Tag: pengguna TikTok

  • Pengguna TikTok minta maaf, nafi mahu jual buah pinggang

    Pengguna TikTok minta maaf, nafi mahu jual buah pinggang

    SEORANG pengguna TikTok mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di akaun media sosial miliknya selepas klip video mendakwa dia ingin menjual buah pinggangnya, tular baru-baru ini.

    Menurut lelaki yang menggunakan nama daddy_keacy untuk akaun TikToknya itu, dia membuat hantaran tersebut disebabkan masalah hutang yang dihadapinya.

    Namun memetik laporan Malayiakini, lelaki itu mengaku tidak berhajat untuk menjual buah pinggangnya seperti yang dimuat naik di media sosial berkenaan.

    “Jadi saya buat ‘jalan pintas’kepada sesiapa yang nak beli buah pinggang.

    “Dan saya tidak sangka pula video tersebut Fyp,” katanya di dalam video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di TikTok semalam.

    Fyp ialah singkatan untuk For You Page yang merujuk kepada halaman di aplikasi TikTok yang dipenuhi dengan kandungan video dianggap sesuai dan akan menghiburkan pengguna.

    Pengguna Tiktok akan mengguna tanda pagar #fyp untuk menjadikan video yang dihasilkan mereka mendapat perhatian dan meningkatkan capaian penonton.

    Semakan Malaysiakini mendapati pengguna TikTok yang memperkenalkan dirinya sebagai tukang masak dan pengatur cara majlis itu memberi penerangan kepada 2,337 pengikutnya tentang alasan dia mahu menjual organ.

    Doktor pakar kesal

    Dia yang mula memuat naik beberapa video sejak 25 Mac lalu mengakui menggunakan rakaman yang diambil ketika dia menghadiri temu duga kerja di Singapura untuk meraih perhatian dan menambah pendapatan sampingannya di TikTok.

    Pun begitu dia mengakui tiada hasil yang diperoleh daripada video tersebut.

    Tidak dapat dipastikan jika kenyataan daddy_keacy itu ada kaitan dengan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa ada rakyat Malaysia terpaksa menjual buah pinggang mereka atas faktor kesempitan hidup.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu menggunakan hujah tersebut untuk mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.

    Dalam hantarannya semalam daddy_keacy turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan Malaysia dan Singapura kerana membuat kenyataan palsu.

    “Saya harap kerajaan Singapura dapat menerima permohonan maaf saya.

    “Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Malaysia yang mana orang menyalahkan saya mengenai desakan hidup hingga perlu menjual organ mereka.

    “Benda tu (masalah kewangan) memang merdesak tapi tidak sampai saya mahu menjual buah pinggang,” katanya.

    Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii sebelum ini menuntut Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan bukti berhubung “dakwaan serius” yang dibuatnya itu.

    Selain itu seorang doktor yang juga pakar dalam pendermaan organ Dr Abdul Jabbar Ismail turut menyatakan rasa kesal dengan dakwan Wan Ahmad Fayhsal kerana ia menjejaskan usaha menggalakkan orang ramai menderma organ.

  • Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    PENGGUNA TikTok, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, ditahan agensi itu semalam.

    Penahanan suspek disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    Menurutnya, Shafiq ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

    “Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, pukul 3.30 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.

    Wan Saiful tidak lagi menjadi ketua penerangan berkuat kuasa semalam selepas peletakan jawatannya diterima Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan kerana merosakkan reputasi SPRM.

    “Mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful?

    “Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” katanya.

    Walaupun Shafiq memohon maaf semalam, beliau berasa tindakan itu seperti sengaja mahu dimainkan oleh pengguna TikTok itu.

  • Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang pengguna TikTok bahawa ia menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, untuk menjadi saksi bagi mendakwa presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Individu terbabit membuat tuduhan itu dalam satu video ringkas di TikTok hari ini.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau menepis dakwaan itu yang disifatkannya sebagai fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu itu.

    “Manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

    Wan Saiful pagi tadi didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

    Sementara itu, semakan FMT dengan pihak Wan Saiful mendapati individu terbabit adalah penyelidik sembilan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

    Terdahulu, Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa. Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif pakej rangsangan berdepan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

    Program itu terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.

    Pakej rangsangan terbabit dilaksanakan ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Pada Jumaat, Muhyiddin berkata, beliau disoal siasat sebagai saksi dan menafikan sebarang penyelewengan dana.

  • Intimidasi pengguna TikTok, PN kecam kerajaan sekat kebebasan bersuara

    Intimidasi pengguna TikTok, PN kecam kerajaan sekat kebebasan bersuara

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengecam kerajaan kerana aktif mengambil tindakan terhadap pemilik akaun TikTok dan mendakwa langkah ini sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara.

    Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinyatakan dalam perkara ke 17 apabila mengemukakan janji untuk menjamin kebebasan bersuara dan tidak akan mengenakan undang-undang terhadap individu yang mengkritik kerajaan.

    Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keadaan sebaliknya yang berlaku apabila kritikan dan perkara yang diutarakan anak muda yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan pula dianggap sebagai fitnah.

    “Kami mengecam tindakan intimidasi atau provokasi yang telah dilakukan pihak kerajaan kepada terutamanya TikTokers dalam kalangan anak muda yang dikatakan menyebarkan bahan-bahan fitnah terhadap kerajaan sedangkan itu hanyalah salah satu elemen kebebasan bersuara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH berjanji untuk menjamin hak kebebasan media dan hak bersuara yang mana terdapat empat pendekatan yang akan dilakukan.

    Salah satunya ialah “Memansuhkan Akta Zalim” dengan menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

    Menurut Fadhli, tindakan terhadap pemilik akaun media sosial juga didakwa semakin berleluasa apabila notis terbaru dikeluarkan kepada seorang lelaki apabila beliau diminta hadir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membantu siasatan.

    “Ini dikira sebagai tindakan satu usaha untuk menyekat kebebasan bersuara anak-anak muda.

    “Jadi saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah pihak kerajaan hari ini sedang menyekat kebebasan bersuara anak muda yang telah diperjuangkan PH sendiri dalam manifesto?” soal beliau, lapor MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, Fadhli berkata, sekiranya kerajaan terus mengambil tindakan ini, anak-anak muda diseru supaya jangan menghentikan usaha mengkritik kerajaan dan menyuarakan suara yang dijamin dalam hak demokrasi.