Tag: pengeluaran bersasar

  • KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar keluhan rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan mereka secara bersasar bukan bercagar.

    NGO itu ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir yang mewakili NGO berkata, sebanyak 50,000 pencarum mengisi petisyen bantahan pengeluaran KWSP bercagar yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua hari.

    “Wang itu wang simpanan rakyat mengapa perlu dicagarkan, mengapa kami perlu berhutang dan bayar bunga pula sedangkan duit sendiri?,” katanya pada sidang media selepas selesai menyerahkan memorandum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara di ibu negara, hari ini.

    Tegas Azmi, inisiatif itu hanya menambah beban hutang pencarum yang rata-rata mahukan pengeluaran bersasar untuk menyelesaikan hutang sedia.

    Menurutnya, pihaknya melihat isu terbabit sangat serius dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar kepada yang betul-betul memerlukan.

    Sehubungan itu, pihaknya berharap dengan penyerahan memorandum itu Yang di-Pertuan Agong dapat menasihati kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

    “Pencarum sangat-sangat terkesan, ini bukan perkara main-main. Kami akan terus desak kerajaan benarkan pengeluaran termasuk dari akaun satu.

    “Kalau pengeluaran akaun dua yang pasti buat pengeluaran bukan golongan M40 atau B40 tapi T20. Sebab golongan B40 dan M40 sudah tak ada baki dalam akaun dua. Mereka yang paling terkesan sebenarnya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif mencagarkan simpanan KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu kesempitan hidup rakyat.

    Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju jika inisiatif itu dilaksanakan oleh bank kerana ia dilihat hanya akan menambah hutang rakyat.

    “Kita tak setuju idea pinjaman bank ini. Kalau kerajaan bagi pinjaman menerusi agensi kerajaan yang ada kadar diskaun itu lain tapi yang ini komersial, konsepnya saya tak setuju.

    “Ini bukan pengeluaran tapi pinjaman, buatnya pencarum tak mampu bayar balik? Sudahlah pencarum dalam kesusahan.

    “Kalau dia tak mampu bayar pinjaman itu sudah habis hilang pula duit simpanan KWSP dia,” tambahnya lapor Harian Metro.

  • Pencarum KWSP rayu Perdana Menteri lulus pengeluaran bersasar

    Pencarum KWSP rayu Perdana Menteri lulus pengeluaran bersasar

    PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran bersasar simpanan itu sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.

    Tegas mereka, pengeluaran kecemasan secara bersasar itu bukan dibuat secara suka-suka sebaliknya mendakwa memang berada dalam kesusahan ketika ini.

    Menurut Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir, itu suara pencarum di seluruh negara yang meminta pengeluaran KWSP segera diluluskan.

    Malah katanya, beberapa pencarum sanggup turun ke pejabat cawangan KWSP negeri bagi menzahirkan situasi dan kesungguhan mereka dalam mendapatkan wang simpanan sendiri.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehubungan itu diminta untuk melihat rayuan itu dengan mempunyai empati terhadap rakyat.

    “Mereka (pencarum) sudah tidak pedulikan apa yang dikatakan masyarakat lain, yang penting tuntutan bersasar itu diluluskan dengan kadar segera sebelum sesi persekolahan 2023/2024 tidak lama lagi.

    “Mereka ini ada maruah tetapi keadaan sangat tertekan, maruah diketepikan. Wajarkah seorang ketua pemimpin negara melihat semua ini?” katanya dalam kenyataan media, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menegakkan hak asasi manusia dan suara rakyat, pihaknya menggesa Anwar meluluskan segera tuntutan berkenaan.

    Media sebelum ini melaporkan, pengeluaran caruman itu yang diumpamakan ‘talian hayat’ kepada mereka yang memiliki caruman mencukupi bagi meneruskan kelangsungan hidup malah ada juga golongan memberikan pendapat berbeza.

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang mencari jalan lain selain simpanan KWSP bagi membantu kumpulan yang mengalami masalah kos sara hidup tinggi.

    Beliau dilaporkan berkata, kerajaan sedang mencari alternatif lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

  • `Benarkan pengeluaran KWSP 2.0 kepada 3 juta pencarum’

    `Benarkan pengeluaran KWSP 2.0 kepada 3 juta pencarum’

    PERTUBUHAN Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.

    Presiden PGIR, Azmi Mohd Tahir berkata, angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum yang dijalankan pihaknya.

    Menurutnya, sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran caruman kepada tujuh juta pencarum, namun tiada mana-mana agensi yang membuat kajian, yang dapat membuktikan semua itu adalah pencarum yang betul-betul susah.

    “Tuntutan kami kali ini bersasar sebab kita tak mahu lihat perbelanjaan tidak terkawal atau pencarum tak terkesan, ambil kesempatan mengeluarkan simpanan KWSP untuk ‘berjoli’.

    “Daripada kajian senarai pencarum, kami mencadangkan kelulusan diberi kepada tiga juta pencarum.

    “Setakat ini, PGIR juga menerima laporan dan aduan seramai 320,000 pencarum terkesan. Jumlah ini hanya diperoleh daripada borang aduan dibuat PGIR dan belum mengambil kira jumlah sebenar pencarum di luar yang betul-betul terkesan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Global Human Rights Federation (GHRF), bagi memperjuangkan tuntutan KWSP bersasar 2.0.

    Mengulas lanjut, Azmi yakin kerajaan akan meluluskan permohonan itu bagi memastikan kelangsungan hidup golongan terkesan, ditambah tuntutan PGIR disokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dan wakil rakyat di Dewan Rakyat.

    Selain itu, beliau berkata, menerusi kerjasama dengan GHRF, PGIR akan membawa empat usul tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 mengikut kategori dan keperluan.

    Antaranya, beliau berkata, suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum dibenar mengeluarkan semua simpanan bagi menyara kelangsungan hidup.

    Selain itu, katanya, bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana faktor usia dan kesihatan, juga perlu dibenarkan mengeluarkan semua simpanan persaraan mereka.

    Pencarum yang masih aktif mencarum, berusia 54 tahun ke bawah dan mempunyai simpanan Akaun 1 melebihi RM20,000 juga perlu dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada jumlah itu.

    Usul keempat, katanya, pencarum yang masih aktif mencarum, mempunyai baki simpanan Akaun 1 RM19,999.99 dan ke bawah, boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 dalam Akaun 1 dan 2.

    “Kami merayu dan berharap Perdana Menteri serta kerajaan baharu ini, membenarkan pengeluaran KWSP.

    “Bantulah rakyat dan kasihani mereka. Kami menerima banyak aduan yang berdepan kesempitan hidup sehingga mengundang keruntuhan institusi keluarga, ada juga yang rumah terpaksa dilelong, dikejar bank dan Ah Long.

    “Sehingga hari ini sebenarnya, masih ramai lagi rakyat yang dibuang kerja dan ada juga sampai hari ini tak dapat pekerjaan tetap. Ada yang terpaksa kerja cuci pinggan, walhal sebelum ini mempunyai pekerjaan yang bagus,” katanya.