Tag: pengarah

  • Pengarah, pemilik syarikat direman empat hari bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Pengarah, pemilik syarikat direman empat hari bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkaitan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta pada 2015, direman selama empat hari bermula hari ini.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Kedua-dua mereka yang merupakan pengarah dan pemilik syarikat berbeza yang masing-masing berumur 51 dan 52 tahun tiba di Mahkamah dengan menaiki kenderaan SPRM kira-kira pukul 10 pagi.

    Malam tadi sumber memaklumkan kepada Warta Rakyat bahawa kedua-kedua mereka ditahan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahdan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    Perintah tahanan reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

  • Pengarah, bekas timbalan pengarah Maqis ditahan SPRM

    Pengarah, bekas timbalan pengarah Maqis ditahan SPRM

    SEORANG pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pembekalan makanan haiwan.

    Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua individu tersebut direman selama seminggu sehingga Rabu depan.

    “Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini.

    “Pengarah Maqis yang berusia 44 tahun itu ditahan pukul 8.45 malam tadi di pejabat SPRM Kelantan di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut sumber, bekas timbalan pengarah Maqis berusia 55 tahun ditahan pukul 7 malam kelmarin di pejabat SPRM Kelantan.

    Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas dipercayai berpakat dengan pembekal bagi mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan haiwan kepada Maqis Kelantan pada Januari dan Mac lalu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

  • Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    Pegawai kanan SSDU didakwa guna jawatan cadang lantik terus syarikat milik saudara

    SEORANG pegawai kanan anak syarikat milik kerajaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih RM1.7 juta pada Mac 2020.

    Tertuduh Mazlan Mahadi, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd (SSDU Innovations) untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM1,797,865.58.

    Syarikat MMSC Ventures adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan dan kesalahan didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling, pada 25 Mac 2020.

    Mazlan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras dan tertuduh diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran dan Teh See Khoon.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya. Kes akan disebut semula pada 30 Sept ini.- BERNAMA

  • Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    SEORANG pengarah syarikat kerugian RM406,400 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri Utama’ dan sebidang tanah kurnia.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 33 tahun mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu pada 28 Mac lepas dengan dimaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan dua hektar kepadanya.

    Beliau berkata pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadinya kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara.

    “Pada 6 April lepas, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa juga melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain yang diberikan oleh suspek antara 30 April hingga 17 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohd Mahidisham berkata mangsa turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM150,000 kepada suspek.

    Beliau berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun yang diberikan suspek dan mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar.

    “Identiti (suspek) masih belum diperoleh. Pengadu (mangsa) cuma bercakap menerusi telefon dan berjumpa sekali sahaja (dan dipercayai) ada tiga suspek dalam kes ini,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Mahidisham berkata pihaknya sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran.

    “Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat. Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA