Tag: Pengawal keselamatan hilang

  • Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang pengawal keselamatan yang hilang semasa bertugas dalam sebuah ladang di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin terjawab apabila ditemukan malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, Shahrizuan Pairon, 23, ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 11.24 malam.

    “Mangsa telah dijumpai oleh anggota polis dalam keadaan lemah dengan jarak lokasi dijumpai 10 kilometer iaitu di kawasan berdekatan Stesen Keretapi Renggam.

    “Mangsa kemudian menaiki ambulan Klinik Kesihatan Layang-Layang untuk dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 7 petang kelmarin, mangsa hilang semasa bertugas di ladang tersebut dan kehilangannya disedari rakan setugas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

    Mohd. Fauzi berkata, operasi SAR itu disertai sembilan anggota BBP Renggam selain dibantu 82 orang dari pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk setempat.

    “Bomba bertindak membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota membuat pencarian seluas kawasan 150 ekar dengan dibantu oleh agensi lain.

    “Pencarian dibahagikan kepada lima kumpulan. Operasi pengesanan mangsa turut dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
    Operasi SAR tamat pada pukul 12.10 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, bapa saudara mangsa, Adanan Baharudin, 61, bersyukur kerana anak saudaranya itu selamat dijumpai oleh bapanya sendiri, Pairon Baharudin 56, ketika melalui jalan berkenaan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang itu.

    “Adik saya dan keluarga termasuk isteri dan anaknya menaiki kereta dan motosikal menuju ke lokasi anak mereka hilang dan setibanya di jalan berkenaan yang bersebelahan rel kereta api, dia seakan terperasan kelibat seseorang di tepi jalan.

    “Hatinya terdetik untuk berpatah balik dan memang betul anaknya sedang terbaring dan apabila ditanya apa yang berlaku, Shahrizuan terpinga-pinga dan mengatakan sepanjang dia hilang, pandangannya gelap seperti waktu malam.

    “Dia turut mengingati pada waktu kejadian kelmarin ada sebuah lori cuba melarikan diri di pintu pagar dan dia mengejarnya tetapi sampai di satu simpang, lori berkenaan hilang dan dia cuba berpatah balik ke tempat kerjanya semula, tetapi tidak nampak jalan keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dia mendakwa, anak saudaranya itu sebelum hilang terserempak pencuri dalam kejadian kecurian kelapa sawit di ladang Ulu Remis Sime Darby Layang-Layang itu pada petang kelmarin.

    Difahamkan sebelum hilang, mangsa sempat melaporkan kes kecurian baki buah tandan segar yang berada dalam tong pada pukul 7.22 petang kelmarin kepada kumpulan kerjanya menerusi WhatsApp.

    Adanan berkata, dua rakan sekerjanya iaitu Sarjan Fairul Md. Saud dan Lans Koperal Mohd. Khairi Adha Yahya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.

  • Pengawal keselamatan hilang semasa bertugas di ladang

    Pengawal keselamatan hilang semasa bertugas di ladang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengawal keselamatan hilang semasa bertugas dalam sebuah ladang di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam, dekat sini malam tadi.

    Kehilangan Shahrizuan Pairon yang berusia 23 tahun disedari rakan setugasnya selepas tidak pulang ke pusat kawalan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, mangsa disedari hilang pada pukul 7 malam tadi.

    Susulan itu kata Mohd. Fauzi, rakan setugas memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan ladang sebelum operasi mencarinya dilakukan.

    Gerakan mencari mangsa dilakukan pihak biomba dengan dibantu polis dan penduduk setempat

    Beliau berkata, pihaknya dihubungi pada pukul 8.45 pagi ini untuk bantuan menjejaki mangsa sebelum sembilan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba turut dibantu 82 orang daripada pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk tempatan.

    “Sehingga kini operasi mencari masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.