalah petanda bahawa ‘Gelombang Hijau’ yang bergelora ketika PRU Parlimen ke-15 pada November 2022 lalu, masih ganas. Ia tidak susut selepas PRU Parlimen ke-15, ia terus bergelora ketika Pilihan Raya Parlimen Padang Serai sehingga membawa kemenangan besar buat calon PN meranapkan calon PH-BN.

    Dan hasil kajian 02 Research ini membuktikan walau Datuk Seri Anwar Ibrahim telah naik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan membentuk kerajaannya, ketidakpuasan hati umat Melayu Islam tidak reda malah makin panas.

    Anwar dan gabungan PH-BN sejujurnya cemas dengan perkembangan ini, tetapi sedaya upaya cuba melindunginya. Terbaru untuk mematahkan hasil kajian ini mereka telah mengerahkan kajian sendiri yang dilakukan oleh sebuah syarikat kajian Vase.ai yang difahamkan pro mereka. ‘Denial syndrome‘ mereka ini sukar tertegak kerana ‘Gelombang Hijau’ ini adalah satu fenomena yang semulajadi bukannya sesuatu yang mampu direkacipta sesiapa.

    Buatlah kajian yang direka-reka apa sekalipun hakikatnya gelombang ini terlalu menebal tertunjam dalam jiwa umat Melayu Islam yang telah membara sekian lama, dan kiranya berterusan ia sudah pasti mampu mempengaruhi keputusan PRN di enam buah negeri yang dimaksudkan.

    Hari ni pun kebanyakan para penganalisa politik menjangkakan PN-PAS bakal kekal di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di Kedah umpamanya tiada tokoh yang dilihat mampu menandingi personaliti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang kebelakangan ini cukup popular di media sosial.

    Tokoh-tokoh politik PN umpama Sanusi dan lain-lain dilihat selari dengan selera dan kehendak rakyat. Mereka cukup disenangi dan realiti ini menambah lonjakkan lagi gelora ‘Gelombang Hijau’ itu. Tambahan apabila tokoh DAP pandai-pandai mahu menyerang atau memperlekehkan tokoh-tokoh PN ini, ia semakin mempertingkatkan lagi simpati dan sayang rakyat pada mereka.

    Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi sesetengah pihak sudah dalam tangan. Pertarungan sebenar kini adalah di baki tiga buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Di Pulau Pinang genggaman DAP cukup kuat. Negeri tunggal DAP ini dijangka kekal namun PN berkemampuan menguasai saki-baki kerusi Melayu terutama di ‘tanah besar’ dan sebahagian kawasan Melayu di pulau, menumbangkan calon-calon PKR Melayu dan PAN di kerusi-kerusi mereka.

    Demikian juga di Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun kiranya gelombang perubahan yang melanda terlalu kuat dan besar, tidak mustahil sebagaimana Perlis, Negeri Sembilan juga boleh kecundang buat PH-BN.

    Tumpuan sekarang adalah Selangor, mampukah Selangor ditumbangkan oleh fenomena ‘Gelombang Hijau’ ini? Bolehkah PN menang paling kurang 29 dari 56 kerusi, sebagai majoriti mudah untuk melayakkannya membentuk Kerajaan Negeri Selangor yang baru?

    Berdasarkan angka dan trend semasa, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa PN sesungguhnya punya peluang cerah di Selangor. Konflik di dalam Umno Selangor adalah kritikal, dan apabila Umno sedar yang PH tidak akan memberi kerusi DUN kepadanya untuk ditandingi kecuali kerusi-kerusi yang ia ada, konflik ini akan semakin kronik dan ramai dijangka ‘lari’ dari Umno.

    Demikian juga DAP Selangor sebenarnya pun bukan tenang tetapi penuh bermasalah. Ramai yang tidak dapat menerima keputusan berbaik dengan Umno. DAP Selangor sendiri berpecah dengan kumpulan tradisional, mereka yang berpendidikan Cina dan yang berpendidikan bukan Cina. Masing-masing akan tikam menikam menjelang PRN ini.

    Sedar tak sedar dalam keghairahan ‘denial syndrome‘ mereka itu seorang ADUN PKR Selangor dengan bongkak menyatakan bahawa PH akan kekal berkuasa di Selangor (sila lihat The Sunday Star 5 Mac, 2023 muka 10 ‘Target of the next green wave’). Alasan beliau serius kerana beliau sesungguh telah menghina kaum Melayu.

