Tag: Pendidik

  • PRU-15 tahun ini ganggu jadual akademik pelajar, pendidik – PKR

    PRU-15 tahun ini ganggu jadual akademik pelajar, pendidik – PKR

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun ini akan mengganggu keseluruhan jadual akademik dan peperiksaan penting yang sudah dirancang, selain persiapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Malah jika pilihan raya tetap dilaksanakan antara sekarang hingga Disember depan, pihak sekolah terpaksa menjadualkan semula aktiviti akademik dengan beberapa ujian dan peperiksaan amali terpaksa ditunda hingga tahun depan.

    Lapor Berita Harian, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, beberapa ujian dan peperiksaan lisan, ujian bacaan al-Quran serta peperiksaan amali Sains SPM sudah dijadualkan pada awal Oktober hingga pertengahan November depan.

    Beliau berkata, pada bulan depan, akan berlangsung peperiksaan percubaan SPM dan guru akan menggunakan cuti sekolah Disember untuk memeriksa jawapan dan membuat analisis.

    “Malah, pendidik akan mengenal pasti kelemahan pelajar yang perlu dibaiki sebelum peperiksaan bertulis SPM sebenar diduduki,” katanya hari ini.

    Amidi dalam laporan itu turut mengingatkan, perlu diberi perhatian adalah sebahagian petugas pilihan raya membabitkan warga pendidik dan jika PRU15 diadakan tahun ini, tumpuan masa dan tugas mereka sudah tentu akan terganggu.

    “Situasi ini akan menyusahkan warga pendidik dan berkemungkinan memerlukan kos tambahan,” katanya.

    Pada 30 September lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya lagi, keputusan mesyuarat itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

  • Pendidik cadang kerajaan tangguh sesi persekolahan September ini

    Pendidik cadang kerajaan tangguh sesi persekolahan September ini

    PERTUBUHAN Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik) mencadangkan kerajaan menangguhkan rancangan membuka sesi persekolahan pada September ini kerana amat berisiko.

    Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, ini kerana peningkatan kes harian Covid-19 yang melepasi 20,000 kes ditambah dengan ancaman varian Delta dan pada masa sama ramai guru dan pelajar masih belum divaksin.

    “Keresahan ibu bapa digambarkan juga melalui pengumpulan petisyen daripada kalangan mereka yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar tidak membuka sekolah.

    “Pendidik berpendapat, ibu bapa dan warga pendidik perlu diberi satu tempoh bersesuaian sehingga berjaya menyakinkan semua pihak seperti sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum sesi persekolahan dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, KPM perlu mendapatkan pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) atau Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) sebelum sebarang keputusan dibuat.

    KPM katanya, disaran mempertingkatkan mekanisme daripada segi perolehan vaksinasi bagi semua warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus untuk menyakinkan semua pihak.

    “Langkah mempercepatkan program vaksinasi kepada pelajar khususnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai umur 18 tahun perlu disegerakan,” katanya.

    Menurutnya, ini bagi memastikan calon STPM dan STAM lebih berkeyakinan untuk hadir dan belajar semula di sekolah dengan semangat baharu.

    Pendidik katanya, mencadangkan sekolah dibuka secara berperingkat-peringkat bermula dengan pelajar yang menduduki peperiksaan penting.

    “Sesi persekolahan juga boleh dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid, berada di kawasan zon hijau dan di kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, kaedah penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan kelompok murid juga boleh dilakukan.

    Beliau berkata, kajian rintis di beberapa buah sekolah di bandar dan luar bandar mungkin boleh dibuat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan syarat warga pendidik dan pelajar sudah diberikan suntikan vaksin dan imunisasi bersesuaian.

    Pihak KPM katanya, perlu ada perancangan hala tuju jelas jika kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun untuk mengelak keciciran pelajar dan mengatasi kelesuan motivasi semasa PdPR terutama pelajar luar bandar.

    “Pendidik mencadangkan KPM memanfatkan semaksima mungkin rancangan program Didik TV dengan menaik taraf kualiti dan pengisiannya.

    “Sesi persekolahan secara bersemuka boleh dibuat sehinggalah terdapat petunjuk kes baharu harian yang semakin menurun hingga ke paras yang munasabah,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru selama 13 tahun.