Tag: pendengaran

  • Permohonan Najib ketepi injunksi kes saman 1MDB didengar 26 Mei

    Permohonan Najib ketepi injunksi kes saman 1MDB didengar 26 Mei

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya bagi menghalang bekas Perdana Menteri itu daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga US$681 juta akan didengar pada 26 Mei ini.

    Pada 8 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

    Peguam Wong Chee Lin yang mewakili 1MDB ketika dihubungi berkata pada prosiding secara dalam talian hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad turut menetapkan tarikh sama untuk pendengaran permohonan inter-parte bagi injunksi mareva.

    “Mahkamah turut melanjutkan injunksi ad interim yang diperoleh Najib sehingga pendengaran permohonan injunksi mareva didengar dan diputuskan,” katanya.

    Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

    Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.

    1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) telah dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman US$8 bilion itu adalah antara 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan tersebut. – BERNAMA

  • Permohonan Najib bagi semakan kes SRC ditetapkan sehari

    Permohonan Najib bagi semakan kes SRC ditetapkan sehari

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan sehari pada 19 Jan untuk mendengar permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

    Sebelum ini mahkamah menetapkan tiga hari iaitu pada 19, 20 dan 26 Jan untuk mendengar permohonan semakan bekas perdana menteri itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata mereka menerima e-mel pada Jumaat (6 Jan) daripada Mahkamah Persekutuan memaklumkan dua hari bagi pendengaran itu telah dilapangkan kerana beberapa hakim yang menganggotai panel untuk mendengar semakan Najib terlibat dengan kes lain.  

    Bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas beliau gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta.

    Najib, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 Sept tahun lepas, memohon untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan dalam mengesahkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya.

    Dalam permohonannya, Najib juga mahu menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan keterangan lanjut berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes SRC International itu.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan — tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

    Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara ke atas Najib dan keputusannya itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas.

    Najib turut memohon agar rayuan itu didengar semula oleh panel Mahkamah Persekutuan yang baharu yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya.

    Pihak pendakwaan dalam menjawab afidavit Najib, menyatakan bahawa permohonan semakan Najib tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

    Pihak pendakwaan juga berkata Najib telah diberi perbicaraan yang adil dan tiada prapenghakiman dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Kes bunuh penghuni tahfiz: Rayuan remaja didengar 9 Mac 2023

    Kes bunuh penghuni tahfiz: Rayuan remaja didengar 9 Mac 2023

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 9 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan seorang remaja lelaki yang diperintahkan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, lima tahun lepas.

    Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja terbabit berkata rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja yang didakwa dengan pertuduhan sama, akan didengar pada tarikh sama (9 Mac).

    “Mahkamah turut menetapkan 23 Feb depan untuk pengurusan kes,” kata peguam itu ketika dihubungi, hari ini.

    Remaja itu yang kini berusia 21 tahun, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

    Pada masa sama, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah mendapati remaja itu, yang berusia 16 tahun ketika kejadian, telah dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh.

    Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicam, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

    Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

    Seramai 71 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala enam saksi pembelaan termasuk remaja itu dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 30 Mei 2018. Remaja itu dalam pembelaannya menafikan dia berada di perkarangan tahfiz itu pada bila-bila masa semasa kejadian.

    Dalam tragedi itu, 21 pelajar dan dua guru terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar. – BERNAMA

  • Semak keputusan mahkamah: Zizie Izette mohon kes didengar bersama permohonan suami

    Semak keputusan mahkamah: Zizie Izette mohon kes didengar bersama permohonan suami

    DATIN Seri Zizie Izette Abdul Samad memohon supaya notis usul difailkannya bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen, yang memerintahkan pelakon itu membela diri atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta, didengar bersama permohonan suaminya Datuk Seri Bung Moktar Radin di hadapan hakim sama di Mahkamah Tinggi di sini.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette berkata pihaknya memohon agar, permohonan Zizie Izette dipindahkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid ketika sebutan kes itu hari ini.

    JC Azhar kemudian menetapkan 17 Okt ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

    Sepatutnya, kes Zizie Izette didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah manakala kes Bung Moktar di hadapan JC Azhar.

    Pada 23 Sept lepas, Hakim Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen, selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula dan mengetepikan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen pada 2 Sept lepas.

    Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya selaku pemohon, memfailkan permohonan semakan secara berasingan pada 19 Sept, antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

    Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan Mahkamah Sesyen.

    Kedua-dua pemohon berkata hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status perkembangan permohonan pasangan suami isteri itu.

    “Tarikh bicara (bela diri) yang dijadualkan pada 14 Okt ini dilapangkan, manakala tarikh-tarikh perbicaraan pada 28 Okt, 21 dan 31 Nov, 1 dan 7 Dis, 3 Jan dan 9 hingga 13 Jan 2023 dikekalkan,” kata hakim itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan sementara permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

    Pada 2 Sept lalu, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. 

    Pasangan itu sepatutnya membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad bermula 23 Sept lepas.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga, didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.- BERNAMA