Tag: penceramah bebas

  • Penceramah bebas didakwa lagi atas tuduhan rogol remaja

    Penceramah bebas didakwa lagi atas tuduhan rogol remaja

    SEORANG penceramah bebas yang sebelum ini didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 14 tahun, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol mangsa sama.

    Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini, antara 2 pagi hingga 10 pagi, 3 Dis 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

    Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Bagaimanapun, peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang mempunyai tiga isteri serta lapan anak adalah penanggung utama keluarga.

    “Anak guam saya telah hilang punca pendapatan apabila kontraknya dengan sebuah stesen televisyen telah dibatalkan,” kata peguam itu.

    Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kesemua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan sebutan kes pada 17 Jan depan.

    “Tertuduh, peguam dan mana-mana pihak diminta tidak mensensasikan kes ini di media sosial,” kata Tasnim.

    Pada 29 Nov lepas, penceramah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap remaja berkenaan antara Jun 2021 dan Februari lepas. – BERNAMA

  • Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    SEORANG penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan melakukan penipuan dengan menyerahkan cek tendang bagi urusan perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan melibatkan RM4,287.70, empat tahun lepas.

    Muzzamil Soliheen Musa, 45, juga penulis buku, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Melati Square, Putra Nilai, Nilai kira-kira 4 petang pada 14 Mei 2018.

    Dia dituduh memperdaya Ling Shin Hin bagi perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah rendah dengan menyerahkan sekeping cek bernilai RM4,287.70, tetapi cek itu dibatalkan.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Mustafha.

    Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    Kes amang seksual penceramah bebas: Dua lagi laporan diterima polis

    POLIS Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang penceramah bebas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laporan dibuat dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 17 tahun pada bulan ini di Seremban.

    “Pada masa ini, siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Bukit Aman, untuk dikemukakan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Justeru, Ruslan berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menimbukan kegusaran kepada masyarakat.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes itu pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Hasil siasatan mendapati penceramah berusia 40-an itu, mengenali empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 4 petang pada Khamis dan kemudian direman selama enam hari sehingga 14 Sept ini bagi membantu siasatan.- BERNAMA