    Katanya Melayu di Selangor tidak seperti Melayu di Kelantan atau Kedah. Melayu Selangor dakwanya lebih rasional dan menilai rekod tiga penggal Kerajaan PH Selangor.

    Dalam ‘denial syndrome’ beliau cuba membeza-bezakan kaum Melayu ikut sempadan negeri, seolah mereka yang di Kelantan dan Kedah tidak serasional kaum Melayu di Selangor. Benarkah begitu?

    Hakikatnya umat Melayu Islam yang terlibat sendiri sebagai arkitek ‘Gelombang Hijau’ ini tidak mengenal sempadan atau batas negeri. Sama sahaja Melayu Kedah, Kelantan malah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang atau Johor sekalipun.

    Hari ini kesedaran politik umat Melayu itulah yang membangkitkan gelombang ini dan mereka di mana sahaja pelosok Semenanjung sudah semakin curiga dan hilang keyakinan pada PH dan BN-Umno. Keputusan PRU Parlimen November 2022 baru-baru ini adalah bukti. Keputusan kajian 02 Research Malaysia mengesahkan bahawa gelombang ini masih panas ‘hidup’.

    Umat Melayu di mana sahaja hari ini mahukan pemimpin yang bersih, berintegriti, mengutamakan politik penyatuan ummah dan benci pada mereka yang rasuah dan rasis.

    Memang PKR akan cuba menafikan wujud gelombang ini tetapi realitinya mereka sedar mereka sudah tidak lagi mampu mempengaruhi atau menguasai pengundi Melayu Islam. PAN yang sebelum ini merupakan alat PH terutama DAP untuk meraih undi Melayu dilihat gagal berperanan, malah dalam PRU Parlimen baru-baru ini tinggal berbaki 8 kerusi Parlimen sahaja, itupun menang atas simpati undi masyarakat bukan-Melayu.

    Sekiranya DAP berjaya meyakinkan masyarakat bukan Melayu untuk kekal ‘solid’ bersama PH di Selangor dalam PRN nanti, kerusi-kerusi majoriti bukan-Melayu mungkin selamat. DAP sendiri terancam di beberapa kerusi milik mereka yang kini sudah bertukar menjadi majoriti Melayu contohnya di Kuala Kubu Bharu yang kini 50.3 peratus Melayu, Sg Pelek 58.2 peratus Melayu dan Dusun Tua 63 peratus Melayu.

    Rekod PH dalam kerajaan sejak 2008 bukanlah rekod mutlak. Antara 2008 ke 2018, PAS bersama mereka dalam kerajaan dan sebahagian tempuh itu Selangor diketuai Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim yang terkenal sebagai Menteri Besar Selangor yang paling bersih, telus dan berwibawa jauh berbeza dari Selangor bawah Menteri Besar hari ini.

    Tidak mengapalah jika ADUN PKR Selangor mahu tinggal di bawah tempurung, hakikatnya rakyat Selangor khasnya umat Melayu Islam dari Hulu Selangor ke Sepang, Sabak Bernam ke Ampang bersama ‘Gelombang Hijau’ ini.

    Jika Melayu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah berupaya mengekalkan jati diri melahirkan kepimpinan Melayu Islam yang berkualiti dan berintegriti, Melayu Selangor juga layak dan pasti menuntut perubahan.

    Penulis ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

  • Apakah kerajaan PH-BN ‘putus asa’ dengan pengundi Melayu?

    Apakah kerajaan PH-BN ‘putus asa’ dengan pengundi Melayu?

    MUKA depan akhbar Utusan Malaysia pernah memaparkan laporan Kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sehingga mencetuskan polemik kerana dianggap berbaur perkauman dan hasutan oleh media arus perdana diaungi parti politik utama kerajaan ketika itu, UMNO.

    Kenyataan itu diletakkan muka depan akhbar berbahasa Melayu itu kira-kira 10 tahun yang lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan undi popular beralih kepada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).

    Laporan itu antara lain menyebut pengundi Cina terperangkap dengan politik perkauman DAP tetapi gagal menumbangkan kerajaan ketika itu yang dikuasai Barisan Nasional (BN) serta mendapat sokongan majoriti orang Melayu.

    Polemik daripada laporan itu melihat BN-UMNO sudah berputus asa dengan sokongan pengundi Cina.

    Selepas sedekad berlalu, keadaan yang sama kembali dikesan apabila penganalisis mengatakan parti politik yang menjadi kerajaan dilihat hampir berputus asa dengan sokongan pengundi Melayu.

