Tag: Penganalisis politik

  • ‘Survival’ UMNO merosot teruk jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

    ‘Survival’ UMNO merosot teruk jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

    “SURVIVAL” dan imej UMNO akan merosot teruk jika dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, kata penganalisis politik.

    Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ini kerana parti Melayu itu kini berpecah kepada dua kem iaitu satu mahukan Presiden Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas kekalahan terburuk mereka dalam PRU15, sementara satu pihak lagi kekal menyokong kepimpinan beliau.

    “Sebelum ini akar umbi menyuarakan agar presiden letak jawatan demi untuk memulihkan imej kepartian agar disenangi dan diterima semula oleh orang ramai, dan paling penting membuka ruang dan laluan kepada proses demokrasi.

    “Adalah baik jika dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, jika tidak ia akan memberi impak dan kesan serius kepada ‘survival’ UMNO itu sendiri,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Sebelum ini Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan satu usul dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan depan, agar jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Bagaimanapun, Ariff tidak menolak Zahid akan kekal memimpin Umno untuk sepenggal lagi jika jawatan itu dipertandingkan, kerana sukar baginya bergerak sebagai timbalan perdana menteri sekiranya tidak lagi menjadi sebahagian pemimpin tertinggi parti.

    “Kemungkinan besar beliau mempertahankan jawatannya sepenggal lagi kerana jika kita lihat dalam konteks hari ini, sekiranya tidak mempertahankan jawatan presiden, agak sukar untuk beliau bergerak dalam konteks kerajaan perpaduan.

    “Dalam konteks kerajaan perpaduan walaupun beliau dipilih sebagai TPM, pada waktu sama beliau perlulah dilihat sebagai dominan bukan saja dalam konteks kepartian tetapi dalam Jemaah Menteri itu sendiri,” katanya menambah kemungkinan besar Zahid mengekalkan jawatannya dan status quo kembali seperti sebelumnya.

    Beliau berkata, sudah tentu penolakan dari akar umbi terhadap Zahid akan berlaku, namun hanya membabitkan kelompok kecil memandangkan sebahagian besar akar umbi dan pemimpin Umno akur keputusan mengejut PRU15 lalu, manakala keutamaan parti kini adalah menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

    Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata agak sukar untuk usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diluluskan memandangkan ia memerlukan suara majoriti akar umbi dari 191 bahagian.

    “Bagi saya sukar untuk dapat kelulusan melalui PAU kerana ia memerlukan hampir sebulat suara. Saya tak nampak perkara itu boleh berlaku,” katanya.

    PAU 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Dis ini ditangguhkan kepada 10 hingga 13 Jan depan. Bagaimanapun, tiada pemilihan parti diadakan dalam tempoh persidangan itu.

    Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno yang diputuskan parti itu sebelum ini. Kelulusan itu menyaksikan pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.

  • PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh mengambil mudah Perikatan Nasional (PN) walaupun memiliki sebahagian besar kerusi di Dewan Rakyat, kata penganalisis politik, Adib Zalkapli.

    Adib dari BowerGroupAsia (BGA) berkata, PH tidak boleh menganggap banyak kerusinya di Dewan Rakyat sebagai selamat kerana mereka menang kurang daripada 50 peratus undi.

    “PH mempunyai lawan baharu di Selangor dan Kuala Lumpur,” kata Adib pada forum mengenai pilihan raya umum.

    “Sungai Buloh dan Gombak pernah menjadi kerusi selamat untuk PH, kerana pakatan itu sebelum ini memenangi kerusi ini dengan lebih 50 peratus undi. Bagaimanapun, pada PRU15 mereka menang dengan kurang daripada 50 peratus,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Adib, yang merupakan pengarah hal ehwal kerajaan dan dasar awam di BGA juga berkata, pemilihan calon akan menjadi sangat penting sekarang.

    “Pemilihan calon juga isu lain. (Calon dengan) bantuan ‘profil nasional’, seperti yang anda lihat di Sungai Buloh, di mana (bekas menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin berjaya mengecilkan margin.

    “Tetapi isu jentera tempatan juga sama penting, seperti yang berlaku di Titiwangsa,” katanya.

