Tag: pengampunan najib razak

  • Jangan berfikiran pembangkang, Zahid beritahu Khalid

    Jangan berfikiran pembangkang, Zahid beritahu Khalid

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad supaya tidak berfikiran seperti pembangkang berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan diraja kepada Najib Razak.

    Beliau yang juga presiden UMNO berkata, Khalid sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu berhubung pendirian parti itu yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan perpaduan.

    “Jangan masih mempunyai tanggapan bahawa seolah-olah beliau sebagai individu berada dalam pemikiran pembangkang,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Khamis lalu, Khalid dipetik berkata Amanah memohon pengampunan diraja kepada Najib yang juga bekas presiden UMNO ditolak.

    Kenyataan itu dikritik pemimpin UMNO termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

    Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau sudah bertemu UMNO Kelantan dan isu “ugutan” itu diselesaikan dengan baik.

    Najib yang kini dipenjara 12 tahun kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada September tahun lalu.

  • Kenyataan menantu Hadi Awang isu pengampunan Najib pandangan peribadi

    Kenyataan menantu Hadi Awang isu pengampunan Najib pandangan peribadi

    KENYATAAN bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad yang dilihat seakan menyokong pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara, disifatkan sebagai pandangan peribadi dan tiada kaitan dengan Pas.

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, perkara berkaitan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu tidak pernah dibincangkan oleh pimpinan tertinggi parti.

    Oleh itu tegas beliau, kenyataan Zaharudin yang juga menantu Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pengampunan diraja bagi membebaskan Najib sebagai proses yang lebih dekat dengan kaedah Islam, adalah pandangan peribadi.

    “Itu mungkin padangan peribadilah (sebab) kita (Pas) tak pernah bincang. Kita pun tak tahu apa yang dia (Zaharudin) tulis dan cakap kerana kita tidak bincangkan pun bab itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, portal berita memetik kenyataan Zaharudin dari rakaman video dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

    Yang Dipertua Pas Subang itu antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam adalah apabila tersalah melepaskan orang bersalah yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

    Zaharuddin juga dilapor menyifatkan perbicaraan Najib tidak mengikut ‘garis panduan Islam’ kerana timbul dakwaan konflik kepentingan berkaitan hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

    Selain itu, permohonan bekas Perdana Menteri bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan berkenaan juga ditolak oleh mahkamah sama pada 31 Mac.

    Dalam perkembangan lain, Idris berkata, rundingan pembahagian kerusi di antara PAS dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), masih berlangsung.

    Ditanya kemungkinan PAS bertanding lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi bakal ditandingi PN di enam negeri terbabit PRN, beliau berkata, belum ada sebarang keputsan muktamad berhubung perkara itu setakat kini.

    “Saya tak boleh beritahu lagilah. Nanti kita tengok pada hari kejadian,” katanya.

  • Pemimpin Amanah berhak bersuara, tapi terikat keputusan parti – Mohamad

    Pemimpin Amanah berhak bersuara, tapi terikat keputusan parti – Mohamad

    PRESIDEN Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pemimpin parti itu berhak menyuarakan pandangan mereka sebagaimana hak dinyatakan dalam perlembagaan namun ia masih terikat dengan keputusan parti.

    Menurut beliau, amalan itu merupakan “normal practice” atau amalan biasa dalam mana-mana organisasi parti politik.

    Mohamad tampil membuat penjelasan itu ditengah-tengah pergeseran pandangan antara pemimpin Amanah dan UMNO berhubung permohonan pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata, dalam isu melibatkan pengampunan Najib kuasa tertinggi yang berhak membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.

    “Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Katanya, walaupun pemimpin Amanah dan UMNO mempunyai pandangan berbeza berhubung keputusan pengampunan Najib, ia tidak bermakna pandangan itu membawa kepada perpecahan kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama.

    “Semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan dan kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,”katanya.

    Katanya, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan, namun dalam konteks organisasi ia tidak mewakili parti melainkan keputusan rasmi diputuskan dalam mesyuarat.

    Semalam, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

    Kenyataan Khalid itu mendapat kritikan pemimpin UMNO, termasuk ugutan memutuskan hubungan kerjasama politik antara dua parti berkenaan.

  • Rayu tolak pengampunan Najib: Maaf tapi ini pendirian kami, kata Khalid

    Rayu tolak pengampunan Najib: Maaf tapi ini pendirian kami, kata Khalid

    PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini meminta maaf sekiranya rayuan dibuatnya agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyebabkan UMNO tidak puas hati.

