Tag: Pendakwah terkenal

  • Usah ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid kerana fahaman politik – Muhyiddin

    Usah ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid kerana fahaman politik – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pihak berwajib di negara ini tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau malam ini:

    Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat. 

    Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

    Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

    Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam. 

    Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri. 

    Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka  kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu. Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. 

    Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif.

  • Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH selebriti yang dikaitkan dengan video tular ganguan seksual baru-baru ini tiba ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis.

    Beliau hadir kira-kira pukul 9 pagi selepas dipanggil pihak polis, pada Rabu.

    Menurut laporan-laporan media semalam, pendakwah terbabit dipanggil untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi media mengesahkan kehadiran pendakwah itu.

    Menurutnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenai kehadiran pendakwah terbabit. 

    Pada Julai lepas, seorang pengguna twitter telah menularkan satu video memaparkan individu mirip pendakwah berkenaan melaku aksi seksual.

    Pengguna twitter yang menyembunyikan identiti dirinya itu turut mengeluarkan persoalan apa yang bakal berlalu sekiranya seorang tokoh negara merupakan seorang pemangsa seksual.

    “Apa yang anda buat sekiranya anda tahu seseorang tokoh negara seorang seksual predator.

    “Tetapi, anda tiada bukti mahkahmah (sebab si mangsa tak nak buat report polis).

    “Tokoh ini tokoh yang disanjung dan disayangi. Sampai susah nak percaya perangai sebenarnya,” kata hantaran itu.