    Adib menegaskan Johari Ghani, yang tewas di kerusi Titiwangsa pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), mengambil pendekatan berbeza dalam kempennya kali ini, memilih untuk mengadakan lebih banyak dialog dengan golongan muda selain strategi yang biasa.

    Hasilnya, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,632 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pada PRU14, Rina Harun daripada Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PH.

  • Tekanan adakan PRU-15 risiko Ahmad Zahid sendiri

    Tekanan adakan PRU-15 risiko Ahmad Zahid sendiri

    SEORANG ahli akademik memberi amaran kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) sebelum akhir tahun ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, sebarang tindakan Ahmad Zahid untuk mendesak pilihan raya awal boleh memberi kesan kepadanya, terutamanya dengan Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan.

    “Tekanan berterusan terhadap Ismail Sabri akan meninggalkan kesan buruk bahawa Ahmad Zahid mahu menyelamatkan dirinya sendiri,” katanya kepada FMT merujuk kepada kes mahkamah yang sedang berjalan.

    Najib dihantar ke Penjara Kajang pada Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International.

    Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan dana berjuta ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

    Fauzi berkata, pemimpin UMNO yang menggesa pilihan raya awal tidak akan dapat menghilangkan persepsi bahawa parti itu sedang mencari kuasa untuk mengganggu badan kehakiman.

    Beliau berkata, ini akan menangkis undi daripada penyokong bukan UMNO.

    “Undi ini penting untuk kemenangan UMNO dalam era parti itu tidak lagi mempunyai pengaruh hegemoni.Penghormatan Umno terhadap kedaulatan undang-undang adalah sangat penting untuk ia membuat kemunculan semula,” katanya.

    Isnin lalu, satu mesyuarat tergempar semua ketua bahagian Umno diadakan di Menara Dato Onn untuk membincangkan mengenai pemilihan calon bagi PRU15 akan datang.

    Menurut Ketua UMNO Sungai Besar Jamal Yunos, 158 pemimpin bahagian telah menggesa PRU15 diadakan segera. Beliau berkata Ahmad Zahid akan menyampaikan mesej itu kepada Ismail Sabri pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

    Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Wong Chin Huat berkata, Ahmad Zahid akan cuba memaksa pilihan raya awal kerana kemenangan UMNO-Barisan Nasional (BN) akan mengukuhkan peluangnya untuk melepaskan diri daripada masalah undang-undangnya.

    Bagaimanapun katanya, kedudukan Ahmad Zahid “jelas lebih lemah” selepas Najib dipenjarakan.

    “PRU15 sekarang boleh menimbulkan risiko tinggi kepada Umno kerana sabitan Najib menghidupkan semula ingatan tentang 1MDB.

    “Tetapi menangguhkan pilihan raya dan melaksanakan lebih banyak pembaharuan akan meningkatkan peluang UMNO untuk mengekalkan asasnya dan menang di jalan tengah,”katanya.

    PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya September tahun depan, tetapi beberapa pemimpin UMNO mendesak supaya ia diadakan tahun ini berikutan kemenangan BN yang meyakinkan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

  • Hentikan semua kemelut politik selepas pelantikan PM baharu

    Hentikan semua kemelut politik selepas pelantikan PM baharu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMIMPIN politik diminta berdamai dan tidak lagi bertelingkah sebaliknya fokus penyelesaian krisis kesihatan selepas pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

    Penganalisis politik, Sharifah Syahirah Syed Sheikh berharap, semua kemelut politik dapat dihentikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

    Jelasnya, ini kerana negara dalam krisis dan terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti.

    Tambah beliau, itu selari perancangan jangka panjang negara sekali gus memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam proses berkenaan.

    “Pertama, bekalan, peralatan, sumber manusia, cukupkan untuk kita hadapi krisis ini. Maknanya perlu sentiasa ada semak semula, penambahbaikan dan sebagainya.

    “Kedua, kena ada penelitian tentang kerosakan, kesan buruk yang dihadapi oleh mangsa COVID-19. Maknanya mangsa termasuk rakyat secara amnya,” katanya semasa sidang video hari ini.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.