Tag: pengerusi

  • ADUN kerajaan, pembangkang di Kelantan akan terima peruntukan sama

    ADUN kerajaan, pembangkang di Kelantan akan terima peruntukan sama

    MENTERI Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud memberi jaminan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan menerima peruntukan sama daripada kerajaan negeri.

    Beliau berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada pembangkang kerana mereka dipilih rakyat.

    “Walaupun aliran politik berbagai-bagai, pilihan raya telah selesai, yang ada ialah wakil rakyat iaitu wakil kepada rakyat,” katanya pada sidang media bagi Pengumuman Senarai Portfolio Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS dan Bersatu menang 43 daripada 45 kerusi DUN dipertandingkan, manakala dua kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan Dr Hafidzah Mustakim (DUN Kota Lama) dan calon Barisan Nasional Mohd Syahbuddin Hashim (DUN Galas).

    Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya akan merapatkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan atas prinsip memenuhi kebajikan dan keperluan rakyat, terutama dalam menangani masalah air.

    Beliau berkata kerajaan negeri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

    Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dan meningkatkan hubungan strategik dengan negara luar dalam bidang pendidikan serta ekonomi.

    Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan 2023-2028:

    1. Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah).
    2. Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang).
    3. Wan Roslan Wan Hamat (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi).
    4. Mohd Asri Mat Daud (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta).
    5. Datuk Md Anizam Ab Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan).
    6. Hilmi Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar).
    7. Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi).
    8. Datuk Dr Izani Husin (Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar).
    9. Rohani Ibrahim (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita).
    10. Datuk Kamarudin Md Nor (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).
    11. Zamakhshari Muhamad (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat).
      — BERNAMA

  • Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan –  Zurainah

    Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan – Zurainah

    SENATOR Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hanya dipendekkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Zurainah dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau sudah menerima surat berhubung perkara itu daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital serta ia selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

    “Sebagai menteri baharu, perkara ini merupakan prerogatif beliau (Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baharu di kementerian, beliau akan mempunyai visi serta cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli pasukannya sendiri,” katanya.

    Untuk rekod, tugas Zurainah sebagai Pengerusi Finas dilapor ditamatkan serta-merta pada 8 Dis lepas. Kontrak beliau, yang bermula pada 10 Jun lepas, sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024.  

    Beliau turut menjelaskan tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital itu tidak ada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana FINAS.

    Minggu lepas, media tempatan melaporkan dakwaan bekas Ahli Perbadanan FINAS Datuk Seri Eizlan Yusof bahawa tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Zurainah itu ada kaitan dengan isu penyelewengan dana projek Pameran Hantu anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

    Zurainah juga berkata beliau sedia membantu bakal penggantinya untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri filem antaranya berkaitan isu kebajikan ahli industri terutama kru filem yang berada di tahap kritikal.

    “Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka,” katanya.

    Beliau berkata kepimpinan baharu agensi itu juga perlu menekankan keperluan tersebut dalam bajet Kerajaan Perpaduan.

    “Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini serta memperkenal kemudahan pembiayaan yang tidak membebankan bagi memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.

    Selain itu, Zurainah berkata usaha mempromosi negara ini sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius supaya industri perfileman Malaysia tidak ketinggalan. – BERNAMA