Tag: pengawal keselamatan

  • Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    SEORANG pengawal keselamatan dan seorang pelajar tahfiz lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, pada 29 Januari lalu.

    Lapor Harian Metro, tertuduh, Mohamad Sabri Yusoff, 33, dan pelajar tahfiz berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Syhakahalaf Akram Mohd Zakuwan, 28, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian kepada mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kampung Pulau Melaka, pukul 6.55 petang, pada 29 Januari 2023.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala pesalah kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zamri Mat Nawang.

    Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Mohamad Sabri, manakala Zamri memohon anak guamnya dibenarkan jaminan.

    Mahkamah membenarkan Mohamad Sabri dijamin sebanyak RM20,000 dan pelajar tahfiz pula RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan tarikh semula kes.

  • Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    SEORANG pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka,hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya, berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada  jam 1.54 tengah hari tadi.

    “Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara ‘force landing’ iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn pada jam 9.30 pagi.

    “Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya kepada Bernama.

    Noor Dellhan berkata laporan tersebut diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan di bawah Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

    Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan tersebut.- BERNAMA

  • Suspek dituduh membunuh, mangsa dilibas pedang meninggal dunia

    Suspek dituduh membunuh, mangsa dilibas pedang meninggal dunia

    RIZQI ZABIDI

    HANYA sehari selepas mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan, seorang individu hari ini sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan membunuh setelah mangsanya meninggal dunia, petang semalam.

    Tertuduh, R. Subramaniam, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dengan tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nor Fazlina Musa.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan, dekat sini kira-kira pukul 4.40 petang, 4 April lalu.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia serta bedah siasat.

    Semalam, tertuduh sudah pun mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa di Mahkamah Sesyen.

    Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang semalam menyebabkan kes kembali dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya, dan dituduh semula mengikut Seksyen 302 KK, hari ini.

  • Detik cemas pengawal keselamatan, kaki tersepit penutup longkang semasa meronda

    Detik cemas pengawal keselamatan, kaki tersepit penutup longkang semasa meronda

    SEORANG pengawal keselamatan berdepan detik mencemaskan selepas terjatuh dan kakinya tersepit pada besi penutup longkang pagi tadi.

    Dalam kejadian di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama itu, mangsa diselamatkan pasukan bomba selepas dia gagal mengeluarkan kakinya sendiri.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak yang dipetik Astro Awani sebagai berkata, bomba dimaklumkan kejadian itu pada pukul 6.42 pagi.

    Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping kemudian bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa menerusi operasi khas.

    “Difahamkan pengawal keselamatan itu terjatuh longkang dan tersepit ketika membuat rondaan di sekitar kawasan bangunan hari ini,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Kata kenyataan itu lagi, anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki mangsa dan memberi rawatan awal sebelum membawanya ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai oleh PBK II Mazli A Mutalib itu tamat pada pukul 7.08 pagi.

  • Pengawal keselamatan dituduh bunuh penyelia kedai buku

    Pengawal keselamatan dituduh bunuh penyelia kedai buku

    SEORANG pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Cheras.

    Muhamad Yusri Latiff, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Lelaki itu didakwa membunuh Fong Hsu Kei, 25, di Bengkel Pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia di Taman Mulia, Cheras, antara 1.45 tengah hari hingga 5.30 petang, 12 Mac lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat.

    Tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna kuning dibawa masuk ke dalam mahkamah pada 10.20 pagi dengan diiring beberapa anggota polis.

    Pada 12 Mac lepas, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia kedai buku ditemukan rentung disyaki dibunuh dan dibakar di dalam bengkel sekolah berkenaan. – BERNAMA

  • Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    SEORANG pengawal keselamatan dan jurusole maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 1.25 tengah hari itu mengakibatkan Mohammad Faiz Azmi Harun, 31 yang beralamat di Kampung Tanjung Sabtu, Manir dan Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, maut di lokasi kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah kereta Proton Waja dipandu Mohammad Faiz dari arah Jambatan Sultan Mahmud hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Menurutnya, kereta mangsa kemudian merempuh dua buah kenderaan lain termasuk Honda Civic yang dipandu Annur Izatul Dawiah.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohammad Faiz tercampak ke kawasan semak di seberang jalan dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pemandu Perodua Viva yang turut dirempuh tidak mengalami kecederaan manakala penumpangnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa yang maut dalam nahas itu dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • 3 negara jadi sumber tenaga kerja pengawal keselamatan

    3 negara jadi sumber tenaga kerja pengawal keselamatan

    KERAJAAN sedang merancang untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

    Katanya, beliau akan membuat pengumuman muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan, termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

    Beliau berkata, ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti, kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara, dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

    “Ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, pelbagai perkara boleh berlaku dan saya amat sensitif dengan isu ini,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di ibu negara hari ini.

    Sementara itu, Hamzah berkata, 66 lesen syarikat kawalan keselamatan dibatalkan sejak tahun 2014 atas pelbagai alasan, termasuk sebab menggaji pekerja tanpa menjalankan tapisan keselamatan, salah guna senjata api dan menggajikan pendatang tanpa izin.

    Beliau seterusnya menggesa semua syarikat kawalan keselamatan membuat pembaharuan lesen syarikat masing-masing bagi mengelak tindakan.

    “Syarikat kawalan keselamatan perlu membuat pembaharuan lesen pada atau sebelum 31 Dis ini bagi mengelak lesen mereka ditarik,” katanya.

    Sementara itu Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan khusus bagi membolehkan syarikat-syarikat kawalan keselamatan melatih petugas keselamatan mereka dengan latihan asas, sebagaimana pihak berkuasa lain.

    Menurutnya, akademi berkenaan akan bekerjasama dengan agensi sedia ada bawah Kementerian Dalam Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Imigresen. – BERNAMA

  • Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    SEORANG ahli perniagaan hari ini didakwa membunuh seorang pengawal keselamatan selepas Mahkamah Majistret Ipoh meminda pertuduhan ke atasnya daripada menyebabkan kecederaan parah setelah mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.

    Tertuduh sebelum ini didakwa menyerang S Thava Sagayam, 64, tahun di sebuah kondominium tahun lalu.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33 tahun, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Ahmad Noor didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada Seksyen 335 kanun sama.

    Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh S Thava Sagayam, di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff di Ipoh antara pukul 8 dan 9.30 pagi, 29 Disember, 2020.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azalina Rasdi.

    Tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala M Kulasegaran menjadi peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

    Pada 6 Januari lalu, Ahmad Noor Azhar didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, mangsa yang terlantar selepas kejadian, meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

    Bagi tuduhan awal di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya.

  • Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    SEORANG suri rumah didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Institusi Raja dan menteri, dalam laman sosial Twitternya.

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Nur Faizah dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut serta denda RM8,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan membuat komunikasi jelik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Twitter miliknya ‘Eija Boo’ dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA, Institusi Raja dan menteri.

    Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 8.33 malam, 22 Mei lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Wanita itu juga dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitternya. menggunakan nama profil  “Fazrin Ismail” pada masa dan tarikh sama.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina Institusi Raja adalah satu kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah sama, pengawal keselamatan, Sharil Mohd Sarif, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil  “Sharil bin Mohd Sarif” pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA