Tag: pendeposit

  • TH saran pendeposit hadkan pindahan harian, elak penipuan dalam talian

    TH saran pendeposit hadkan pindahan harian, elak penipuan dalam talian

    PARA pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disaran menghadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan Internet bank rakan strategik TH sebagai langkah keselamatan dari penipuan dalam talian.

    TH dalam kenyataan hari ini berkata pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan Internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak, selain membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

    Menurut TH, langkah keselamatan adalah penting supaya pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.

    TH juga sedang mengambil langkah mengurangkan had pindahan harian menerusi perbankan Internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian dari menimpa pendeposit.

    “Platform dalam talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali. Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.

    “Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon, manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja,” menurut kenyataan itu.

    TH berkata menerusi aplikasi THiJARI, satu sesi log masuk sahaja dibenarkan bagi setiap akses dan maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit, selain sentiasa dikemas kini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi dilaksanakan secara berterusan.

    Dalam pada itu, TH memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.

    “TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

    “TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan pendeposit khususnya yang melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-kanak di bawah jagaan, supaya bertukar status kepada Akaun Dewasa.

    Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata hampir 700,000 pemegang Akaun Kanak-Kanak melebihi umur 18 tahun dikenal pasti dan pemegang akaun itu yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing bermula 1 Dis tahun ini. 

    “Akaun itu akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran, selain status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata akaun berkenaan masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuk di platform JomPay dan THiJARI.

    TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas supaya datang bersama anak tersebut ke cawangan TH bagi menukar status ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.

    TH mengambil langkah itu bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit itu dikemas kini.

    Selain itu, pendeposit perlu memastikan akaun TH berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah,  dikecualikan cukai pendapatan dan boleh turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH.

    Menurut kenyataan itu, pendeposit hanya perlu melakukan satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun kekal berstatus aktif.

    Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk pertanyaan lanjut. – BERNAMA