Tag: Penduduk terjejas

  • 5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh

    5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh


    KIRA-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung di daerah Dungun terputus hubungan apabila laluan Jerangau-Jabur di Kilometer 73, dekat Bukit Besi, Terengganu runtuh berikutan kejadian banjir besar Selasa lalu.

    Menurut penduduk, Shamsul Azmi Ghazali, 32,  laluan itu menjadi nadi perhubungan penduduk ke Kuala Dungun, Bukit Besi hingga ke Kemaman.

    Katanya, runtuhan itu mengakibatkan sebahagian struktur jalan berlubang hampir dua meter, sekali gus ditutup kepada semua kenderaan.

    “Memang bahaya dan wajar ditutup kerana kita bimbang jalan itu akan runtuh sepenuhnya dan boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna.

    “Kejadian itu menyebabkan penduduk Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Talong, Dendang, Paya Lawas dan Jerangau terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa dan Kampung Besul untuk ke Bandar Dungun dan Kemaman,” katanya, lapor Berita Harian.

    Shamsul Azmi berkata, kejadian itu mendatangkan kesulitan kepada penduduk untuk melakukan urusan penting kerana terpaksa menggunakan laluan lain yang jaraknya sangat jauh.

    Bagi Zukria Yaakub, 45, dia kesal kerana masih ada pengguna jalan yang sanggup mengambil risiko melalui jalan itu.

    “Ada yang sanggup mengalih batu penghadang yang diletakkan pihak berkuasa. Mereka ini tidak tahu tanah di bawah jalan itu sudah terhakis teruk dan boleh menyebabkan kenderaan mereka terhumban.

    “Penduduk sangat berharap pihak berwajib segera membaiki jalan itu,” katanya.

    Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

    “Kerja-kerja pembaikan jalan akan segera dilakukan dan berharap penduduk bersabar,” katanya.

  • Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat

    Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI kira-kira 1,600 penduduk di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru terkesan setelah kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami antaranya Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Laut di Skudai serta Jalan Permatang dan Jalan Denai Utama di Kempas.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang banjir kilat kira-kira 6.50 pagi melibatkan beberapa lokasi berasingan.

    Menurutnya, banjir kilat itu berlaku berpunca hujan lebat yang turun kira-kira pukul 6 pagi dan berlarutan lebih dua jam.

    Katanya, susulan panggilan kecemasan diterima, beberapa pasukan bomba dari balai berhampiran digerakkan ke lokasi untuk tujuan pemantauan bagi memastikan tidak ada yang terperangkap dan tugas pemindahan sekiranya memerlukan.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima, banjir kilat menjejaskan lebih 1,600 penduduk, namun begitu kesemua lokasi tersebut tiada operasi pemindahan penduduk yang dilaksanakan. Paras air juga mula menunjukkan penurunan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan kawasan-kawasan di pusat bandar Johor Bahru turut terkesan ekoran banjir kilat.

    Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan tengah hari ini, paras air di kawasan terlibat telah surut.