Tag: pengembara China

  • 4,069 pengembara China tiba di Malaysia sejak Ahad

    4,069 pengembara China tiba di Malaysia sejak Ahad

    SERAMAI 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sejak negara terbabit membuka sempadan wilayahnya Ahad lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli ketika mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini tiada kes Covid-19 daripada kesemua pengembara berkenaan malah, tiada sebarang gejala dikesan.

    Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.

    “Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19,” katanya pada sesi taklimat khas kepada media di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dr Norhayati berkata, pihaknya juga menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke luar negara supaya melengkapkan vaksinasi selain mengambil dos penggalak satu dan dua.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua PMA dikekalkan setakat ini.

    Beliau berkata, SOP itu turut terpakai bagi pelancong dari China dan sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.

    Malah, pelancong yang dikenal pasti demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.

  • Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    SEMUA pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah  wajib menunjukkan keputusan negatif COVID-19, berkuat kuasa, Ahad in (1 Jan), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

    Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah itu berkata semua pengunjung dari China perlu mempunyai keputusan negatif dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu.

    “Keputusan ini telah dibuat Kerajaan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam. – BERNAMA