    Menurut Khalid, ia hanyalah soal perbezaan pandangan dalam perkara itu dan dia memohon maaf kerana tidak memiliki pendirian yang sama dengan UMNO.

    “Kita tidak serang atau kritik UMNO, kita hormat hak mereka untuk buat permohonan pengampunan. Itu hak mereka dan mereka boleh berbuat demikian, tiada isu.

    “Sekarang mereka kritik kita dan kata kita tidak pandai bekerjasama…kita cuma nyatakan pendirian berbeza.

    “Malangnya mereka nak jadikannya sebagai isu. Saya minta maaf kerana buat mereka tak puas hati, tetapi ini pendirian Amanah.

    “Jadi kita mohon maaf kerana tidak berpendirian sama (dalam perkara itu),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Sehari selepas Khalid mengeluarkan kenyataan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan “tidak sepatutnya” berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

    UMNO Kelantan pula berkata ia akan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

    Hari ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Amanah tidak layak menjadi “sahabat perjuangan” dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.

    Mengulas lanjut, Khalid berkata parti dalam kerajaan harus mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menghormati perbezaan pendapat.

    Ketika ditanya sama ada pertikaian mengenai pengampunan Najib akan menjejaskan kerjasama antara BN dan PH dalam PRN akan datang, Khalid berkata parti yang berbeza pasti ada pendapat yang berbeza dalam sesuatu isu.

    “Ia tidak sepatutnya membawa kepada pecah atau perbalahan,” kata bekas menteri PH itu lagi.

    Diampunkan atau tidak, terserah kepada Agong

    Khalid turut menyuarakan harapannya agar UMNO Kelantan tidak memutuskan hubungan dengan Amanah negeri susulan kenyataannya itu.

    “Saya membuat kenyataan untuk menjelaskan pendirian (Amanah), ia bukan bertujuan untuk memusuhi atau menimbulkan pergeseran antara parti gabungan,” katanya.

    Katanya lagi, keadaan pasti berbeza jika dia mengkritik tindakan UMNO untuk membuat permohonan pengampunan diraja untuk Najib, tapi bukan itu yang disuarakannya.

    “Saya cuma kata ini pendirian Amanah kerana hakikatnya kita mahu kerajaan bersih yang komited dalam melawan rasuah,” katanya.

    Dia menegaskan keputusan permohonan pengampunan untuk Najib adalah terletak pada Agong, dan ia jelas disebut dalam kenyataan awalnya.

    Dia berkata Amanah sedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Agong berhubung permohonan itu.

    Pada masa sama, dia berkata faktor penyatuan terbesar parti dalam kerajaan ialah keinginan mereka untuk mencapai Malaysia Madani dan “rahmah” dalam politik.

  • Amanah tak layak jadi sahabat perjuangan, mampu runtuhkan kerajaan – Puad

    Amanah tak layak jadi sahabat perjuangan, mampu runtuhkan kerajaan – Puad

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi membidas Amanah susulan bantahan Pengarah Komunikasi parti itu Khalid Samad terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau turut menyifatkan Amanah tidak sesuai dijadikan sahabat kerana berpotensi meruntuhkan kerajaan perpaduan yang dibentuk.

    “Parti yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Mohamad Sabu itu lebih wajar dipanggil sebagai parti PAN, bukan parti Amanah. PAN hanya layak jadi kawan politik, bukan sahabat perjuangan.

    “Sebab itu memang susah bersahabat dengan PAN (Amanah). Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan kerajaan perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan,” katanya di Facebook.

    Mengulas lanjut, Puad berkata, Amanah tidak tertib apabila mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan pengampunan kepada Najib.

    “PAN yang hina budi bicara Agong. PAN secara jelas mempersoal kebijaksanaan Agong kerana membuat desakan itu.

    “UMNO tidak bising pun bila Lembaga Pengampunan tidak bincang kes Najib dua hari lalu. UMNO memohon secara tertib.

    “Masalahnya PAN, kerana mendesak Agong menolak pengampunan Najib. UMNO hanya menyokong sahaja,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Sementara itu, Ketua UMNO Permatang Pauh Mohd Zaidi Said berkata, Najib berhak memohon pengampunan dan perkara itu tidak sepatutnya dipertikai mana-mana pihak, termasuk Khalid.

    Beliau juga turut menegur sikap segelintir pemimpin parti yang dahulunya lantang memperjuangkan nasib Najib, namun kini diam selepas mendapat jawatan dan kuasa.

    “Perlu diingatkan bahawa Umno tidak boleh menjadikan kerajaan perpaduan bersama parti-parti lain hari ini sebagai tali untuk mengikat atau mengunci mulut mana-mana pihak daripada memberi kenyataan yang tidak sealiran dengan kemahuan mereka.