    Perikatan Nasional (PN) muncul menjadi satu gabungan politik yang memberi saingan sengit kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

    Pada PRU15, PN menguasai 74 kerusi Parlimen, sekali gus mendominasi kerusi Parlimen Melayu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, penganalisis mengatakan pemimpin parti politik kerajaan mula menunjukkan “tanda” mereka mungkin sudah tidak lagi berharap kepada pengundi Melayu apabila isu-isu melibatkan kebajikan golongan itu seperti peneroka Felda tidak dibela dalam pembentangan Belanjawan 2023.

    Malah, inisiatif kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka keseluruhan bernilai RM8 bilion turut dihentikan.

    Selain itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga dikecam hebat apabila membuat kenyataan dikatakan menghina pengundi muda mengatakan yang rendah taraf pendidikan dan tidak bergaji tinggi adalah penyokong PN pada PRU15.

    Penganalisis politik berpandangan situasi-situasi itu membuktikan PH-BN sememangnya sedang menghadapi cabaran besar memenangi hati dan sokongan majoriti orang Melayu.

    Anis Anwar Suhaimi dari O2 Research Malaysia berkata kenyataan Saifuddin dan ketiadaan fokus Belanjawan 2023 terhadap Bumiputera menunjukkan mereka kurang faham kepada rungutan sosioekonomi orang Melayu.

    “Membaca data tanpa kefahaman yang mendalam terhadap akal budi Melayu akan menjurus pada pemesongan tafsiran kepada kelompok ini khususnya penilaian yang dilakukan bersifat urban centric,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Katanya, sokongan pengundi Melayu hakikatnya lebih kompetitif dan demokratik kepada parti-parti yang bertanding.

    Menurut Anis, ianya diterjemahkan pada pola pengundian mereka yang rencam dan berbeza antara PRU13, PRU14 dan PRU15.

    Katanya, ini menunjukkan adanya mesej politik yang sedang disampaikan oleh masyarakat Melayu kepada seluruh pemimpin politik yang inginkan sokongan mereka.

    Tambah Anis lagi, di sisi demokrasi tahap pendidikan dan pendapatan ekonomi bukanlah melambangkan kualiti demokrasi semata-mata tetapi menunjukkan setiap kumpulan masyarakat yang berbeza mempunyai tuntutan tersendiri yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

    “Perangkaan dasar negara yang tidak memenuhi aspirasi masyarakat Melayu berserta pandangan yang prejudis terhadap demografi mereka akan mengundang tindak balas yang lebih reaktif kepada PH.

    “Khususnya di mana PRN akan datang bakal menjadi medan ujian kedua dalam menentu ukur tahap sokongan orang Melayu khususnya di kawasan majoriti Melayu terhadap kerajaan semasa.”

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar melihat kenyataan yang dibuat oleh setiausaha agung PKR sebagai kenyataan kurang tepat.

    Hisommudin berkata Saifuddin dikenali sebagai selalu bercakap bersandarkan fakta dalam ucapannya.

    Tetapi berbeza kali ini apabila petikan ceramah berkenaan kurang tepat dari sudut fakta.

    Katanya, sokongan PN adalah merentasi umur jika dilihat kepada keputusan pilihan raya yang lepas.

    Katanya, di negeri jajaran Melayu semua saluran pengundian berlaku peningkatan berganda kepada PN jika dibandingan dengan keputusan PRU14.

    Menurut Hisommudin, ini bermakna sokongan kepada PN disumbangkan oleh semua lapisan masyarakat sama ada muda atau tua, pendidikan tinggi atau rendah.

    “Kekurangan kepada PN ialah segmen bukan Melayu.

    “Oleh itu, saya melihat kenyataan berkenaan lebih kepada menyedapkan hati jentera PH tetapi bukan berlandaskan fakta sebenar,” katanya.

  • Undi Melayu PH hasil campuran dengan BN, kata Sanusi

    Undi Melayu PH hasil campuran dengan BN, kata Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERATUSAN sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kononnya mencecah 31 peratus seperti seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang tepat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, peratusan berkenaan sebenarnya adalah hasil campuran sokongan orang Melayu kepada PH serta Barisan Nasional (BN).

    Katanya, semua pihak boleh membuat penilaian sendiri berkenaan peratusan sokongan orang Melayu yang mana hampir majoriti diraih PN pada pilihan raya itu.

