Tag: peneroka Felda

  • Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan peneroka Felda akan mendapat lebih lagi daripada apa yang diperoleh sebelum ini sekiranya mereka memastikan Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Lapor portal SatuBerita, Pengerusi PN itu berkata, manifesto gabungan itu yang akan diberitahu kemudian bakal merangkumi semua bidang utama dan berpotensi menjadi tawaran yang baik terutamanya peneroka Felda di negeri Pahang.

    “Sewaktu saya memimpin negara, kita selesaikan hutang mereka, RM8.9 bilion sudah dihapuskan. Kemudian kita mengeluarkan sukuk (Islamic bond) bernilai 9.9 bilion mengambil alih FGV dan sebagainya.

    “Saya bagi jaminan kalau kita menang, kita akan beri lebih lagi dari apa kita telah buat agar nasib peneroka terbela dan pendapatan boleh meningkat. Kita tahu apa kita nak buat untuk peneroka Felda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat PN Negeri Pahang, di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang, hari ini.

    Walaupun Pahang selalu dianggap sebagai ‘kubu’ BN, Muhyiddin berpendapat pengaruh parti tersebut tidak merisaukan PN.

    “Dari laporan diterima rakan-rakan yang lebih mengetahui, tidaklah sebegitu (Pahang sebagai kubu BN). Semasa PRN dahulu BN tidak menang dengan kerusi yang besar.

    “PAS sudah mula bertapak, ada ahli Bersatu di peringkat Parlimen, sudah ada perkembangan yang cukup baik dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya.

    Menurut beliau, kedudukan parti BN yang ditampar hebat oleh kes-kes mahkamah juga tidak menggambarkan cerminan sebenar orientasi rakyat di Pahang.

    “Keyakinan rakyat kepada UMNO semakin runtuh, ini fakta yang didokong oleh kajian, lebih-lebih lagi kita tak tahu apa isu masalah BN yang menghadapi masalah integriti, disabitkan kes-kes mahkamah dengan rasuahnya, itu tidak boleh memberi gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukannya,” katanya.

    Dalam pada itu, penamaan calon akan diteliti dan berpotensi diumumkan lebih awal daripada tarikh penamaan calon.

    “Di peringkat parti, sudah mula menyenaraikan calon. Kita ada jawatankuasa yang menapis di nama-nama calon peringkat pusat.

    “Kita lihat siapa paling sesuai, soal latar belakang, kelayan, kelulusan, hubungan dengan masyarakat dan usaha mereka sebelum ini untuk dinilai oleh pengundi,” katanya.

  • Peneroka Felda teruja, gembira

    Peneroka Felda teruja, gembira

    PENEROKA Felda Trolak Selatan, Perak menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan setelah menerima penyata pendapatan pertama mereka selepas menandatangani perjanjian penghapusan pinjaman seperti diumum kerajaan baru-baru ini.

    Memetik Sinar Harian Ketua Peneroka Felda Trolak Selatan, Mohd Hassan Baharin gembira dan berbesar hati kerana buat pertama kalinya setelah 39 tahun, Felda telah melupuskan sebahagian besar pinjaman kebun beliau dan peneroka lain.

    “Saya amat berpuas hati apabila mendapat penyata pendapatan yang baharu, potongan bayaran kembali saya dikurangkan kepada RM167 sebulan berbanding RM300 yang sepatutnya dipotong.

    “Saya masih berhutang sebanyak RM12,000 tetapi selepas Felda mengambil langkah melupuskan pinjaman peneroka, baki pinjaman kebun saya ialah RM6,013 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

    Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

    Menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

    Mohd Hassan dan peneroka lain teruja dan gembira dengan pelaksanaan pelupusan pinjaman ini yang sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan bulanan mereka apabila potongan bayaran kembali dikurangkan dengan drastik.

    “Saya yakin Felda amat mengambil berat dan meneliti pelbagai aspek sebelum laksanakan inisiatif ini,” katanya.

    Sementara itu, peneroka Felda Trolak Selatan, Sulaiman Harun turut sependapat dengan Mohd Hassan dan gembira kerana menerima pelupusan pinjaman.

    “Apabila menerima penyata pendapatan, saya amat gembira hanya perlu membayar RM250 sebulan selepas menandatangani perjanjian penghapusan pinjaman itu. Pinjaman saya juga berkurang daripada RM114,000 kepada RM45,000 sahaja.

    “Saya tahu jumlah sebenar pinjaman yang perlu dibayar apabila melihat slip bayaran ini. Sepatutnya perlu membayar RM300 tetapi kini ia telah dikurangkan, syukur Alhamdulillah,” katanya.

    Bagi Pengerusi GPW Felda Trolak Selatan, Hawaniah Korik, Felda telah melaksanakan apa yang dijanjikan dengan peneroka iaitu melupuskan sebahagian pinjaman mereka.

    “Keyakinan kami sentiasa bersama Felda. Kami berterima kasih kepada agensi ini kerana banyak membantu peneroka terutamanya dengan inisiatif yang begitu menguntungkan peneroka,” katanya.