Tag: pengubahan wang haram

  • Abdul Azeez lepas tanpa bebas 9 tuduhan rasuah,pengubahan wang haram

    Abdul Azeez lepas tanpa bebas 9 tuduhan rasuah,pengubahan wang haram

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

    Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon agar Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh telah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

    “Mahkamah berpendapat setiap kes perlu dibezakan berdasarkan fakta dan isu utama adalah kuasa budi bicara di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah sama ada perintah DNAA atau DNA patut diberikan terhadap tertuduh. Dalam menjalankan kuasa itu mahkamah perlu mengimbangkan kepentingan awam dan hak tertuduh sendiri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan.

    “Mahkamah membuat perintah DNAA di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selepas berpuas hati alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kukuh dan memuaskan. Oleh itu mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan itu,” katanya semasa sebutan kes itu.

    Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018.

  • Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    MAHKAMAH Tinggi Kuala lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

    Muhammad Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 Sept hingga 19 Sept 2022. Tarikh sebelum ini ialah 6 Sept hingga 12 Sept 2022.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhammad Shafee itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 Sept 2022 kepada 15-19 Sept 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 Sept.

    “Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

    Muhammad Shafee, 70, peguam utama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

    Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept.- BERNAMA

  • Tuduhan rasuah, pengubahan wang haram: Abd Latif dan anak bebas 

    Tuduhan rasuah, pengubahan wang haram: Abd Latif dan anak bebas 

    BEKAS Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi, anaknya dan seorang perunding hartanah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lalu, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamaruddin Kamsun selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan terhadap kesemua tertuduh Abdul Latif, 56, Ahmad Fauzan Hatim, 30, dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49.

    Abdul Latif dan Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Abdul latif turut menghadapi 13 pertuduhan dan masing-masing empat pertuduhan bagi Amir Shariffudfin serta Ahmad Fauzan di bawah Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

    Kamaruddin dalam penghakimannya berkata keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan.

    Mahkamah turut mengarahkan agar wang jaminan dipulangkan semula.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah 1, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Abdul Latif dan Ahmad Fauzan diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Salehuddin Saidin.

    Manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

    Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujahnya berkata pihaknya akan meneliti keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap ketiga-tiga tertuduh, dan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut pada minggu ini.

    Pada 26 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan keputusan kes dihadapi Abd Latif dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah kerana terhadap hujahan daripada pihak terbabit yang belum diterima.

    Kamaruddin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Abd Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa pada 14 Jun 2017, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah.

  • Pesara swasta didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta

    Pesara swasta didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta

    SEORANG pesara swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta.

    Bagi semua pertuduhan, K Suranderan, 60, didakwa melupuskan wang RM1,685,543.27 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun beberapa bank milik empat syarikat, tiga individu serta tertuduh sendiri, termasuk akaun kad kredit antara RM11,398 dan RM516,480.

    Suranderan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di OCBC Bank (Malaysia) Bhd, cawangan Klang antara 14 Nov 2019 dan 29 Mac 2021.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous manakala tertuduh diwakili peguam K Renuka dan V Ayasamy.

    Hakim Helena Sulaiman menetapkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap sebulan sekali di balai polis terdekat serta 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    SEORANG pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 juta, dua tahun lepas.

    Mazne Che Mohd Amin, 32, didakwa telah memindahkan RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya, NMOQ Trade Sdn Bhd, menerusi 14 transaksi yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

    Wanita itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di cawangan sebuah bank di Sungai Besi antara 9 Sept hingga 17 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87 (1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta serupa.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Beliau turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

    Peguam Luqman Mazlan yang mewakili Mazne memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akan akur dengan syarat-syarat jaminan lain.

    Hakim Helina Sulaiman menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Helina membenarkan kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    Ahmad Zahid tiada hak tuntut kekebalan daripada pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat transaksi berkaitan yayasan kebajikan, Yayasan Akalbudi (YAB) yang dijalankan keluarganya.

    Ketua pendakwaan Datuk Raja Rozela Raja Toran  berkata tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai  kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan.

    Beliau berhujah pihak pembelaan bergantung kepada Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menuntut kekebalan tetapi seksyen itu tidak memberikan kekebalan hanya pengecualian daripada didakwa dengan pertimbangan pendakwa raya kepada orang tertentu yang membantu siasatan.  

    “Pihak pendakwa raya mengambil keputusan bahawa tertuduh tidak berhak untuk diberi kekebalan. Bahkan beliau tidak mempunyai hak untuk menuntut kekebalan di bawah Seksyen 30 (7).

    Seksyen 30 (7) apabila dibaca berdasarkan konteks menyeluruh perundangan, ia digubal untuk menggalakkan saksi-saksi untuk bekerjasama mendedahkan maklumat dan dokumen bagi membantu SPRM dalam siasatannya.

    “Seksyen ini terpakai kepada mereka yang mendedahkan maklumat atau dokumen dan maklumat atau dokumen itu sebaliknya mendedahkan individu berkenaan kepada penjenayah atau tindakan atau tuntutan sivil,” katanya dalam hujahan untuk mematahkan hujahan pembelaan mengenai kekebalan tertuduh di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Sebelum ini, ketua pembelaan Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018 dan dengan membuat pendedahan itu menerusi dua kenyataan, Presiden UMNO itu sepatutnya mendapat kekebalan daripada pendakwaan di bawah Seksyen 30 (7).  

    Raja Rozela berkata pihak pembelaan tersilap anggap bahawa kes pendakwaan dibicarakan berdasarkan kedua-dua kenyataan itu.

    “Sebaliknya, pihak pendakwaan bersandarkan kepada bukti daripada 99 saksi, kebanyakannya orang awam yang kenyataan mereka dirakamkan oleh SPRM.  Tidak pernah pendakwa raya atau SPRM melakukan sesuatu bagi menggalakkan tertuduh mempercayai bahawa beliau akan diberikan kekebalan. 

    Seksyen 30(7) tidak mengandungi perkataan kekebalan. Jika Parlimen merancang untuk menyediakan kekebalan di bawah Seksyen 30 (7), ia akan menyatakannya dengan jelas,” kata beliau. 

    Timbalan Pendakawa Raya itu kemudian berhujah bahawa SPRM mempunyai kuasa di bawah Seksyen 30(7) untuk memanggil siapa sahaja untuk memberikan maklumat termasuk mereka yang masih belum didakwa di mahkamah sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

    “Jika SPRM merekodkan kenyataan daripada saksi dan semua mereka dilindungi, setiap orang adalah kebal, maka apa tujuan siasatan dibuat? Di mana letaknya SPRM ? Adalah tidak masuk akal untuk menyatakan Ahmad Zahid tidak perlu didakwa hanya kerana beliau telah memberikan makluamt kepada SPRM,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berhadapan 47 pertuduhan – 12 daripadanya adalah pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 mengenai pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit milik YAB. 

    Pihak pendakwaan akan menyambung penghujahannya pada 4 Okt ini.- BERNAMA