    “Dia ambil yang (undi) UMNO masuk situ (dalam peratusan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi campur (parti komponen) BN, empat kerusi, jadi 30 kerusi.

    “Ambil (undi UMNO) bubuh (masukkan) di situ, jadi banyak, macam orang tak tahu. Tidak perlu cakap kami pun dapat sokongan orang Melayu, (sebaliknya) tengok sendiri, orang tahu.

    “Saya kata 11 peratus (PH dapat sokongan Melayu), ada yang kata 19 peratus, semalam Perdana Menteri cakap 31 peratus, banyak sebenarnya, pada pandangan saya, 31 peratus itu (termasuk yang) menyokong BN,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah bagi Daerah Pendang, hari ini.

    Semalam, Anwar berkata, andaian PH tidak mendapat dukungan pengundi Melayu apabila didakwa hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada PRU15 tidak benar kerana data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan PH menerima sebanyak 31 peratus undian daripada orang Melayu.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, mengharapkan agar desas-desus Khairy Jamaluddin akan menyertai PN menjadi kenyataan.

    Katanya, penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan memberikan kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

    Muhammad Sanusi berkata, PN sentiasa membuka ruang untuk mana-mana individu yang dipecat atau digantung UMNO untuk menyertai parti itu sekiranya mereka berminat.

    “(Mereka) yang dibuang daripada UMNO orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat, KJ siapa kata tak hebat? Siapa kata Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, Hishamuddin tidak hebat? Semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia.

    “Prestasi KJ berapa lama (berkhidmat), seorang yang hebat, kalau dapat menyertai PN, apa dia nak jadi pun Alhamdullilah. Saya harap ia menjadi kenyataan. Orang baik mai (silakan), orang tidak bagus pergi berhimpun, berkumpul di sebelah sana (PH),” katanya.

  • PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    SOKONGAN orang Melayu berkemungkinan akan beralih daripada UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dalam beberapa bulan akan datang.

    Menurut Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau percaya orang Melayu akan mengalihkan sokongan mereka kerana UMNO kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di negeri-negeri yang pernah dikuasai Barisan Nasional (BN), yang bertentangan dengan hati rakyat, dan prinsip asas parti nasionalis itu.

    “Ia terbukti dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana sokongan bangsa Melayu mula beralih kepada Perikatan Nasional, tetapi apabila UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, ini menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ramai yang berhasrat untuk membuat pusingan-U sekarang.

    “Jika kita perhatikan, kerusi luar bandar yang menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini, kita berjaya memenanginya pada PRU-15.

    “Jadi saya yakin detik ini akan berterusan sehingga pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam artikel yang disiarkan hari ini.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata UMNO/BN akan bekerjasama dengan PH dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

    Guan Eng berkata dengan penubuhan kerajaan pada peringkat Persekutuan, DAP dan UMNO/BN akan mengambil bahagian dalam kerjasama yang sama di peringkat negeri, sama seperti di Perak dan Pahang.

    “Perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan semasa mesyuarat PH, melibatkan Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tertinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.

    Pada dasarnya, Guan Eng berkata kerjasama politik akan melibatkan penubuhan kerajaan PH-BN pada Peringkat Persekutuan.

    “Jika tidak (kerjasama dalam PRN), saya tidak fikir ia (kerajaan PH-BN) akan berterusan. Jadi, dengan itu, sudah tentu bukan sahaja peringkat kerajaan, malah kerjasama politik juga akan berlaku.

    “Tetapi (sekali lagi), saya rasa kita perlu menunggu mesyuarat yang akan diadakan sebelum sebarang kerja boleh dimulakan,” tambah Guan Eng.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal mengakui ia tidak akan menjadi ‘cake walk’ untuk Perikatan Nasional pada PRN itu, meletakkan ia kepada naratif serong PAS sebagai parti ekstremis.

    Beliau berkata ia telah berjaya pada tahap tertentu dalam kalangan pengundi bukan Islam di negara ini.

    “Mereka yang mendakwa jika Perikatan Nasional menang, kami akan memerintah dengan cara Taliban. Propaganda mereka telah berjaya menimbulkan ketakutan kepada pengundi bukan Melayu di mana sebenarnya apa yang berlaku di Terengganu dan Kelantan bukanlah seperti yang didakwa,” katanya.

    Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang dikuasai PH, dan Kedah, Kelantan dan Terengganu, ditadbir oleh PAS, akan mengadakan PRN tahun ini.