    “Sikap menghukum mana-mana individu yang tidak ‘semazhab’ akan menyebabkan UMNO dipandang kuno oleh kawan dan lawan.

    “Hakikatnya pemimpin UMNO wajib ‘bekerja’ untuk memberikan keadilan (buat) Najib bukan ‘membayar’ mana-mana individu untuk bercakap seolah-seolah berjuang untuk Najib. Wayang ini perlu ditamatkan segera,” katanya.

    Sebelum ini Khalid berkata, pihaknya merayu agar permohonan pengampunan Najib ditolak.

  • Pengampunan Najib: Pengundi PH dalam dilema moral

    Pengampunan Najib: Pengundi PH dalam dilema moral

    PEMERHATI politik memberi amaran pengampunan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang hangat diperkatakan bakal meletakkan pengundi Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan dilema moral.

    Ini kerana PH selama ini menggunakan alasan moral melawan rasuah dan kleptokrasi untuk mendapatkan kuasa.

    Sejak 2014, Najib terheret dalam skandal membabitkan syarikat kerajaan 1MDB yang mana PH menggunakan isu itu sebagai senjata untuk menjatuhkan pentadbiran beliau pada 2018.

    Memetik laporan MalaysiaNow, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, langkah memberi pengampunan dan seterusnya membebaskan Najib akan menjadi kekecewaan terbesar buat pengundi PH, selain impak besar kepada reputasi Anwar sebagai “pejuang reformasi”.

    “Pembebasan ini juga akan memberikan ‘peluru’ kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang ini.

    “Saya rasa sangat sulit untuk PH mengelak dari isu ini dan ada kemungkinan juga ramai pengundi PH tidak akan keluar mengundi masa Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,” katanya.

    Pertengahan tahun ini, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijadualkan mengadakan pilihan raya.

    Sekiranya ia terjadi, PH bakal berdepan kesukaran mempertahankan tiga negeri yang ditadbir mereka sekarang.

    UMNO baru-baru ini menyatakan mahu bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon ihsan baginda untuk mengampunkan bekas presiden mereka itu.

    Najib sebelum ini tewas dalam semakan kehakiman kes SRC International dengan keputusan majoriti 4-1 yang memusnahkan harapan beliau untuk lepas daripada jeriji besi.

    Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2020 menjatuhi hukuman bersalah kepada bekas ahli Parlimen Pekan itu dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RN200 juta selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2021 dan Najib memulakan hukuman penjara beliau setelah rayuannya gagal.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan hubungan PH dan BN mungkin retak akibat kegagalan Najib dalam semakan kehakimannya.

    Najib masih mempunyai pendukung yang kuat dari kalangan akar umbi dan Majlis Tertinggi UMNO dan mereka lantang menyuarakan nasib bekas perdana menteri itu.

    Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, permohonan pengampunan untuk Najib dilihat sukar dan mencabar.

    “Najib berdepan banyak kes yang sedang dan akan dibicarakan.

    “Bagaimana Lembaga Pengampunan boleh mempertimbangkan perkara itu kerana Najib belum menghabiskan sebahagian hukuman.

    “Bagaimana jika beliau dihukum lagi (dalam kes lain), keadaan akan menjadi tidak begitu harmoni,” katanya.

    Justeru, Mazlan berkata kemungkinan Najib tidak diampunkan sangat tinggi dan memerlukan keajaiban.

    Menurut Mazlan, perkara 42(8) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara peribadi.

    Selain kes SRC, Najib yang mula disiasat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018 itu masih berdepan kes 1MDB yang sedang dalam perbicaraan.

    Mazlan mengakui sokongan kepada PH bakal terkesan namun situasi itu tidak muktamad.

    “Politik ini ada tambah tolaknya. Kajian terbaru saya di lima Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan menunjukkan sokongan kpd PH dan BN masih padu,” katanya.

    Najib bukan satu-satunya pemimpin yang cuba mencari kebebasan.

    Timbalan Perdana Menteru Ahmad Zahid Hamidi juga baru-baru ini mengemukakan representasi memohon agar semua pendakwaan ke atasnya berhubung kes Yayasan Akal Budi digugurkan.

    Kes tersebut membabitkan 47 pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

    Zahid sebelum ini berjaya mendapatkan semula pasportnya bagi menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.

    Zahid yang mengekalkan kerusi Bagan Datuk dengan majoriti lebih 300 undi pada pilihan raya umum lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September lalu atas p40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara.