Tag: pengasuh

  • Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    SEORANG pengasuh ditahan kerana mengasari bayi di sebuah pusat asuhan di Taman Samudera, Batu Caves seperti tular dalam media sosial kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu bayi tersebut pada 21 Mei lalu selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada paha dan pipi anaknya.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Mei lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di taman berkenaan.

    “Polis telah menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun yang merupakan pengasuh di pusat jagaan tersebut.

    “Kes disiasat bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001, Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak – Kanak 1984 dan Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan Dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 kerana menjalankan operasi pusat jagaan tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan.

    Menerusi satu video tular berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat beberapa kali menampar dan menekup muka seorang bayi yang sedang menangis.

    Katanya, suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 30 Mei lalu di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pemilik pusat jagaan tersebut turut telah dituduh di bawah Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

    “Suspek tidak mengaku salah dan sebutan kes pada 7 Ogos 2023.

    “Selain itu, bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 1,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi lapan bulan

    Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi lapan bulan

    SEORANG pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan.

    Siti Aqilah Shahimi, 25, didakwa menyebabkan kecederaan kepada bayi yang diasuhnya itu di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai di sini pada 6.20 petang, 7 Sep lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

    Siti Aqilah yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh yang telah berkahwin berpendapatan RM1,800 sebagai pengasuh kanak-kanak.

    Majistret Mazana Sinin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah direman enam hari bermula semalam.

    Perintah reman hingga 29 September ini dikeluarkan ke atas suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika memaklumkan perkara itu turut memberitahu perkembangan keadaan mangsa.

    “Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.

    Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Polis kemudiannya bertindak menahan suspek.