Tag: pengarah syarikat

  • Kes kartel daging: Syarikat, pengarah didenda RM1.6 juta

    Kes kartel daging: Syarikat, pengarah didenda RM1.6 juta

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM1.6 juta terhadap syarikat pembekal daging sejuk beku, LY Frozen Food Sdn Bhd dan seorang pengarahnya yang terbabit dalam kes kartel daging lebih dua tahun lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Hakim Fatimah Zahari menjatuhkan hukuman itu selepas Pegarah LY Frozen Food, Yong Chee Keong, 42, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan syarikat sejuk beku itu.

    Hakim dalam keputusannya memerintahkan Chee Keong yang mewakili syarikat sejuk beku itu untuk membayar denda RM1.5 juta terhadap tujuh pertuduhan dikenakan pada LY Frozen Food.

    Chee Keong turut diperintahkan membayar denda RM100,000 terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya dan jika gagal, dipenjarakan selama enam bulan.

    Sementara itu, semua tujuh pertuduhan yang didakwa terhadap Pengurus LY Frozen Food, Chong Kim Kuang, 50, pula ditarik balik atas arahan Jabatan Peguam Negara, berikutan statusnya hanya sebagai pekerja syarikat sejuk beku itu.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan seorang lagi Pengarah LY Frozen Food yang masih bebas, Tan Siew Huak, 44, supaya dilepas tanpa dibebaskan, sehingga dia ditemui.

    Ia berikutan permohonan pihak pendakwaan yang tetap mahu meneruskan semua tujuh pertuduhan kes itu terhadap Siew Huak, selepas diarahkan Jabatan Peguam Negara.

    Pada 9 Februari 2021, LY Frozen Food, Chee Keong dan Siew Huak, yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.

    Kesalahan itu dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

    Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria, Syazwani Zawawi, Mas Syafiqah Maarob dan Kee Shu Min.

    Tertuduh pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim.

    Pada 2 Disember 2020, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

    Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di Johor Bahru.

    Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

    Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

    Kes yang menggemparkan negara itu menjalani perbicaraan sejak 9 Februari 2021, mengemukakan 10 saksi pendakwaan selain puluhan ribu eksibit termasuk membabitkan kotak bungkusan daging dengan tanda logo halal palsu.

    Pada 15 Februari lalu, Mahkamah Sesyen, dilaporkan melepas dan membebaskan LY Frozen Food bersama Pengurus Chong Kim Kuang, 50, dan akauntannya, Ng Yee Xin, 39, terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM12.9 juta, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

    Keputusan itu dibuat Hakim Fatimah Zahari selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus dan akauntannya.

    Pendakwaan menarik balik kesemua 12 pertuduhan terhadap tiga tertuduh berkenaan selepas semua mereka membayar kompaun keseluruhan yang bernilai RM1.5 juta.

  • Pengarah syarikat didakwa sogok polis RM50,000

    Pengarah syarikat didakwa sogok polis RM50,000

    SEORANG pengarah syarikat dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan rasuah hanya kerana tidak mahu diambil tindakan kerana memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

    Memetik laporan UtusanTV, tertuduh, Keh Teck Chuan, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menawarkan RM50,000 kepada seorang lelaki yang merupakan seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa memberikan suapan RM50,550 kepada pegawai polis sama.

    Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang sekitar pukul 11 malam dan 11.10 malam, 1 Februari lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Justeru tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

    Muaz turut mencadangkan syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

    Peguam Regine Sin memohon jaminan dikurangkan antara RM30,000 hingga RM40,000 memandangkan tertuduh terpaksa menanggung kos rawatan ibunya di hospital.

    Regine turut memaklumkan mahkamah bajawa pasport anak guamnya hilang dan telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

    Susulan itu, Hakim Norazlin membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 bersama serta syarat melaporkan diri setiap minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya pasport baharu dibuat selain menetapkan 9 Mac depan bagi sebutan semula kes.

  • Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    SEORANG pengarah syarikat swasta dipercayai menjadi proksi untuk mendapatkan projek daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah lebih RM1 juta ringgit, empat tahun lepas (2019), direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Johor Bahru R. Salini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pagi tadi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Menurut sumber lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 11.35 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan. 

    Difahamkan, beliau dipercayai menjadi proksi kepada seorang pengarah GLC dalam mendapatkan kontrak-kontrak daripada GLC berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menggunakan butiran palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM176,800 pada 2020 dan 2021.

    Sumber memaklumkan, lelaki tersebut yang merupakan pengarah syarikat pertanian berusia 32 tahun ditahan pukul 11.18 pagi di Pejabat SPRM Kedah manakala wanita tersebut yang merupakan Ketua Pegawai Pentadbiran syarikat sama, ditahan kira-kira pukul 11.07 pagi di lokasi sama.

    “Kedua-dua mereka diyaki mengemukakan laporan mengandungi butiran palsu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkaitan senarai peserta Program Mobiliti Tenaga Kerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan tidak menepati syarat dalam perjanjian ditandatangani.

    “Kedua-dua mereka disyaki telah memalsukan butiran peserta program bagi tujuan tuntutan bernilai RM176,800,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua individu tersebut akan dirakam kenyataan mereka sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    “Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Cuba sogok pegawai KPDNHEP, pengarah syarikat didenda RM70,000

    Cuba sogok pegawai KPDNHEP, pengarah syarikat didenda RM70,000

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM70,000 ke atas seorang pengarah syarikat selepas tertuduh mengaku salah menawarkan rasuah kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Januari tahun lalu.

    Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Yeng Fart secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat Kuasa.

    Sogokan tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Februari tahun lalu, di sebuah restoran di Seremban 2.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam KF Wong & Lee.